30
Thu, Mar
200 New Articles

KEPUTUSAN kerajaan BN semalam untuk tidak membentangkan RUU355 tidak menjejaskan PAS dan usahanya. Ia sekadar balik asal dan kembali kepada persediaan asal PAS.

Kesediaan kerajaan BN untuk membawa sendiri RUU355 sebelum ini adalah langkah BN dan tiada kaitan dengan PAS. PAS mengalu-alukannya kerana ia akan lebih memudahkan usaha murni ini. Islam menyuruh kita memilih jalan yang lebih mudah jika ada. Yang terlarang ialah berhenti kerana tiada jalan mudah. PAS takkan sesekali berhenti di tempat terlarang.

Kegagalan BN untuk membentangkannya sendiri sebenarnya telah meneguhkan lagi kebenaran, kewajaran dan kebijakan PAS membawa sendiri Rang Undang-Undang ini. Sebagaimana pernah disebut dan diakui sendiri oleh seorang YB Umno di Dun Kelantan sebelum ini, hanya PAS yang mampu dan bersedia. Umno masih belum mampu. Hanya yang mampu dan diharapkan daripada Umno adalah sokongan demi memartabatkan Islam dan syariatnya. Ia kewajiban bersama.

Mari mendoakan semoga Allah menyatukan hati ahli-ahli parlimen khususnya yang beragama Islam, lebih-lebih lagi Tan Sri Speaker untuk teguh istiqamah membenarkan pembentangan RUU persendirian ini oleh YB Tuan Guru Presiden PAS.

LEBUHRAYA Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2) membabitkan perbelanjaan sebanyak RM4.284 bilion. Keseluruhan sumber kewangan ini dikeluarkan dari Lembaga Lebuhraya Malaysia melalui sumber kewangan RMK9/10 sebanyak RM1.52 bilion, JKR melalui sumber kewangan RMK9/10 sebanyak RM0.914 bilion dan melalui sumber kewangan Dana Khas sebanyak RM1.85 bilion.

Jawapan yang dikemukakan oleh Menteri Kerja Raya pada 9 Mac 2017 terhadap soalan YB Ustaz Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali memperincikan jumlah kutipan tol yang bermula 15 Julai 2016-31 Disember 2016 memperolehi RM40.5 juta. Syarikat konsesi yang menguruskan kutipan tol ini adalah LPT2 Sdn Bhd. Hasil kutipan tol tersebut dibelanjakan oleh syarikat konsesi bagi menampung kos operasi dan penyenggaraan (O&M) dan melaksanakan kerja-kerja pembaikan utama (major repairs work).

Tempoh perjanjian konsesi ini perlu diketahui umum. Seperti yang dibuat oleh syarikat konsesi PLUS Expressway Berhad yang mengisytiharkan tempoh konsesi mereka berakhir pada 31 Disember 2038. Syarikat konsesi ini telah memulakan perjanjian ini pada tahun 1988-2018, dilanjutkan kembali sehingga tahun 2030 melalui konsesi tambahan pada tahun 1999 atas justifikasi kerajaan tidak menaikkan kadar tol seperti di dalam perjanjian menurut dakwaan mereka. Perjanjian konsesi tambahan ini dilanjutkan sehingga 2038 kali ketiga yang ditandatangani pada tahun 2005. Bagaimana dengan perjanjian konsesi di LPT2?

Berbalik tentang perkembangan LPT2 yang telah menggunakan kos Dana Khas milik rakyat Terengganu, apakah wajar syarikat konsesi ini melakukan kutipan tol dalam keadaan modalnya datang dari dana awam? Syarikat konsesi untuk LPT2 adalah Lebuhraya Pantai Timur 2 Sdn Bhd. Syarikat milik penuh Projek Lebuhraya Usahasama Berhad (PLUS Malaysia Berhad). Apakah pihak kerajaan negeri langsung tidak membantah usaha pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia ini?

