30
Tue, May
25 Artikel Baru

Berita

KEAMANAN adalah suatu nikmat yang tidak ternilai dalam menyemarakkan dakwah Islamiah. Demikian pula ilmu adalah tunjang dan nadi pembinaan kefahaman Islam yang sebenar.
 
Begitu pula suasana permusuhan dan pertelingkahan antara masyarakat hanya meruntuhkan keteguhan Islam kerana terhalangnya sebaran ilmu dan malapnya aktiviti dakwah. Begitulah peringatan yang diberikan oleh seorang sahabat dari Filipina kepada saya.
 
Pertemuan dan perbincangan saya bersama beliau lewat solat tarawih malam tadi adalah semata-mata membincangkan keperluan golongan OKU penglihatan di Fililpina dalam mempelajari braille dan Al-Quran.
 
Pertelagahan dan perselisihan umat Islam di wilayah-wilayah tertentu di Filipina telah sama sekali melemahkan umat Islam bila mana mereka gagal memahami Islam yang sebenar. Sekadar tahu Islam dan semaraknya semangat jihad telah memusnahkan dan mematikan akhlak Islam sebenar yang sekaligus menidakkan suasana persaudaraan yang sepantasnya dibina.
 
Dalam suasana itulah sahabat ini mencari sisa-sisa ruang yang ada untuk menyuburkan dakwah dan menerapkan Islam dengan ilmu yang muktabar. Biarpun cabarannya merentangi usaha, ia tidak mudah untuk mematahkan semangat yang ada bagi menyerlahkan kehebatan Islam di dalam masyarakat.
 
Justeru, keprihatinan beliau kepada golongan OKU penglihatan membawa pertemuan dan perbincangan antara kami. Program pengajian braille dan Al-Quran ke Filipina adalah antara rangka usaha kami melalui Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia “Pertis”, dalam semarak program Quran braille serantau.
 
Selain menyediakan naskah-naskah Al-Quran braille, Pertis bertanggungjawab menyediakan tenaga-tenaga pengajar bagi membolehkan seberapa ramai komuniti OKU penglihatan termasuk sahabat serantau mampu membaca dan memahami AlQuran melalui tulisan braille.
 
Benarlah tauladan yang ditunjukkan oleh baginda Rasul Allah S.A.W betapa ilmu itu pelita kehidupan termasuklah mereka yang kurang upaya. Keyakinan itulah yang memberi perangsang kepada saya dan rakan-rakan untuk meluaskan sebaran kefahaman Islam termasuk penyebaran ilmu Al-Quran braille biarpun terpaksa menempuh pelbagai cabaran.
 
Cukup saya tersentuh pada suatu masa bila saya didatangi oleh seorang anak yang buta matanya menyatakan keinginannya untuk belajar dan menjadi pandai sambil memegang tangan saya. Saya yang tidak diuji dengan anak-anak OKU cukup rasa terharu dan hiba bila mengenangkan cabaran yang perlu ditempuh oleh ibu bapa yang anaknya seorang OKU.
 
Sesungguhnya keekuatan ibu bapa sedemikianlah yang akhirnya mampu membentuk jati diri anak-anak OKU termasuk saya hari ini dan kerana itulah memperkasa agenda pendidikan dan ilmu sangat meruntun hati saya dalam pembangunan orang kurang upaya.
 
Bagi memperkasa agenda ini kami sangat memerlukan dokongan dan sokongan seluruh masyarakat. Baginda Rasul Allah S.A.W telah menunjukkan model bagaimana sahabat-sahabat R.A dari kalangan OKU mampu digilap hanya dengan ilmu. Titian sirah itulah yang sedaya mampu kami jelmakan dalam zaman mutakhir yang penuh mehnah ini. - HARAKAHDAILY 29/5/2017

BERULANGKALI pernah diingatkan oleh pelbagai pihak bahawa dalam negara kita yang berbilang kaum dan agama semua pihak perlu sensitif menghormati adat dan kepercayaan pihak yang lain.

Tambah Islam sebagai agama Persekutuan dan anutan majoriti rakyat di Malaysia.

The Star dalam permohonan maaf muka depannya menyebut tiap-tiap tahun menjadi tradisi akhbarnya memang memaparkan gambar muka depan umat Islam menunaikan solat tarawih pada malam satu Ramadan.

Akan tetapi katanya kebetulan "lead story" pada hari berkenaan adalah mengenai seorang pemimpin pengganas dari Malaysia.

Langsung dipaparkan gambar dan tajuk berkenaan bersekali di muka utama tabloidnya.

Sebagaimana Nanyang akhbar The Star menyatakan kekesalan atas tindakannya yang telah melukai perasaan umat Islam itu.

