30
Tue, May
25 Artikel Baru

KEAMANAN adalah suatu nikmat yang tidak ternilai dalam menyemarakkan dakwah Islamiah. Demikian pula ilmu adalah tunjang dan nadi pembinaan kefahaman Islam yang sebenar.
 
Begitu pula suasana permusuhan dan pertelingkahan antara masyarakat hanya meruntuhkan keteguhan Islam kerana terhalangnya sebaran ilmu dan malapnya aktiviti dakwah. Begitulah peringatan yang diberikan oleh seorang sahabat dari Filipina kepada saya.
 
Pertemuan dan perbincangan saya bersama beliau lewat solat tarawih malam tadi adalah semata-mata membincangkan keperluan golongan OKU penglihatan di Fililpina dalam mempelajari braille dan Al-Quran.
 
Pertelagahan dan perselisihan umat Islam di wilayah-wilayah tertentu di Filipina telah sama sekali melemahkan umat Islam bila mana mereka gagal memahami Islam yang sebenar. Sekadar tahu Islam dan semaraknya semangat jihad telah memusnahkan dan mematikan akhlak Islam sebenar yang sekaligus menidakkan suasana persaudaraan yang sepantasnya dibina.
 
Dalam suasana itulah sahabat ini mencari sisa-sisa ruang yang ada untuk menyuburkan dakwah dan menerapkan Islam dengan ilmu yang muktabar. Biarpun cabarannya merentangi usaha, ia tidak mudah untuk mematahkan semangat yang ada bagi menyerlahkan kehebatan Islam di dalam masyarakat.
 
Justeru, keprihatinan beliau kepada golongan OKU penglihatan membawa pertemuan dan perbincangan antara kami. Program pengajian braille dan Al-Quran ke Filipina adalah antara rangka usaha kami melalui Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia “Pertis”, dalam semarak program Quran braille serantau.
 
Selain menyediakan naskah-naskah Al-Quran braille, Pertis bertanggungjawab menyediakan tenaga-tenaga pengajar bagi membolehkan seberapa ramai komuniti OKU penglihatan termasuk sahabat serantau mampu membaca dan memahami AlQuran melalui tulisan braille.
 
Benarlah tauladan yang ditunjukkan oleh baginda Rasul Allah S.A.W betapa ilmu itu pelita kehidupan termasuklah mereka yang kurang upaya. Keyakinan itulah yang memberi perangsang kepada saya dan rakan-rakan untuk meluaskan sebaran kefahaman Islam termasuk penyebaran ilmu Al-Quran braille biarpun terpaksa menempuh pelbagai cabaran.
 
Cukup saya tersentuh pada suatu masa bila saya didatangi oleh seorang anak yang buta matanya menyatakan keinginannya untuk belajar dan menjadi pandai sambil memegang tangan saya. Saya yang tidak diuji dengan anak-anak OKU cukup rasa terharu dan hiba bila mengenangkan cabaran yang perlu ditempuh oleh ibu bapa yang anaknya seorang OKU.
 
Sesungguhnya keekuatan ibu bapa sedemikianlah yang akhirnya mampu membentuk jati diri anak-anak OKU termasuk saya hari ini dan kerana itulah memperkasa agenda pendidikan dan ilmu sangat meruntun hati saya dalam pembangunan orang kurang upaya.
 
Bagi memperkasa agenda ini kami sangat memerlukan dokongan dan sokongan seluruh masyarakat. Baginda Rasul Allah S.A.W telah menunjukkan model bagaimana sahabat-sahabat R.A dari kalangan OKU mampu digilap hanya dengan ilmu. Titian sirah itulah yang sedaya mampu kami jelmakan dalam zaman mutakhir yang penuh mehnah ini. - HARAKAHDAILY 29/5/2017

SERAMAI 50 penduduk bukan Islam turut menerima bantuan daripada wakil rakyat sempena bulan Ramadan sekarang.

Mereka termasuk dalam kalangan 550 armalah dan orang miskin di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Wakaf Bharu menerima bantuan tersebut hari ini.