Pihak kerajaan negeri dilihat tidak serius untuk menuntut kembali hak penggunaan duit RM1.85 bilion ini. Hatta mendapat hak pegangan saham antara pemegang konsesi pun tidak diberi muka. Walaupun, pihak Kementerian Kerja Raya pernah mendakwa untuk mempertimbangkan tuntutan ini.

YAB Menteri Besar hanya sekadar mampu merayu sekalipun kos penyiapan LPT2 menggunakan perbelanjaan Dana Khas. Sama ada berlaku atau tidak rayuan, rakyat tidak mengetahuinya. Apa yang rakyat tahu, setiap KM laluan tersebut akan dikenakan tol RM0.12.

Kami sedar, pihak kerajaan negeri menuntut pembayaran balik kos daripada pihak persekutuan. Meskipun demikian, pulangan yang telah diberikan hanyalah sejumlah RM118.5 juta. Itupun pengembalian dalam bentuk projek. Iaitu menaiktaraf jalan 2 lorang ke 4 lorong di daerah Kemaman dan sebahagian di Marang. Itupun masih merupakan jalan persekutuan.

Apakah pihak kerajaan negeri langsung tidak mempunyai hak untuk menuntut agar penjelasan kembali penggunaan Dana Khas sebanyak RM1.85 bilion perlu disegerakan? Setidak-tidaknya, kerajaan negeri perlu mendesak agar kadar tol yang dikenakan boleh dikurangkan dari 12 sen/km kepada kadar yang lebih ringan untuk membantu rakyat.

“Bertekad Melebar Muafakat”
“Inilah Penyelesaian Kita”

Hishamuddin Abdul Karim
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu

Jajaran LPT2

PAS telah membentangkan Rang Undang-Undang Persendirian bagi maksud meminda Akta 355 pada 26 Mei 2016 buat kali yang pertama pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-13  dan perbahasannya ditangguhkan ke persidangan berikutnya.

Kali kedua PAS membentangkannya dengan sedikit pindaan terhadap draf asal pada 24 November 2016 di Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen ke 13. Sekali lagi PAS memilih untuk menangguhkan perbahasan ke persidangan berikutnya bagi memberi ruang secukupnya kepada ahli parlimen membuat kajian terhadap pindaan yang dicadang serta persediaan perbahasan.

Pada 17 Mac 2017 yang lalu, YAB TPM Datuk Zahid Hamidi mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan Barisan Nasionallah yang akan membentangkan Pindaan Akta 355 di mesyuarat pertama penggal kelima Parlimen ke-13 ini. Sementara PAS tidak pula pernah berunding dan mengumumkan untuk tidak membentangkan pindaan akta tersebut.

Ekoran pengisytiharan tersebut, meskipun PAS belum menyatakan sikap rasminya kepada umum, kenyataan YAB TPM itu dilihat sebagai satu option yang boleh diguna pakai bagi mengurus status dan format Pindaan Akta 355 bagi kali ini.

Namun pihak musuh politik PAS segera mencetus propaganda kononnya PAS telah ditipu oleh BN. Setelah sekian lama PAS berusaha membawa Pindaan Akta 355 ke parlimen dan mengorbankan segalanya, maka sepantas kilat BN pula "take over".

Semalam 29 Mac 2017, YAB Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abd Razak pula mengisytiharkan bahawa kerajaan BN tidak akan membentangkan Pindaan Akta 355 tersebut ke parlimen, sebaliknya kekal sebagai Rang Undang-Undang Persendirian. Ertinya ia akan dibentangkan oleh PAS sebagaimana sebelumnya.

Pengisytiharan itu tidak menjejaskan apa-apa bagi pihak PAS. Situasinya adalah "kekal pada format asal". Sememangnya, Ahli Parlimen PAS sejak awal telah diletakkan dalam 'mode standby' bagi menghadapi perbahasan di parlimen.

Hanya beza jika kerajaan BN bentang  maka ia menjadi Bill Kerajaan yang diutamakan angka gilirannya. Jika PAS yang membentangnya maka ia kekal seperti asal iaitu Rang Undang-Undang Persendirian maka gilirannya ditentukan oleh Yang Diertua Dewan Rakyat melalui peruntukan peraturan  dewan.