Sesiapa yang memohon maaf khasnya dalam bulan Ramadan yang mulia ini kita boleh maafkan walau kecewa.

Namun sebagaimana amaran yang PAS keluarkan melalui Ketua Penerangan PAS Pusat Ustaz Nasrudin Hassan: "Semua pihak diseru berhenti dari melakukan sebarang percubaan untuk menguji kesabaran ummat Islam".

Semoga tiada lagi cubaan seumpama ini oleh mana-mana pihak sekalipun. – HARAKAHDAILY 29/5/2017

PAS Terengganu mengutuk sekeras-kerasnya akhbar The Star atas sikap biadab dan tidak tahu menghormati umat Islam, kumpulan terbesar di Malaysia ini kerana menyiarkan gambar sekumpulan orang Islam yang sedang bersolat jemaah dengan tajuk muka depan yang mengaitkan Islam dengan keganasan. Walaupun isi dan gambar berita yang berlainan, tapi jelas ia boleh mengelirukan pembaca.

Kegagalan The Star dalam menghormati sensitiviti umat Islam ini, bukanlah kali pertama berlaku. Pada tahun 2006, disiarkan gambar Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi bersebelahan dengan gambar iklan arak.

Pada tahun 2011 pula, The Star tanpa ada rasa hormat, telah menyiarkan iklan hidangan masakan berasaskan babi dan menawarkannya sebagai hidangan berbuka puasa oleh sebuah restoran yang tidak mempunyai sijil halal.

Tidak puas dengan itu, pada tahun 2015, The Star kembali menyemarakkan kemarahan umat Islam dengan menyiarkan iklan minuman keras di muka depan akhbar mereka.

Kini setelah beberapa jam menyiarkan gambar dan tajuk berita yang boleh mengelirukan pembaca bahawa Islam adalah agama keganasan, mereka memohon maaf, sama seperti mana yang mereka lakukan setelah beberapa kali meniupkan api keagamaan.

PAS Terengganu mendesak kerajaan Malaysia melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) agar mengenakan hukuman yang maksimum kepada The Star atas beberapa kesalahan yang hampir sama yang telah dilakukan. Amat malang bagi rakyat Malaysia jika pengurusan The Star dibebaskan lagi kerana rakyat Malaysia memerlukan kerajaan yang tegas dan tidak mahu kepada penghasut agama seperti The Star. Seseorang mesti dipertanggungjawabkan atas kejahatan ini apatah lagi sudah beberapa kali The Star memilih Ramadhan sebagai waktu pilihan mereka menyebarkan onar ini.

Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu

EDITOR akhbar The Star lahir di Malaysia, membesar di Malaysia dan memiliki warganegara Malaysia. Saya cukup yakin dia sedar bahawa gambar latar belakang di muka depan akhbar yang di bawah jagaannya dengan tajuk 'Malaysian Terrorist Leader' ialah gambar orang Islam sedang solat berjemaah. Adalah mustahil puluhan tahun dia hidup di Malaysia, dia tak tahu bahawa itu adalah gambar solat berjemaah.

Bila tahu hakikat sebenar tapi masih nak cari pasal juga, itu namanya sengaja nak cucuh api untuk membakar sentimen keagamaan. Kita duduk elok-elok, tiba-tiba dia mari tumbuk kita. Bila kita balas balik dengan penyepak, dia yang menangis nanti. Lepas tu kata kita jahat dan ganas.

Baru saja Nanyang Siang Pau buat hal dengan orang Islam dan akhirnya terpaksa merayu minta maaf, kini The Star pula. Jangan marah bila pandangan umum kata, dua-dua yang buat hal ini akhbar orang Cina!

Saya jumpa dengan seorang Cina di Kota Bharu yang pegang akhbar The Star. Dia sendiri pun marah. "Apa ini punya orang nak cari gaduh! Sorang dua orang Islam jadi pengganas, mana boleh letak gambar orang tengah sembahyang!" Marahnya yang mungkin ditujukan kepada editor akhbar.

Tak ada siapa pun yang waras sengaja nak mengapi-apikan dan memanaskan suhu sentimen perkauman serta keagamaan. Kalau orang tak waras, dia tak layak jadi editor akhbar. Api fitnah jangan dikobarkan. Kelak membakar diri sendiri.

Kita menuntut agar KDN bertindak segera mengikut lunas undamg-undang. Walau esok mungkin editor minta maaf, ia tak cukup. Kecuali kalau dia boleh kutip semula setiap naskhah akhbar yang telah terjual dan dia mampu padamkan semua yang telah disebar di alam maya. Fitnah yang telah merata tak mampu selesai dengan hanya permohonan maaf.

Dr Azman Ibrahim
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat

KEMELUT yang berlaku dalam negara kini memerlukan satu perubahan atau anjakan politik yang serius.