Bantuan itu disampaikan Adun Wakaf Bharu, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

Che Abdullah yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, kerajaan negeri tidak melupakan tanggungjawab bagi memastikan penduduk miskin terbela.

“Bantuan juga diberi kepada penduduk bukan Islam yang terdiri daripada golongan rakyat miskin,” katanya pada program penyampaian bantuan itu di Masjid Mukim Kampung Delima, Wakaf Bharu.

Beliau juga mengingatkan orang Islam sentiasa berjimat cermat ketika berbelanja pada bulan Ramadan sekarang bagi mengelakkan pembaziran.

Menurutnya apabila penghayatan Islam diamal secara menyeluruh pembaziran tidak akan berlaku. - HARAKAHDAILY 29/5/2017

HIDUP manusia akan lengkap dan aman sekiranya menjadikan al Quran sebagai panduan, kata Menteri Besar, Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob.

Ini kerana kata beliau segala panduan kehidupan dalam semua aspek terkandung dalam al Quran.

“Lebih-lebih lagi di bulan Ramadan sekarang umat Islam hendaklah mengejar ganjaran pahala yang disediakan Allah SWT pada bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini,” katanya ketika merasmikan Madinah Ramadan, di Dataran Stadium Sultan Muhammad Ke IV di Kota Bharu, malam tadi.

Hadir sama anggota-anggota Exco kerajaan negeri, anggota Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyudin Hassan dan wakil-wakil rakyat.

Beliau turut melahirkan rasa bangga kerana anak jati Kelantan turut diundang mengimami solat sunat tarawih di Madinah Ramadan tahun ini.

"Pembaharuan yang dibuat MPKB-BRI diharap membuahkan hasil yang baik.

"Siapa tidak bangga apabila anak Kelantan, Dr Lokman Ibrahim pensyarah dari USIM turut mengimamkan solat tarawih di sini,” katanya.

Dr Lokman pakar dalam bidang qiraat diundang sebagai imam solat tarawih selama tiga malam bermula 1 Ramadan lepas. - HARAKAHDAILY 29/5/2017

BERULANGKALI pernah diingatkan oleh pelbagai pihak bahawa dalam negara kita yang berbilang kaum dan agama semua pihak perlu sensitif menghormati adat dan kepercayaan pihak yang lain.

Tambah Islam sebagai agama Persekutuan dan anutan majoriti rakyat di Malaysia.

The Star dalam permohonan maaf muka depannya menyebut tiap-tiap tahun menjadi tradisi akhbarnya memang memaparkan gambar muka depan umat Islam menunaikan solat tarawih pada malam satu Ramadan.

Akan tetapi katanya kebetulan "lead story" pada hari berkenaan adalah mengenai seorang pemimpin pengganas dari Malaysia.

Langsung dipaparkan gambar dan tajuk berkenaan bersekali di muka utama tabloidnya.

Sebagaimana Nanyang akhbar The Star menyatakan kekesalan atas tindakannya yang telah melukai perasaan umat Islam itu.

Sesiapa yang memohon maaf khasnya dalam bulan Ramadan yang mulia ini kita boleh maafkan walau kecewa.

Namun sebagaimana amaran yang PAS keluarkan melalui Ketua Penerangan PAS Pusat Ustaz Nasrudin Hassan: "Semua pihak diseru berhenti dari melakukan sebarang percubaan untuk menguji kesabaran ummat Islam".

Semoga tiada lagi cubaan seumpama ini oleh mana-mana pihak sekalipun. – HARAKAHDAILY 29/5/2017

PAS Terengganu mengutuk sekeras-kerasnya akhbar The Star atas sikap biadab dan tidak tahu menghormati umat Islam, kumpulan terbesar di Malaysia ini kerana menyiarkan gambar sekumpulan orang Islam yang sedang bersolat jemaah dengan tajuk muka depan yang mengaitkan Islam dengan keganasan. Walaupun isi dan gambar berita yang berlainan, tapi jelas ia boleh mengelirukan pembaca.

Kegagalan The Star dalam menghormati sensitiviti umat Islam ini, bukanlah kali pertama berlaku. Pada tahun 2006, disiarkan gambar Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi bersebelahan dengan gambar iklan arak.