Sekali lagi musuh politik PAS pantas mencaras kononnya PAS menjadi mangsa "game" Umno dan BN. Entahlah, mana satu yang betul?

i- Jika PAS bentang, mereka kata PAS diperalat oleh Umno dan BN, kenapa tidak kerajaan BN sahaja yang membentangnya ke parlimen? Bukankah Umno menyokong? Maka sepatutnya BN yang bentang, bukan PAS.

ii- Apabila TPM umum kerajaan BN yang akan bentang Pindaan Akta 355, mereka juga "meloncat tidak ketahuan punca" kononnya PAS kena kencing oleh Umno. Pada mereka, serba tidak kena.

Sikap PAS tidak berubah. Persediaan PAS tidak terjejas. Kedua-dua menjadi option yang boleh dipertimbangkan. PAS sejak awal memperjuangkannya.

i- Pertengahan jalan pihak kerajaan mahu mengambil alih, pihak PAS tidak bermasalah siapa yang mahu membentangkannya. Apa yang penting Akta 355 mesti dan berjaya dipinda.

ii- Kemudiannya mereka tidak jadi mengambil alih. Ianya mengembalikan format asal tanpa merosakkan sesuatu. Insyaallah PAS akan meneruskan langkahnya menuju destinasi dengan langkahan bergaya tanpa tempang.

iii- Maka PAS sedia untuk bentang Pindaan Akta 355 dan terus bersedia untuk membentang dan membahaskannya pada bila-bila masa.

Perkasakan Syariat Rakyat Sejahtera

Nasrudin Hassan
30 Mac 2017 | 02 Rejab 1438H - HARAKAHDAILY 30/3/2017

BERITA bahawa BN memutuskan bahawa kerajaan tidak membawanya selepas mesyuarat majlis tertinggi menunjukkan sesuatu yang penting dilihat dengan kaca mata hikmah Allah. Mereka yang memandang dengan kaca mata sekular akan kekal buta dan tersesat.

Keputusan yang membelakangi cadangan Timbalan Perdana Menteri Malaysia?

Hakikat ini perlu disedari jika kita pejuang politik Islam yang peka. Dua minggu lepas, TPM mengumumkan bahawa kerajaan akan mengusulkan pindaan, tiba-tiba hari ini, ia berlaku sebaliknya? Apa yang terjadi pada Umno BN? Sudah tidak sekata antara PM dan TPM atau BN akan bergolak lagi.

RUU355 dilihat sebagai aspirasi seluruh umat Islam yang mahu Islam terus dimartabatkan. Maka, bola yang cuba diambil kesempatan politik tak akan mampu dibawa. Hanya yang ikhlas berjuang, mampu terus mengangkat usaha usul ini. Maka, ia kembali kepada PAS untuk terus mengarusperdanakan melalui usul persendirian. Parti-parti lain hanya akan mengejek atau menentang, kerana agenda mereka bukan bertujuan memartabatkan Islam. Adapun yang nama sahaja Islam, tetapi jadi tunggangan dan khadam bukan Islam yang tak akan menjaga kepentingan Islam.

Kedudukan Najib tidak begitu kukuh atau Umno merasakan ada pengkhianatan senyap?

Keputusan terbaru tentang RUU355, menunjukkan bahawa Umno sendiri berada dalam ragu-ragu untuk menjadi kuasa yang dipatuhi dalam BN. Kemungkinan jua, PRU14 nanti akan berlaku proses pembersihan kepada mereka yang tak sokong dan tak bersama Najib. Maka akhirnya, Umno semakin lemah dengan perpecahan.