Kegawatan ekonomi, yang sebahagiann besarnya berpunca dari salah urus khazanah negara telah sampai kepada kemuncaknya bila semua penyelewengan yang selama ini ditutup, kini terbuka satu demi satu.

Kebobrokan dan salahguna kuasa kini semakin nyata sehingga munculnya pelbagai kenyataan dari dalaman Umno dan kabinet yang mempertikai secara terbuka apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri.

Kritikan-kritikan bekas pimpinan tertinggi BN seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Shafie Afdal, Tan Sri Ling Liong Sik di dalam isu 1MDB sehingga ada yang keluar dan dipecat dari parti sehingga wujudnya parti-parti baru adalah perkembangan politik yang semakin mendebarkan.

Di samping itu, terdapat pelbagai desakan agar PM meletak jawatan.

Keadaan ini adalah sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

BN dijangka tidak lagi mampu bertahan.

Dalam keadaan seperti ini, teknik mengalihkan pandangan rakyat daripada isu-isu yang sedang melanda rakyat kepada isu-isu remeh-temeh dan sensasi sedang dilakukan giat.

Dengan teknik ini, BN berharap rakyat dapat melupakan isu seperti 1MDB dan kenaikan kos sara hidup dan memberi tumpuan kepada program-program seperti TN50, drama-drama politik yang tidak henti seperti insiden tampar dan juga tangkapan-tangkapan berprofil tinggi para penjawat awam seperti seorang bekas polis pegawai tinggi yang dituduh menerima komisyen RM1 juta tapi akhirnya dibebaskan.

BN akan mencuba apa sahaja, tapi realitinya, perubahan politik ini tidak dapat dielakkan lagi, hanya masa sahaja belum diketahui.

Kebangkitan golongan muda dan desakan ke arah perubahan total semakin hari semakin kuat.

Cuma, persoalan besarnya ialah ke manakah perubahan yang hendak dibawa?

Apakah kita hanya menukarkan kepimpinan negara bersama sistem sekular atau megubah tapak dan sistem negara ini secara total?

Bagi PAS, perubahan mesti mengembalikan manusia kepada sistem Islam yang syumul, selaras dengan gagasannya sebagai rahmat bagi seluruh alam.

Golongan menentang akan terus menolak idea dan gagasannya ini. Meskipun sejarah menunjukkan bahawa keagongan tamadun manusia berlaku di zaman Islam, namun sikap anti-Islam atau Islamphobia yang dicanang oleh Barat yang kini berjaya meresap masuk ke akal fikiran manusia, telah menjadikan mereka bertindak dan berhujah secara tidak rasional apabila terdengar sahaja perkataan "Islam".

Anehnya, mereka boleh menerima sistem komunisma, kapitalisma, sosialisma dan pelbagai lagi 'ma' asalkan ia bukan bernama "Islam".

Tanpa kembali kepada Islam yang sebenar, yakni kita hanya akan melakukan perubahan yang separuh masak.

Kita sekadar akan merubah dari satu kegagalan sistem ciptaan manusia kepada satu lagi sistem ciptaan manusia yang lain yang juga akan berhadapan dengan pelbagai kelemahan dan kepincangan.

Di dalam apa-apa perubahan, sepatutnya kita mengambil peluang untuk meruntuhkan sistem jahiliyah dan menegakkan sistem Islam di atas keruntuhan tersebut.

Islam menawarkan pakej lengkap dalam usaha melakukan perubahan. Gagasan Islam tidak bersifat ancaman, dan jauh lagi bersifat paksaan. Sebaliknya gagasan ini mengemukakan cadangan dan pilihan.

Islam menentang sikap menutup telinga dan mata kepada perubahan. Di dalam Islam, manusia diseru untuk membuka mata dan telinga, mengkaji dengan ikhlas hati serta membuat rumusan sendiri terhadap apa yang diperolehinya.

Golongan marhaen dijadikan mangsa kerakusan pemimpin yang tamakkan kuasa. Kegilaan pada kuasa menyebabkan mereka menjadikan rakyat batu loncatan dengan menjanjikan perubahan ke arah yang lebih baik.

Rakyat dijanjikan negara yang harmoni, tiadanya rasuah dan salahguna kuasa. Namun apa yang mendukacitakan ialah perubahan yang dibawa hanyalah tempelan kerana ia hanya menukarkan watak pelaku tanpa merubah sistem yang menjadikan landasan perubahan tersebut.

Keadilan hanya dapat dinikmati dari sistem yang adil. Tanpa perubahan sistem dan dasar kepada sistem yang benar-benar adil, rakyat tidak akan dapat mengecapi keadilan sebenar.

Kerana itulah, Allah menurunkan satu sistem yang syumul kepada manusia iaitu sistem Islam kerana tiada siapa yang dapat memahami ciptaan-Nya lebih baik daripada penciptanya itu sendiri.