Pada tahun 2011 pula, The Star tanpa ada rasa hormat, telah menyiarkan iklan hidangan masakan berasaskan babi dan menawarkannya sebagai hidangan berbuka puasa oleh sebuah restoran yang tidak mempunyai sijil halal.

Tidak puas dengan itu, pada tahun 2015, The Star kembali menyemarakkan kemarahan umat Islam dengan menyiarkan iklan minuman keras di muka depan akhbar mereka.

Kini setelah beberapa jam menyiarkan gambar dan tajuk berita yang boleh mengelirukan pembaca bahawa Islam adalah agama keganasan, mereka memohon maaf, sama seperti mana yang mereka lakukan setelah beberapa kali meniupkan api keagamaan.

PAS Terengganu mendesak kerajaan Malaysia melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) agar mengenakan hukuman yang maksimum kepada The Star atas beberapa kesalahan yang hampir sama yang telah dilakukan. Amat malang bagi rakyat Malaysia jika pengurusan The Star dibebaskan lagi kerana rakyat Malaysia memerlukan kerajaan yang tegas dan tidak mahu kepada penghasut agama seperti The Star. Seseorang mesti dipertanggungjawabkan atas kejahatan ini apatah lagi sudah beberapa kali The Star memilih Ramadhan sebagai waktu pilihan mereka menyebarkan onar ini.

Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu

EDITOR akhbar The Star lahir di Malaysia, membesar di Malaysia dan memiliki warganegara Malaysia. Saya cukup yakin dia sedar bahawa gambar latar belakang di muka depan akhbar yang di bawah jagaannya dengan tajuk 'Malaysian Terrorist Leader' ialah gambar orang Islam sedang solat berjemaah. Adalah mustahil puluhan tahun dia hidup di Malaysia, dia tak tahu bahawa itu adalah gambar solat berjemaah.

Bila tahu hakikat sebenar tapi masih nak cari pasal juga, itu namanya sengaja nak cucuh api untuk membakar sentimen keagamaan. Kita duduk elok-elok, tiba-tiba dia mari tumbuk kita. Bila kita balas balik dengan penyepak, dia yang menangis nanti. Lepas tu kata kita jahat dan ganas.

Baru saja Nanyang Siang Pau buat hal dengan orang Islam dan akhirnya terpaksa merayu minta maaf, kini The Star pula. Jangan marah bila pandangan umum kata, dua-dua yang buat hal ini akhbar orang Cina!

Saya jumpa dengan seorang Cina di Kota Bharu yang pegang akhbar The Star. Dia sendiri pun marah. "Apa ini punya orang nak cari gaduh! Sorang dua orang Islam jadi pengganas, mana boleh letak gambar orang tengah sembahyang!" Marahnya yang mungkin ditujukan kepada editor akhbar.

Tak ada siapa pun yang waras sengaja nak mengapi-apikan dan memanaskan suhu sentimen perkauman serta keagamaan. Kalau orang tak waras, dia tak layak jadi editor akhbar. Api fitnah jangan dikobarkan. Kelak membakar diri sendiri.

Kita menuntut agar KDN bertindak segera mengikut lunas undamg-undang. Walau esok mungkin editor minta maaf, ia tak cukup. Kecuali kalau dia boleh kutip semula setiap naskhah akhbar yang telah terjual dan dia mampu padamkan semua yang telah disebar di alam maya. Fitnah yang telah merata tak mampu selesai dengan hanya permohonan maaf.

Dr Azman Ibrahim
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat

KEMELUT yang berlaku dalam negara kini memerlukan satu perubahan atau anjakan politik yang serius.

Kegawatan ekonomi, yang sebahagiann besarnya berpunca dari salah urus khazanah negara telah sampai kepada kemuncaknya bila semua penyelewengan yang selama ini ditutup, kini terbuka satu demi satu.

Kebobrokan dan salahguna kuasa kini semakin nyata sehingga munculnya pelbagai kenyataan dari dalaman Umno dan kabinet yang mempertikai secara terbuka apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri.