PAS? Sekiranya perjuangan ini memang diangkat oleh mereka mereka yang beriman dan beramal soleh, sepertinya tanda tanya yang berlaku sebagai tanda kemenangan akan muncul jua walaupun buat masa ini ramai melihat seolah-olah sebaliknya. Lihatlah sejarah bagaimana dalam perang Hunain, walaupun ketika ramai, ramai bangga akan menang. Lantas Allah menguji umat Islam diserang hendap. Namun, sisa-sisa yang tinggal, malah dibantu muallaf yang baru masuk Islam seperti Abu Sufian, Suhail bin Amru, akhirnya kemenangan kembali kepada Islam.

Pandanglah dengan kaca mata janji Allah, jangan melihat dengan kaca mata munafik dalam perang Ahzab.

Mereka yang tidak yakin dengan untuk membawa Islam di zaman terkini akan bersikap seperti sikap munafik perang Ahzab. Mengejek ejek yang beriman, namun akhirnya mereka dihinakan kedudukan oleh Allah. Identiti mereka dikenali dan pasti akan menjadi liabiliti sepanjang orang mukmin mengenali mereka melainkan mereka bertaubat.

Yakinlah, Islam pasti menang.

Ahmad Hakimi Othman
Pengarah Jabatan Penerangan DPPNS
30 Mac 2017 - HARAKAHDAILY 30/3/2017

PIHAK sekretariat yang mewakili pertubuhan-pertubuhan utama bukan kerajaan bagi OKU penglihatan meluahkan rasa sangat dukacita terhadap kemalangan yang telah menimpa seorang OKU penglihatan di Stesen Monorail KL Centeral pada 28 Mac 2017, semalam.

Peristiwa yang dialami oleh saudara Goh Harp Boon merupakan kes yang kesepuluh seumpamanya yang menimpa OKU penglihatan di stesen-stesen Monorail.

Dengan komitmen pihak Negara dalam Convention On The Rights Of Persons With Disabilities ‘CRPD’, pewartaan Akta Orang Kurang Upaya 2008 ‘Akta 2008’ dan perlancaran Pelan Tindakan Kebangsaan Orang Kurang Upaya 2016-2022 ‘Pelan Tindakan’, kejadian seumpama ini seharusnya tidak lagi berlaku malangnya ia terus berulang.

Hak-hak seorang OKU yang dijamin dalam Artikel 9 CRPD, penguatkuasaan S27 Akta 2008 dan Teras Pertama dalam Pelan Tindakan seharusnya disedari oleh pihak-pihak berwajib dalam memastikan akses kepada sistem pengangkutan awam benar-benar selamat dan sesuai untuk setiap OKU penglihatan khususnya dan seluruh OKU umumnya.

Kami menggesa pihak Kementerian Pengangkutan bersama Suruhanjaya Pengangkutan Darat dan Prasarana Malaysia Berhad lebih prihatin dalam memastikan kemalangan seumpama ini tidak berulang.

Kemudahan pengangkutan awam seharusnya diadakan dengan tahap keselamatan yang terbaik untuk semua pengguna termasuklah pengguna OKU penglihatan khususnya dan OKU keseluruhannya.

Kami juga merakamkan setinggi terima kasih kepada keprihatinan pihak Yang Berhormat Menteri Datuk Rohani Abdul Karim yang menziarahi mangsa kemalangan di hospital tengah hari tadi.

MOHAMMAD FAIZAL CHE YUSOF
Pengerusi Sekretariat Pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan Bagi OKU Penglihatan Malaysia – HARAKAHDAILY 29/3/2017

AHLI Parlimen Bukit Gantang Idris Ahmad menegaskan pelaburan yang dibuat melalui pinjaman atau hutang merupakan kaedah yang tidak wajar diamalkan dibimbangi akan mengundang risiko yang lebih besar.

Sepatutnya kata beliau, pelaburan yang baik dan berkesan adalah melalui lebihan wang bukannya dengan membuat pinjaman atau berhutang.

"Misalnya dalam FGV, peneroka-peneroka diberi pinjaman duit untuk membeli saham, akhhirnya saham jatuh mereka yang menanggung beban. Begitu juga dalam kes 1MDB kalau pinjaman untuk pelaburan perlu difikirkan," katanya.