Faktor utama yang membawa kepada perubahan ini ialah keinginan yang kuat. Keinginan mestilah disertai dengan gerak kerja yang tersusun dan mujahadah yang tinggi dan kesungguhan bekerja. Kepentingan peribadi perlu diketepikan sama sekali.

Dengan ramuan ini, barulah satu bentuk gerak kerja berjemaah yang tersusun rapi dapat dilahirkan sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah dalam Surah As-Saff: 4.

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفًّا كَأَنَّهُمْ بُنْيَانٌ مَرْصُوصٌ

"Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh."

Tuan Ibrahim Tuan Man
Makkah al Mukarramah

PAS Sarawak deka ngambi peluang meri ucap selamat ari gawai ngagai semua rakyat iban dayak Sarawak.

PAS Sarawak besampi ngajih ke gawai taun tu,ulih ngukuh,ulih neguh kaul diri sebilik,ulih mega ngerapat ngambi rat kaul kaban belayan engau penuh pengelantang.

Enggau tu kami ari PAS Sarawak ngambi kesempatan ngingat ke kitai iban dayak Sarawak ti di sambut enggau pengaga ati,jaga diri enggau manah,likun ke diri ba rantau jalai Maya pemisi gawai dayak ke taun tu.

Selamat Hari Gawai Dayak Gayu Guru Gerai Nyamai Nguan Menua Senang Lantang Bulih Rezeki Belimpah Ruah Bulih Padi Gayu Ko Antu Gerai Ko Sempandai...

Sejahtera Bersama Islam

JOFRI JARAIEE
Pesuruhjaya PAS Sarawak

TR CLEMENT BAYANG
Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Sarawak – HARAKAHDAILY 28/5/2017

Gawai

POLITIK persepsi, sudah lapuk. Buat tuduhan dulu, kemudian minta maaf. Bom dulu berita, kemudian minta maaf. Apa yang penting bentuk dulu persepsi buruk untuk mencapai matlamat politik. Dosa dan pahala ketepikan dahulu.  Inilah yang cuba dibuat kepada PAS untuk mematikan perjuangan PAS. Mereka silap, PAS sudah 66 tahun melawan Umno Perikatan, kemudian Umno BN. 13 kali PRU di negara ini, cuma sekali sahaja PAS tidak lawan Umno, iaitu pada tahun 1974. Sekarang pemimpin Pakatan Harapan menuduh PAS hendak bersama BN di dalam PRU 14. Inilah modal lapuk. Apabila mereka berceramah sahaja. Selepas Assalamualaikum," PAS hendak masuk Umno".  inilah tag line yang paling popular.

Paling kelakar sekali menuduh PAS, sekiranya BN menang  PRU14, semuanya berpunca daripada PAS kerana PAS tidak mahu sertai Pakatan Harapan. Belum menang sudah tidak demokratik. Kalau menang nanti apa hendak jadi dengan negara ini. Kalau begitu semua orang boleh tubuh parti baru, kemudian sertai Pakatan Harapan. Kemudian lawan di kerusi tradisi PAS atau lawan di Kelantan. Selepas itu memberi amaran, kalau BN menang semuanya punca kerana PAS berpakat dengan BN. Hakikatnya mereka yang melawan kerusi tradisi PAS yang melawan Umno. Mereka yang menjadi talian hayat Umno BN. Ini jenis politik apa yang kita hendak namakan.

Cyber trooper mereka cukup cekap dibantu pula oleh portal popular yang memang dulu kini selamanya tidak pernah bersama dengan PAS untuk agenda Islam. Ucapan pemimpin PAS akan diambil sekerat dan diletakkan tajuk supaya memburukkan PAS. Isi keseluruhan tidak diambil. Etika  kewartawanan sudah dibuang ke Laut China Selatan. Manakala ucapan pemimpin mereka akan disucikan seperti air mutlak  oleh cyber trooper mereka. Walaupun kadang -kadang mengguris perasaan hati umat Islam.

Jika ada gambar pemimpin PAS bersama dengan pemimpin Umno walaupun minum teh atau bersama dengan program kerajaan terus dituduh hendak masuk Umno. Pantang lihat gambar pemimpin kerajaan Kelantan bersama dengan kerajaan pusat terus mengatakan PAS sudah bersama dengan Umno. Jika ada pemimpin DAP, bukan sekadar minum malahan berlaga perut dan berpegang tangan tidak ada masalah. Maka terus cyber trooper mereka akan membersihkan tindakan ini, seperti suci di dalam debu. Ini program kerajaan tidak ada masalah. Jika pemimpin kesayangan mereka tidak apa, kalau pemimpin PAS, maka macam-macam ayat yang dihamburkan. Sehingga ada yang menuduh akan disambar oleh api neraka, kerana hadir program kerajaan. Insya Allah pengikut PAS tidak sebodoh itu hendak melabelkan seorang kerana berpegang tangan dan berlaga perut di dalam program kerajaan.