Kritikan-kritikan bekas pimpinan tertinggi BN seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Shafie Afdal, Tan Sri Ling Liong Sik di dalam isu 1MDB sehingga ada yang keluar dan dipecat dari parti sehingga wujudnya parti-parti baru adalah perkembangan politik yang semakin mendebarkan.

Di samping itu, terdapat pelbagai desakan agar PM meletak jawatan.

Keadaan ini adalah sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

BN dijangka tidak lagi mampu bertahan.

Dalam keadaan seperti ini, teknik mengalihkan pandangan rakyat daripada isu-isu yang sedang melanda rakyat kepada isu-isu remeh-temeh dan sensasi sedang dilakukan giat.

Dengan teknik ini, BN berharap rakyat dapat melupakan isu seperti 1MDB dan kenaikan kos sara hidup dan memberi tumpuan kepada program-program seperti TN50, drama-drama politik yang tidak henti seperti insiden tampar dan juga tangkapan-tangkapan berprofil tinggi para penjawat awam seperti seorang bekas polis pegawai tinggi yang dituduh menerima komisyen RM1 juta tapi akhirnya dibebaskan.

BN akan mencuba apa sahaja, tapi realitinya, perubahan politik ini tidak dapat dielakkan lagi, hanya masa sahaja belum diketahui.

Kebangkitan golongan muda dan desakan ke arah perubahan total semakin hari semakin kuat.

Cuma, persoalan besarnya ialah ke manakah perubahan yang hendak dibawa?

Apakah kita hanya menukarkan kepimpinan negara bersama sistem sekular atau megubah tapak dan sistem negara ini secara total?

Bagi PAS, perubahan mesti mengembalikan manusia kepada sistem Islam yang syumul, selaras dengan gagasannya sebagai rahmat bagi seluruh alam.

Golongan menentang akan terus menolak idea dan gagasannya ini. Meskipun sejarah menunjukkan bahawa keagongan tamadun manusia berlaku di zaman Islam, namun sikap anti-Islam atau Islamphobia yang dicanang oleh Barat yang kini berjaya meresap masuk ke akal fikiran manusia, telah menjadikan mereka bertindak dan berhujah secara tidak rasional apabila terdengar sahaja perkataan "Islam".

Anehnya, mereka boleh menerima sistem komunisma, kapitalisma, sosialisma dan pelbagai lagi 'ma' asalkan ia bukan bernama "Islam".

Tanpa kembali kepada Islam yang sebenar, yakni kita hanya akan melakukan perubahan yang separuh masak.

Kita sekadar akan merubah dari satu kegagalan sistem ciptaan manusia kepada satu lagi sistem ciptaan manusia yang lain yang juga akan berhadapan dengan pelbagai kelemahan dan kepincangan.

Di dalam apa-apa perubahan, sepatutnya kita mengambil peluang untuk meruntuhkan sistem jahiliyah dan menegakkan sistem Islam di atas keruntuhan tersebut.

Islam menawarkan pakej lengkap dalam usaha melakukan perubahan. Gagasan Islam tidak bersifat ancaman, dan jauh lagi bersifat paksaan. Sebaliknya gagasan ini mengemukakan cadangan dan pilihan.

Islam menentang sikap menutup telinga dan mata kepada perubahan. Di dalam Islam, manusia diseru untuk membuka mata dan telinga, mengkaji dengan ikhlas hati serta membuat rumusan sendiri terhadap apa yang diperolehinya.

Golongan marhaen dijadikan mangsa kerakusan pemimpin yang tamakkan kuasa. Kegilaan pada kuasa menyebabkan mereka menjadikan rakyat batu loncatan dengan menjanjikan perubahan ke arah yang lebih baik.

Rakyat dijanjikan negara yang harmoni, tiadanya rasuah dan salahguna kuasa. Namun apa yang mendukacitakan ialah perubahan yang dibawa hanyalah tempelan kerana ia hanya menukarkan watak pelaku tanpa merubah sistem yang menjadikan landasan perubahan tersebut.

Keadilan hanya dapat dinikmati dari sistem yang adil. Tanpa perubahan sistem dan dasar kepada sistem yang benar-benar adil, rakyat tidak akan dapat mengecapi keadilan sebenar.