Katanya, mereka yang hendak berhutang perlu 'ukur baju di badan sendiri' sama ada layak atau tidak untuk memiliki kereta kancil atau perdana.

Apa yang berlaku hari ini, katanya, ramai golongan muda sudah diisytihar bankrup oleh Jabatan Insolvensi kerana dibelenggu hutang yang banyak akhirnya menjejaskan masa depan mereka.

Idris turut mencadangkan agar kerajaan mengenakan syarat yang ketat kepada peminjam-peminjam agar mereka tidak mudah untuk terus berhutang.

"Harap selepas ini syarat ketat perlu dikenakan untuk sebarang pinjaman yang hendak dibuat," katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kuala Langat Abdullah Sani Abdul Hamid membangkitkan soal caj 12 peratus yang dikenakan oleh bank kepada penghutang yang hendak membersihkan namanya daripada senarai bankrup.

"Hutang semua sudah selesai tetapi hendak 'settle' nama daripada bankrup pula dikenakan bayaran sebanyak 12 peratus. Ini satu beban yang tidak munasabah. Perkara ini serius," soalnya.

Perkara ini juga turut dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Pengkalan Chepa Dr Izani Husin yang mempersoalkan tindakan institusi kewangan bukan sahaja mengenakan 12 peratus kepada penghutang bahkan mereka pula dikehendaki membayar caj RM900 hingga RM1200. – HARAKAHDAILY 29/3/2017

SEBARANG pembangunan pemajuan di Selangor perlu memperoleh kelulusan kebenaran merancang daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang telah dinilai oleh Jabatan-Jabatan Teknikal di peringkat PBT seperti Jabatan Pembangunan, Jabatan Penilaian dan Jabatan Perancang.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar negeri, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata penguatkuasaan berasaskan perundangan seringkali dilakukan oleh PBT mahupun Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Beliau menyatakan demikian semasa menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Dusun Tua, Razaly Hassan pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di Shah Alam hari ini.

Walau bagaimanapun, katanya masih terdapat projek-projek yang tidak berlesen dibuat di tapak-tapak tanah pertanian yang berukuran kurang daripada satu ekar setiap satu.

"Ianya agak sukar untuk dipantau kerana seringkali urusan tukar syarat tanah tidak dilaksanakan," jelasnya yang juga Adun Pandan.

Menurutnya, kerajaan negeri melalui PBT akan sentiasa memastikan pihak pemaju mematuhi segala syarat Kebenaran Merancang (KM) dan Pelan Bangunan (BP) yang telah diluluskan bagi mengelakkan tindakan perundangan dibuat ke atas pemaju-pemaju yang melanggar syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Selain itu, ujar beliau kesedaran pembeli juga perlu memandangkan mereka hendaklah memastikan pemaju berlesen dengan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan melalui penetapan syarat yang telah ditetapkan.

Tambahnya, tindakan perundangan terhadap pemaju-pemaju berlesen boleh dilaksanakan mengikut peruntukan-peruntukan yang terdapat di dalam Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) 1966 (Akta 118) yang telah memperuntukkan seksyen-seksyen tertentu yang melibatkan penalti kesalahan sekirannya pemaju-pemaju tersebut dengan sengaja ataupun tidak melanggar syarat-syarat yang telah diluluskan.

"Kesedaran pembeli juga penting kerana kegagalan pembeli mengetahui hak masing-masing bakal menyumbang kepada masalah berhubung pengurusan, kejiranan dan kehidupan sosial pada masa akan datang," katanya lagi. - HARAKAHDAILY 29/3/2017

SEJAK beroperasi pada Ogos 1999, hanya Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) di Kelantan belum dinaik taraf kepada Kolej Universiti.

Sedangkan permohonan sudah diajukan KIAS kepada Kementerian Pengajian Tinggi pada 2011. Malah sebahagian besar syarat ditetapkan sudah dipenuhi.