Pesan saya kepada pengikut PAS sabar sahajalah. Kita tengok siapa yang akan seberang masuk BN dan melutut kepada Umno selepas kalah PRU14. Kita kenal siapa mereka. Apabila BN tabur dedak tahulah kita siapa yang akan terkam ke sana.

Generasi muda yang berumur 20-30 tahun tidak menerima kaedah ini. Mereka mahu penyelesaian. PAS akan buktikan dengan amalan walaupun tidak sempurna tetapi lebih baik daripada pemimpin BN dan Pakatan Harapan. Biar rakyat menjadi saksi. Walaupun mereka nampak gagah tetapi tidak kekal. Benar kata Syed Qutb "Kebatilan walau pun nampak kuat, ia akan musnah. Manakala kebenaran walau pun nampak lemah ia akan menang". Fitnah tidak bertahan lama, kerana mereka yang menyebar fitnah akan mati dan lemah ingatan. Kebenaran bertambah kukuh kerana akan ada penerusannya hingga kiamat.

USTAZ IDRIS AHMAD

Naib Presiden PAS / Ahli Parlimen Bukit Gantang

2 Ramadhan 1438/ 28 Mei 2017 – HARAKAHDAILY 28/5/2017

SEPERTI dimaklum, Naib Presiden AMANAH, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, melalui tulisan yang disiarkan oleh akhbar The Star pada 26 Mei menggunakan nama bekas Presiden PAS merangkap bekas Mursyidul Am PAS, Almarhum Haji Yusof Rawa.

Di dalam tulisan bertajuk “Yusof Rawa Tried Middle Path” ini, Dr Mujahid cuba mengaitkan Almarhum Haji Yusof dengan perjuangan AMANAH dengan menyebutkan betapa AMANAH adalah penerusan kepada legasi Almarhum Haji Yusof.

Satu cara untuk melihat sama ada AMANAH adalah penerusan kepada legasi Almarhum Haji Yusof ialah dengan membandingkan tahaluf siyasi yang dijalinkan oleh PAS di bawah pimpinan beliau dengan tahaluf siyasi yang dijalinkan oleh AMANAH.

Tidak ramai yang tahu bahawa PAS di bawah pimpinan Almarhum Haji Yusof telah menyertai Pilihan Raya Umum 1986 di dalam satu pakatan pembangkang yang dikenali dengan nama Harakah Keadilan Rakyat atau nama ringkasnya HAK.

Sebab itulah ramai juga penganalisi politik amatur, khususnya mereka yang berkecenderungan untuk menyokong lawan PAS, meletakkan Pilihan Raya Umum 1986 ke dalam kategori di mana PAS kononnya menyertainya secara bersendirian.

Hakikatnya ialah Almarhum Haji Yusof sendiri, selaku Presiden PAS, yang mengeluarkan kenyataan media pada 30 Jun 1986 bagi mengumumkan kesediaan PAS mengambil daya usaha ke arah mewujudkan persefahaman di kalangan parti-parti pembangkang.

Tegas Almarhum Haji Yusof, persefahaman ini hendaklah dilandaskan kepada prinsip-prinsip “menghormati pegangan teguh PAS terhadap gagasan perjuangan menegakkan negara Islam” serta “mengakui kepimpinan Islam sebagai teras kestabilan politik di negara ini dan demi untuk merealisasikan (ke)wujud(an) persefahaman jangka panjang di kalangan parti-parti tersebut PAS adalah diterima menerajui kepimpinan itu”.

Setelah berunding, akhirnya tiga buah parti, iaitu PSRM, NASMA dan SDP, telah bersetuju untuk mewujudkan persefahaman dengan PAS di dalam HAK, tetapi DAP enggan menyertai persefahaman ini kerana tidak bersetuju dengan ketegasan Almarhum Haji Yusof mempertahankan perjuangan Islam PAS.

Tiga butiran yang terkandung di dalam perisytiharan persefahaman yang ditandatangani oleh Almarhum Haji Yusof (PAS), Kampo Radjo (PSRM), Raja Nasron Raja Ishak (NASMA) dan Ahmad Nor (SDP) pada 14 Julai 1986 yang tidak dipersetujui oleh DAP adalah:

(1) “Semua parti yang menandatangani perisytiharan ini adalah mengakui hak PAS memperjuangkan negara Islam”

(2) “Islam dan nilai-nilai sejagat hendaklah diterima sebagai teras kepimpinan”

(3) Sekiranya ia diberi peluang, HAK akan membentuk kerajaan yang akan “menegakkan Islam sebagai al-din…”

Bandingkan sahaja tahaluf siyasi yang dijalinkan oleh PAS di bawah pimpinan Almarhum Haji Yusof ini dengan tahaluf siyasi yang dijalinkan oleh AMANAH melalui Pakatan Harapan sekarang untuk melihat sama ada kedua-duanya mempunyai persamaan.