Kerana itulah, Allah menurunkan satu sistem yang syumul kepada manusia iaitu sistem Islam kerana tiada siapa yang dapat memahami ciptaan-Nya lebih baik daripada penciptanya itu sendiri.

Faktor utama yang membawa kepada perubahan ini ialah keinginan yang kuat. Keinginan mestilah disertai dengan gerak kerja yang tersusun dan mujahadah yang tinggi dan kesungguhan bekerja. Kepentingan peribadi perlu diketepikan sama sekali.

Dengan ramuan ini, barulah satu bentuk gerak kerja berjemaah yang tersusun rapi dapat dilahirkan sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah dalam Surah As-Saff: 4.

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفًّا كَأَنَّهُمْ بُنْيَانٌ مَرْصُوصٌ

"Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh."

Tuan Ibrahim Tuan Man
Makkah al Mukarramah

PAS Sarawak deka ngambi peluang meri ucap selamat ari gawai ngagai semua rakyat iban dayak Sarawak.

PAS Sarawak besampi ngajih ke gawai taun tu,ulih ngukuh,ulih neguh kaul diri sebilik,ulih mega ngerapat ngambi rat kaul kaban belayan engau penuh pengelantang.

Enggau tu kami ari PAS Sarawak ngambi kesempatan ngingat ke kitai iban dayak Sarawak ti di sambut enggau pengaga ati,jaga diri enggau manah,likun ke diri ba rantau jalai Maya pemisi gawai dayak ke taun tu.

Selamat Hari Gawai Dayak Gayu Guru Gerai Nyamai Nguan Menua Senang Lantang Bulih Rezeki Belimpah Ruah Bulih Padi Gayu Ko Antu Gerai Ko Sempandai...

Sejahtera Bersama Islam

JOFRI JARAIEE
Pesuruhjaya PAS Sarawak

TR CLEMENT BAYANG
Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Sarawak – HARAKAHDAILY 28/5/2017

Gawai

POLITIK persepsi, sudah lapuk. Buat tuduhan dulu, kemudian minta maaf. Bom dulu berita, kemudian minta maaf. Apa yang penting bentuk dulu persepsi buruk untuk mencapai matlamat politik. Dosa dan pahala ketepikan dahulu.  Inilah yang cuba dibuat kepada PAS untuk mematikan perjuangan PAS. Mereka silap, PAS sudah 66 tahun melawan Umno Perikatan, kemudian Umno BN. 13 kali PRU di negara ini, cuma sekali sahaja PAS tidak lawan Umno, iaitu pada tahun 1974. Sekarang pemimpin Pakatan Harapan menuduh PAS hendak bersama BN di dalam PRU 14. Inilah modal lapuk. Apabila mereka berceramah sahaja. Selepas Assalamualaikum," PAS hendak masuk Umno".  inilah tag line yang paling popular.

Paling kelakar sekali menuduh PAS, sekiranya BN menang  PRU14, semuanya berpunca daripada PAS kerana PAS tidak mahu sertai Pakatan Harapan. Belum menang sudah tidak demokratik. Kalau menang nanti apa hendak jadi dengan negara ini. Kalau begitu semua orang boleh tubuh parti baru, kemudian sertai Pakatan Harapan. Kemudian lawan di kerusi tradisi PAS atau lawan di Kelantan. Selepas itu memberi amaran, kalau BN menang semuanya punca kerana PAS berpakat dengan BN. Hakikatnya mereka yang melawan kerusi tradisi PAS yang melawan Umno. Mereka yang menjadi talian hayat Umno BN. Ini jenis politik apa yang kita hendak namakan.

Cyber trooper mereka cukup cekap dibantu pula oleh portal popular yang memang dulu kini selamanya tidak pernah bersama dengan PAS untuk agenda Islam. Ucapan pemimpin PAS akan diambil sekerat dan diletakkan tajuk supaya memburukkan PAS. Isi keseluruhan tidak diambil. Etika  kewartawanan sudah dibuang ke Laut China Selatan. Manakala ucapan pemimpin mereka akan disucikan seperti air mutlak  oleh cyber trooper mereka. Walaupun kadang -kadang mengguris perasaan hati umat Islam.