Manakala kolej-kolej lain di luar Kelantan yang hampir sama usia dengan KIAS sudah lama dinaik taraf menjadi kolej universiti.

Malah Pemangku Raja Kelantan Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra bertitah pihak kementerian wajar mempertimbang menaik taraf KIAS kepada kolej universiti.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Ke-5 Dun Kelantan Ke-13 di Kota Darulnaim minggu lepas.

kias1Ketua Eksekutif KIAS Prof Dr Ab Aziz Mohd Zain berkata, permohonan bagi menaik taraf kolej tersebut sudah diaju kepada kementerian pada 2011.

Katanya selepas tiga tahun baru pihak terbabit menjawab permohonan KIAS dengan meletakkan syarat supaya beberapa kriteria perlu dipenuhi.

Antaranya bilangan pelajar antarabangsa perlu ditambah, prasarana lebih lengkap dan memastikan 60 peratus pelajar tinggal di asrama KIAS.

“Selepas menerima cadangan daripada kementerian pada 2014 kami berusaha memenuhi syarat ditetapkan dengan melakukan beberapa perubahan.

“Pada pandangan kami kemudahan pembelajaran yang ada di KIAS dianggap sudah mencukupi, namun kementerian mahu ia ditambah baik lagi,” katanya ditemui di Nilam Puri Kota Bharu hari ini.

Sehubungan itu Dr Abdul Aziz berkata, pihaknya akan menghantar permohonan baru tahun ini seiring dengan beberapa perubahan yang dilakukan.

KIAS merupakan institusi tinggi pengajian agama milik kerajaan negeri. Ia diurus KIAS Darulnaim Sdn Bhd (KDSB), anak syarikat Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN).

Sekarang mempunyai kira-kira 2,000 pelajar di mana 100 daripadanya pelajar luar negara. Manakala pensyarah seramai 83 orang.

KIAS mengendalikan 13 program peringkat diploma termasuk Usuluddin, Syariah, Kewangan Islam, Perbankan Islam, Dakwah dan Media, Kaunseling Islam dan Pengurusan Lojistik.

Manakala program ijazah Usuluddin dan Syariah berkembar dengan Kolej Universiti Insaniah. - HARAKAHDAILY 29/3/2017

PERJUANGAN Adun Chempaka Ahmad Fathan Mahmood bagi membolehkan penduduk di sekitar Pekan Chabang Tiga Pengkalan Chepa memiliki pasar baharu kini hampir menjadi kenyataan.

Ini kerana pasar lama berusia berpuluh tahun tidak sesuai lagi dengan pertambahan bilangan penduduk sekarang.

Impian itu diluahkan Ustaz Fathan ketika kempen pilihan raya kecil Dun Chempaka pada Mac 2015. Dan hari ini pembinaan pasar berkenaan siap hampir 50 peratus.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya (MPKB-BRI), Datuk Mohd Zamri Ismail berkata, pasar berkenaan yang bernilai RM3.5 juta dijangka dapat beroperasi Oktober depan.

Katanya pasar dua tingkat itu mula dibina tahun lalu dan dijangka siap akhir tahun ini.

“Pasar berkenaan dibina bagi menggantikan pasar lama yang sudah tidak sesuai lagi untuk digunakan. Keadaannya tidak selesa dengan pertambahan pengunjung dan peniaga,” katanya di sini.

Beliau juga berkata, selain Pasar Cabang Tiga Pengkalan Chepa, MPKB BRI turut membina Pasar Berek 12 juga setinggi dua tingkat. – HARAKAHDAILY 29/3/2017

KOLUMNIS

Grid List

LEBIH seminggu yang lalu, saya dan YB Ustaz Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz dan YB Dato' Dr Khairudin Aman Razali at Takiri telah mengunjungi 2 orang tokoh ulamak terkenal di dunia Islam iaitu Asy Syeikh Dr. Hammam Said sebagai mantan Muraaqibul Aam Ikhwanul Muslimin Jordan dan juga Asy Syeikh Dr. Solah Khaalidi seorang mufassir tersohor di kediaman mereka Amman Jordan.

hamam2Kunjungan kami adalah untuk berbincang dan mendapatkan nasihat serta pandangan mereka mengenai perkembangan Islam di peringkat antarabangsa termasuklah perkembangan Islam dan syariatnya di Malaysia.