Kandungan Perjanjian Kerjasama Pakatan Harapan dan PPBM pada 13 Disember 2016 umpamanya membutirkan bahawa kesemua parti yang menjalinkan tahaluf siyasi ini sekadar bersetuju dan komited untuk “Memperjuangkan Agenda Reformasi dalam kebangunan-semula negara demi rakyat dengan berpaksikan nilai-nilai yang dikongsi bersama, termasuk kebenaran, keadilan, kebebasan, integriti, kebajikan dan tatakelola yang baik”.

Cubaan Dr Mujahid mengaitkan Almarhum Haji Yusof dengan perjuangan AMANAH dengan menyebutkan betapa AMANAH adalah penerusan kepada legasi Almarhum Haji Yusof sangat jauh tersasar.

Apa yang sebenarnya berlaku sekarang ialah PAS adalah penerus legasi Almarhum Haji Yusof manakala Dr Mujahid dan AMANAH adalah penyelewengnya. – HARAKAHDAILY 28/5/2017

PENCULIKAN, pencerobohan sempadan perairan negeri dan beberapa kes terpencil yang menimbulkan keresahan melebihi 3.5 juta orang rakyat di negeri ini perlu diberikan keutamaan oleh pihak kerajaan negeri untuk diselesaikan.

ZulzaimTambahan lagi, dengan berlakunya siri keganasan terbaharu di suatu lokasi tidak jauh dari Sabah iaitu Marawi, Selatan Filipina memberikan petanda bahawa penguatkuasaan keamanan oleh pihak berkuasa seperti ESSCOM perlu berada dalam tahap yang meyakinkan seluruh masyarakat Sabah.

Impak kesan ancaman ini terhadap kedaulatan negeri Sabah dalam perdagangan antara Sabah-Mindanao ialah terjejasnya aspek ekonomi dan memberi risiko yang tinggi terhadap pedagang untuk meneruskan penghantaran seperti beras, gula dan tepung serta bahan lain seperti yang dikhuatirkan oleh pihak pengangkutan BIMP-EAGA.

Harapan rakyat khususnya anak muda sekian kalinya untuk melihat Sabah menjadi negeri yang bebas dari sebarang isu melibatkan masalah kedaulatan negeri, ancaman keganasan seperti penculikan nelayan di laut dan bebas dari pemikiran melampau daesh yang menyimpang daripada agama Islam.

Dewan Pemuda PAS Sabah menyeru umat Islam dalam kesempatan bulan Ramadan ini agar kita mendoakan keamanan negeri kita dari anasir yang tidak baik dan tidak lupa mendoakan keselamatan pihak berkuasa yang berkorban siang dan malam menjaga sempadan negeri kita.

ZULZAIM HILMEE ABIDIN
Ketua Pemuda,
Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah – HARAKAHDAILY 28/5/2017

ADALAH dengan hormat dan rendah diri kami menjunjung kasih di atas limpah perkenan DYMM Sultan Selangor agar kedudukan Exco-Exco Kerajaan Negeri Selangor dikekalkan sepertimana yang dihasratkan oleh YAB Dato' Menteri Besar.

Kami yakin dengan limpah perkenan DYMM Sultan Selangor ini akan dapat menamatkan sebarang spekulasi negatif terhadap kedudukan Exco-Exco PAS.

Kami sebagai Exco akan terus mendukung dan menyokong kepimpinan YAB Dato' Menteri Besar dan dasar-dasar bersama kerajaan negeri demi kestabilan dan kepentingan rakyat  Negeri Selangor. Kami juga mengucapkan terima kasih di atas keyakinan dan kepercayaan YAB Dato' Menteri Besar terhadap kami.

Mandat rakyat yang telah diperolehi pada Pilihan Raya ke-13 mesti dihormati. Janji-janji hendaklah ditunaikan. Seluruh tenaga hendaklah ditumpukan kepada usaha-usaha untuk memberi pembelaan kepada rakyat dan membangunkan negeri.

Keharmonian yang wujud di kalangan rakyat Negeri Selangor hendaklah dipertahankan selaras dengan Budaya Politik Matang Dan Sejahtera (BPMS) yang diamalkan oleh PAS.