Jika ada gambar pemimpin PAS bersama dengan pemimpin Umno walaupun minum teh atau bersama dengan program kerajaan terus dituduh hendak masuk Umno. Pantang lihat gambar pemimpin kerajaan Kelantan bersama dengan kerajaan pusat terus mengatakan PAS sudah bersama dengan Umno. Jika ada pemimpin DAP, bukan sekadar minum malahan berlaga perut dan berpegang tangan tidak ada masalah. Maka terus cyber trooper mereka akan membersihkan tindakan ini, seperti suci di dalam debu. Ini program kerajaan tidak ada masalah. Jika pemimpin kesayangan mereka tidak apa, kalau pemimpin PAS, maka macam-macam ayat yang dihamburkan. Sehingga ada yang menuduh akan disambar oleh api neraka, kerana hadir program kerajaan. Insya Allah pengikut PAS tidak sebodoh itu hendak melabelkan seorang kerana berpegang tangan dan berlaga perut di dalam program kerajaan.

Pesan saya kepada pengikut PAS sabar sahajalah. Kita tengok siapa yang akan seberang masuk BN dan melutut kepada Umno selepas kalah PRU14. Kita kenal siapa mereka. Apabila BN tabur dedak tahulah kita siapa yang akan terkam ke sana.

Generasi muda yang berumur 20-30 tahun tidak menerima kaedah ini. Mereka mahu penyelesaian. PAS akan buktikan dengan amalan walaupun tidak sempurna tetapi lebih baik daripada pemimpin BN dan Pakatan Harapan. Biar rakyat menjadi saksi. Walaupun mereka nampak gagah tetapi tidak kekal. Benar kata Syed Qutb "Kebatilan walau pun nampak kuat, ia akan musnah. Manakala kebenaran walau pun nampak lemah ia akan menang". Fitnah tidak bertahan lama, kerana mereka yang menyebar fitnah akan mati dan lemah ingatan. Kebenaran bertambah kukuh kerana akan ada penerusannya hingga kiamat.

USTAZ IDRIS AHMAD

Naib Presiden PAS / Ahli Parlimen Bukit Gantang

2 Ramadhan 1438/ 28 Mei 2017 – HARAKAHDAILY 28/5/2017

KOLUMNIS

Grid List

IBADAT puasa, seperti ibadah solat, adalah jalan utama memperolehi sifat TAQWA. Ia dinyatakan secara jelas di dalam ayat 183 surah al Baqarah.

Ayat kefarduan puasa tersebut sebenarnya telah didahului oleh ayat-ayat terdahulu bermula daripada ayat 177 sehingga ayat 182 yang mengisyaratkan satu pernyataan yang menarik. Allah melalui ayat-ayat tersebut telah menyeru para hambaNya yang beriman kepada tiga arahan dan amalan iaitu;

Pertama, seruan melakukan amal kebajikan (al birr). Kedua, seruan melaksanakan al qisas (hukuman kesalahan jenayah). Ketiga, seruan agar berwasiat (hukum harta pusaka). Masing-masing ayat tersebut diakhiri dengan sifat TAQWA bagi mereka yang melaksanakannya. Malah, ayat yang menyeru kepada kewajiban al qisas adalah hampir sama dengan ayat yang menyeru kepada kewajiban berpuasa. Ia berakhir dengan "semoga kamu menjadi orang-orang yang BERTAQWA."

Jelas, sebagaimana ibadah rukun seperti solat, puasa, zakat dan haji adalah bertujuan memimpin orang yang beriman kepada sifat TAQWA, begitulah halnya hukum-hukum syariat yang lain. Perlaksanaan syariat Islam akan menyemarakkan sifat TAQWA dalam kehidupan individu dan masyarakat Islam.

Justeru sebagaimana kita bersungguh-sungguh melaksanakan ibadah solat dan puasa dengan matlamat memperolehi TAQWA, begitulah sayugia kita bersungguh-sungguh menyeru diri, masyarakat dan pemerintah agar memburu TAQWA dengan melaksanakan syariat Islam, hukum-hakam dan halal haramnya sepenuhnya.