Ilmu dan pengetahuan mereka mengenai perkembangan Islam mutaakhir ini tidak usah dipersoalkan lagi. Lebih menarik, mereka juga mengikuti perkembangan Islam di Malaysia dari dekat terutama melalui media on-line dan anak-anak murid mereka dari kalangan pelajar Malaysia yang menuntut di sana.

Antara topik paling menarik ialah penegasan sikap mereka berdua dalam memperjuangkan syariat Islam dan mengeluarkan sokongan terbuka kepada PAS yang berusaha mengangkat pelaksanaan Syariat Islam di Parlimen melalui Rang Undang-Undang Persendirian bagi maksud Meminda Akta 355.

Kedua-dua tokoh ulamak tersebut sangat tertarik dengan keunikan proses yang berlaku, apabila usaha PAS ini tidaklah menggunakan kekerasan, pemaksaan, revolusi, subversif dan seumpamanya tetapi menggunakan "pintu depan" dengan membawanya ke parlimen dan berusaha mencari simple majority dari kalangan ahli parlimen. Ianya sangat demokratik dan tidak mencetus ketegangan.

Justeru itu, mereka bukan sahaja menyokong malah telah menyeru supaya ahli-ahli parlimen Malaysia, khasnya yang beragama Islam supaya menyokong usaha murni untuk memperkasakan perlaksanaan syariat Islam dalam sistem perundangan di Malaysia.

Transkrip ucapan Asy Syeikh Dr. Hammam Said telah dimuat naik ke Harakah Daily untuk tatapan awam. Rujuk:

http://www.harakahdaily.net.my/index.php/berita/77-berita/ruu355/838-transkripsi-ucapan-sokongan-meminda-akta-355http://www.harakahdaily.net.my/index.php/berita/77-berita/ruu355/838-transkripsi-ucapan-sokongan-meminda-akta-355

Saya harap, biarpun tekanan terlalu hebat  dengan pelbagai fitnah dan spekulasi untuk Pindaan Akta 355 ini diluluskan di parlimen, ia akhirnya berjaya diluluskan insyaallah. Doakanlah semoga Allah swt permudahkan urusan, mengurniakan kekuatan kepada para pejuang dan memberi hidayah kepada semua ahli parlimen untuk memberi undi sokongan kepada Pindaan Akta 355.

Nyata PAS tidak berseorangan melainkan pelbagai pihak telah bersatu dan menyokong usaha murni ini termasuklah 2 tokoh ulamak kontemporarI di peringkat antarabangsa.

Kesempatan ini, saya turut menyeru para alim ulamak di Malaysia turut bersatu tenaga dan berpadu suara menasihati dan menggesa para ahli parlimen agar mereka menyokong Pindaan Akta 355 ini di parlimen kelak.

Perkasakan Syariat Rakyat Sejahtera

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
29 Mac 2017  |  01 Rejab 1438 - HARAKAHDAILY 29/3/2017

BANYAK kalangan yang bertanya sikap PAS di antara memilih bersama Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional (BN)? Hanya pihak lain sahaja berdilema berkenaan PAS, menandakan PAS diminati semua. Adapun PAS, sedikitpun tidak menjadi keliru bagi menentukan sikapnya.

PAS sejak penubuhannya mewarisi para pemimpin yang berpengalaman dengan semua keadaan, sejak zaman penjajah sehinggalah selepas negara mencapai kemerdekaan.