YB DATO' ISKANDAR A. SAMAD
YB DATO' DR AHMAD YUNUS HAIRI
YB TUAN ZAIDY ABDUL TALIB

26 MEI 2017 - HARAKAHDAILY 26/5/2017

PAS ibarat sepohon kayu besar di tengah padang yang luas. Usia pohon yang berjasa ini telah mencecah 66 tahun. Teguh berdiri memberikan manfaat kepada manusia dengan naungan teduhan dan buahan yang dihasilkannya untuk dinikmati. Walau ditimpa kemarau, hujan, banjir, ribut petir dan serangan makhluk perosak, pohon ini terus gagah berdiri. Ada daun-daun lama yang gugur, diganti dengan pucuk baru yang segar. Ada dahan yang patah, tumbuh semula tunas baru yang menjadikan pohon ini lebih rendang.  Ada tangan-tangan jahat yang mencantas dahannya dengan sangkaan pohon ini akan mati. Tapi mereka silap kerana tindakan mencantas satu dahan akan menyebabkan tumbuhnya tiga atau empat tunas baru yang muda dan segar.

Selama 66 tahun akarnya terpacak kukuh ke bumi dan pucuknya menjulang tinggi serta saiz batangnya semakin membesar, ramai yang memandangnya mula mengkagumi keperkasaan dan keteguhan pohon ini. Dulu dimomokkan supaya jangan dekat kerana kononnya pohon ini berhantu. Ramai juga yang percaya lalu memandangnya dengan penuh rasa cuak dan curiga. Sekarang ramai yang rasa rugi kerana tak singgah berteduh lebih awal di bawah bayangan pepohon rendang ini dan menikmati kemanisan buahnya. Bila dah singgah sendiri, baru mereka tahu rupanya realiti tidak begitu.  Silakan singgah dan makanlah buahnya.

Dulu ada sekumpulan anai-anai yang cuba bersarang di dalam lubang yang dikorek pada batangnya. Sedikit demi sedikit dikorek lubang dengan sangkaan akhirnya pohon ini akan tumbang. Tapi akhirnya kumpulan anai-anai yang berangan-angan besar pergi dengan kehampaan dan mencari pepohon baru untuk dibuat sarang. Dah tabiat anai-anai, di mana bersarang maka di situlah ia akan merosakkan.

Hari demi hari dan masa yang beredar, manusia sekeliling semakin melihat perlunya pohon ini dipertahankan kewujudannya agar terus teguh dan berkesinambungan memberikan kesejahteraan kepada manusia. Pantang diusik maka akan ada tangan-tangan yang tampil mempertahankannya. Silap kalau ada yang anggap pohon besar ini tak ada tuan. Kamu boleh singgah, boleh berteduh dan boleh makan buahnya, tapi awas! Jangan sekali-kali ganggu dan rosakkannya.

Dr AzmanJangan bandingkan pohon besar ini dengan pokok bunga di dalam pasu. Memang pokok bunga di dalam pasu yang berbunga oren dan merah nampak cantik dipandang. Tapi usianya tak panjang. Cuba ambil pokok bunga ini dan tanam di tengah padang yang luas terdedah kepada panas, hujan kemarau, rebut petir dan serangan perosak. Tengok berapa lama ia boleh hidup. Yang indah di mata tak semestinya bagus. - HARAKAHDAILY 26/5/2017

Penulis ialah Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

LAJNAH Pekerja, Pengguna dan Alam Sekitar (LPPAS) Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM)merasa terpanggil untuk menyatakan kekesalan atas tindakan lembab Kerajaan Melaka sejak puluhan tahun yang lampau berkaitan kes pencemaran Pantai Telok Gong dan Sungai Tuang akibat projek penternakan babi di Kg Paya Mengkuang. Ia ibarat kucing mengejar ekor sendiri. Berpusing di tempat sama tanpa ada penyelesaian yang konkrit dan tuntas.

Kami melihat kenyataan yang dikeluarkan oleh Exco Pertanian dan Pembangunan Usahawan Melaka, Datuk Hasan Abdul Rahman yang menyebut bahawa Kerajaan Melaka melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan akan membincangkan Kertas Cadangan Perlesenan Ladang Babi 2017 sebagai suatu jawapan yang tidak meyakinkan rakyat. Apa sudah jadi dengan Kaedah-kaedah Pelesenan Menternak Babi Negeri Melaka 2013? Kerajaan Melaka empat tahun lepas menyebut bahawa itu adalah usaha kerajaan negeri dalam menambah baik serta memberi kuasa di bawah Enakmen Menternak Babi 1980 dalam menangani permasalahan pencemaran tersebut. Namun selepas beberapa tahun berlalu, masalah ini kelihatan semakin kusut dan lebih teruk. Sungai Tuang semakin hitam, likat, busuk dan meloyakan sehingga akhirnya mengalir keluar ke Pantai Telok Gong. Kualiti dan bau udara di sekitar beberapa kampung berhampiran juga amat teruk dan betul-betul mengganggu urusan seharian penduduk.