Allah berfirman, "Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu semua ke dalam Islam sepenuhnya dan janganlah kamu mengikuti jejak langkah syaitan. Sesungguhnya dia bagi kamu adalah musuh yang nyata." (al Baqarah:208)

Islam adalah agama yang sempurna dan menyeluruh. Ia tidak boleh dijuzuk-juzukkan, diambil dan ditinggalkan sesuka hati. Ia jelas menuruti jejak langkah syaitan dan menghilangkan sifat TAQWA dalam diri dan masyarakat. Mari bersama menyeru kepada Islam yang syumul.

ALHAMDULULLAH, marilah kita perbanyakkan bersyukur kepada Allah yang telah memberi peluang sekali lagi untuk menjadi tetamu Allah di bulan Ramadhan yang penuh kerahmatan dan keampunan

tg ramadanFirman Allah SWT:

﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ﴾ [البقرة: 183]

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa” [Al-Baqarah: 183]

Alhamdulillah, marilah kita perbanyakkan bersyukur kepada Allah yang telah memberi peluang sekali lagi untuk menjadi tetamu Allah di bulan Ramadhan yang penuh kerahmatan dan keampunan. Ada manusia tidak sempat dan tidak menyangka Ramadhan tahun lalu adalah Ramadhan terakhir untuk mereka. Ada manusia diberi peluang tetapi mensia-siakan pula ganjaran Allah.

Allah S.W.T melatih umat Nabi Muhammad S.A.W di bulan Ramadhan supaya mendidik diri mereka dengan sifat-sifat takwa. Pensyariatan puasa ke atas umat Islam untuk memperbaiki diri mereka agar taat kepada perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya. Walaupun manusia berpeluang untuk menjamah makanan halal dihadapan mereka, tetapi ditahan nafsunya kerana takutkan Allah. Di sinilah manusia dilatih untuk mengawal godaan hawa nafsu dalam perkara halal mahupun perkara haram dan syubuhat.  

Amalan yang dikerjakan di bulan Ramadan juga untuk melahirkan rasa syukur seorang hamba kepada Allah S.W.T dengan mendidik ruh, akal dan jasad mereka. Selain digalakkan untuk solat terawih, bacaan al-Quran dan ibadah-ibadah yang lain, kita juga digalakkan untuk bersedekah dengan mengorbankan harta benda dan mensucikannya melalui kefardhuan zakat fitrah. Sepatutnya dibulan inilah umat Islam dididik untuk lebih terkehadapan dalam menjalankan kerja-kerja kebajikan dan membantu mereka yang memerlukan.

Bulan Ramadhan juga bulan Al-Quran. Di dalamnya, banyak menerangkan tentang konsep ketuhanan, ibadah, politik, pendidikan, ekonomi, sosial masyarakat, undang-undang, hal ehwal antarabangsa dan sebagainya.

Kita kena sedar yang kita adalah makhluk dan hamba kepada Tuhan. Islam itu merupakan agama asal kepada kejadian ciptaan manusia dan makhluk di langit dan di bumi. Hanya manusia yang jahil dan bebal sahaja beranggapan teori kewujudan manusia bermula di zaman batu sebagaimana kenyataan yang dibuat oleh ahli-ahli sejarah barat yang jahil dan bebal.  

Al-Quran yang diturunkan sudah lengkap bagi keperluan hidup manusia. Sudah cukup kepada umat di akhir zaman ini untuk berpegang teguh dengan al-Quran dan panduan Nabi Muhammad SAW. Jadikanlah Ramadhan bulan untuk kembali kepada suluhan Al-Quran. Selain itu, rebutlah ketika peluang masih ada dengan perbanyakkan bacaan al-Quran, solat sunat, beriktikaf, berdoa, bersedekah dan merapatkan silaturahim sesama umat Islam.

Akhirnya, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan Al-Mubarak kepada seluruh umat Islam walau di mana jua anda berada. Mudah-mudahan Ramadhan tahun ini menjadi Ramadhan paling terbaik di dalam sejarah hidup kita untuk meraih keampunan dan mencapai darjat taqwa.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 1 Ramadhan 1438H / 27 Mei 2017M