Di zaman penjajah dahulu, sama ada British atau Jepun mereka yang menjadi pemimpin PAS sebelum penubuhannya berada dalam PKMM pernah bertahaluf dengan kumpulan nasionalis, sosialis, sehinggalah komunis, akhirnya dirungkaikan. Mereka yang tidak memahami konsep tahaluf, masuk hutan bersama komunis. Adapun yang beristiqamah menubuhkan Hizbu Al Muslimin yang akhirnya diharamkan oleh penjajah, yang bakinya bersama Umno.

Ketika PAS ditubuhkan 1951, memuncaknya perjuangan menuntut pilihan raya segera melalui pendekatan politik damai, PAS bertahaluf bersama IMP dan Perikatan (Umno, MCA dan MIC), sehingga Dr Burhanuddin Al Hilmi bersama Prof Zulkifli Mohamad, Pak Sako, Ahmad Boestamam dan Dato' Onn Jaafar menyertai Persidangan Afro Asia dan turut mendukung perjuangan kemerdekaan. Apabila PRU pra kemerdekaan1955, PAS bersendirian di mana semua komponen Pakatan Harapan belum lagi menjadi janin untuk dilahirkan.

Selepas kemerdekaan PAS bersendirian dan mencapai sedikit kejayaan dalam PRU 1959, apabila berjaya memerintah Terengganu dan Kelantan dan menjadi pembangkang di Parlimen bertahaluf dengan Parti Negara yang dipimpin oleh Al Marhum Datuk Onn Jaafar, bekas Presiden Umno.

Ketika penubuhan Malaysia berlakunya konfrontasi dengan Indonesia, PAS bertahaluf dengan kumpulan pembangkang menolak penubuhan Malaysia dan mahukan Melayu Raya. Mereka yang tidak memahami konsep tahaluf terus menyokong Sukarno bersama kumpulan pembangkang lain. Adapun yang beristiqamah terus bersama PAS.

Selepas Peristiwa 13 Mei 1969, PAS menyertai Kerajaan Campuran bersama Perikatan 1973 dan menubuhkan BN 1974 bersama parti komponennya. Berakhir dengan PAS dipecat daripada BN. Mereka yang tidak memahami konsep tahaluf terus bersama BN atau menubuh parti lain, termasuk menggerakkan ABIM. Manakala yang diperalat BN, mengikut telunjuk parti itu dan berlakunya penubuhan Berjasa.
 
Di era mutakhir, PAS bertahaluf dengan Parti Semangat 46, selepasnya BA dan seterusnya PR. Berakhir dengan DAP memecat PAS.  

Dalam semua tahaluf tersebut, PAS teguh dengan dasar dan matlamatnya. Pemimpin dan ahlinya diwajibkan beristiqmah dengan dasar matlamat dan wala' kepada keputusan pemimpinya. Perkataan Wala' dan Tahaluf  tidak ada dalam istilah parti yang tidak berasaskan Islam. Mereka yang tidak faqih dalam istilah ini tidak boleh bersama PAS, sama ada keluar melarikan diri atau dipecat.
 
PAS tidak bersama PH kerana bercanggah dengan dasar dan konsepnya. Di dalamnya ada parti dan pemimpin yang terus menerus menentang Islam secara terbuka atau bersembunyi atau oppurtunis.

PAS tidak boleh menyertai BN kerana pernah menyertainya dan terkini memerintah negara dengan bebanan masalah dan penyakitnya, serta masih ada halangan terhadap dasar dan matlamat PAS. Menyertai BN laksana memikul biawak hidup.  Walaupun sebahagian kalangan mereka yang mencipta masalah dalam BN telah keluar dan menyertai PH. Bahkan menyertai PH biawaknya lebih besar dan penyakitnya lebih parah.

PAS memperkenalkan konsep Politik Matang dan Sejahtera berteraskan wajib berkepimpinan Islam yang adil terhadap semua anggota masyarakat majmuk mengikut objektif Ta’aawun berpandukan firman Allah:

وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ ٢ المائدة.

2. "Hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya). (Al-Maidah: 2)

"Inilah Penyelesaian Kita"

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
26 Jamadil Akhir 1438H / 25 Mac 2017M - HARAKAHDAILY 25/3/2017