Rakyat juga semakin hairan apabila YB Exco Kerajaan Negeri menyebut bahawa semua penternak babi di Melaka sekarang ini tidak mempunyai lesen dan tiada undang undang khas yang mengawal aktiviti penternakan babi secara holistik dan efektif. Bagaimana hal semudah ini terlepas pandang? Sedangkan peniaga peniaga kecil Melayu, yang mencari sesuap nasi dengan berniaga di tepi tepi jalan sekalipun, dihambat dan ditekan dengan lesen itu dan ini, maka kenapa tauke tauke babi ini bebas tanpa ada lesen dan undang undang? Sungai Tuang musnah, Pantai Telok Gong membusuk malahan air kumbahan babi ini telahpun mengotori pantai sepanjang 24 kilometer bermula dari Pengkalan Balak sehingga ke Kuala Linggi lantas memberi kesan langsung kepada sektor pelancongan di kawasan ini dan kerajaan negeri boleh sahaja menyebut penternak itu tidak tertakluk kepada undang-undang dan tidak mempunyai lesen?

Perkara tersebut juga sebenarnya menambahkan kekeliruan fikiran rakyat yang mana apabila disebut bahawa tiada undang-undang khas untuk mengawal penternakan ini, maka apa pula kaitan dengan Enakmen Menternak Babi 1980 dan juga Kaedah Kaedah Pelesenan Menternak Babi Negeri Melaka 2013? Yang mana satu benar? Ada undang-undang tapi tidak dilaksanakan atau memang tidak wujud lagi apa-apa peraturan yang lengkap tentang isu ini? Kerajaan Melaka wajib berterus terang dengan rakyat dan menghentikan tindakan acuh tak acuh apabila rakyat mulai bising dengan pencemaran ini.

Mengenai cadangan kerajaan negeri yang mahu membangunkan ladang babi moden bernilai RM50 juta di atas tanah seluas 50 ekar di Paya Mengkuang juga amat meragukan. Projek yang dijangka bermula pada 2018 tahun hadapan itu, kami tidak yakini untuk menjadi solusi terbaik kepada masalah pencemaran ini. Adakah ia sudah melalui kajian yang mendalam dan bersifat menguntungkan rakyat secara keseluruhannya? Jangan pula nanti projek puluhan juta ini hanya menguntungkan lagi pemilik kepada 36 buah kandang babi ini sahaja sedangkan Sg Tuang tetap juga tercemar. Dan jangan juga nanti 48,000 ekor babi yang diternak ini yang akan selesa dalam kandang baru yang serba moden, canggih dan mewah sedangkan rakyat kekal menghidu udara yang busuk dan air hitam pekat dengan najis babi.

LPPAS juga cukup terkejut dengan pengumuman Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Melaka, Dr Azlan Enjah sebelum ini yang mengatakan berdasarkan penilaian awal mereka, sebanyak 22 ladang penternakan babi tidak mematuhi kriteria penilaian yang ditetapkan dan hanya 14 kandang sahaja yang mematuhinya. Pelbagai aspek harus dilihat termasuklah pengurusan ladang babi, kebersihan ladang dan kandang serta pematuhan kuota bilangan babi mengikut saiz ladang masing-masing.

Kerajaan Melaka wajib menamatkan wayang 30 tahun ini. Lihatlah nasib rakyat terbanyak berbanding terus memberi muka kepada pengembala babi ini semata-mata. Nasib penduduk setempat malahan lebih khusus lagi nasib malang 153 pengusaha pusat peranginan yang menawarkan 1,503 bilik penginapan di kawasan ini perlu diberi perhatian. Sekiranya pengunjung dan pelancong sudah tidak mahu lagi berkunjung ke sini, jangan kata pengusaha chalet dan pusat peranginan tersebut yang terjejas, tetapi pemilik kedai makan, gerai gerai, kedai cenderamata, dan segala aktiviti bisnes yang hidup secara simbiosis dengan chalet tadi, akan turut terjejas.

Janganlah babi di kandang diutamakan dan majoriti rakyat sendiri diberi bau busuk dan meloyakan setiap hari. Sampai bila masalah ini mahu diheret? Takkanlah pad tahun 2050, yang selaras dengan gagasan TN50, kita akan masih bercakap mengenai masalah ini? Adakah mahu menunggu wabak JE menular dan menggila di Melaka, maka barulah satu tindakan muktamad akan dibuat? Kandang yang hanya terletak 1 km dari pantai peranginan ini wajib dipindahkan segera!

Nazman Che Iberahim
Penulis ialah Pengerusi Lajnah Pekerja, Pengguna dan Alam Sekitar (LPPAS) DPPM.

Advertisement