26
Wed, Jul
25 Artikel Baru

Mengapa tiada peruntukan bina jalan & saliran ke ladang?

Tanah Air
Typography

LADANG atau kebun untuk petani yang mengusahakan tanah mereka dengan menanam berbagai jenis tanaman menghadapi masalah untuk membawa hasil tanaman mereka keluar akibat jalan dan sistem peparitan di kawasan kebun tidak sesuai untuk dilalui oleh kenderaan ringan.
 
Ramai pekebun kecil yang mengusahakan tanah mereka menghadapi masalah ini ketika musim hujan lebat dan jalan akan penuh lopak dan banjir kilat berlaku disebabkan sistem peparitan yang tidak baik dan tersumbat.
 
Pekebun di kawasan tanah skim penanaman kelapa di jalan Cahaya Lopeng Miri mengadu masalah ini kepada pihak kami.  Salah seorang pekebun yang dikenali sebagai Armin mengadu yang jalan masuk ke kebunnya hanya diturap separuh jalan dengan batu kerikil dan sistem peparitan di kawasan sekitar menuju ke kebun amat teruk  kerana tersumbat dan penuh dengan rumput rumpai.
 
Kita mengesa agar pihak yang berkenaan dapat membina jalan kerikil sepenuhnya dan membersihkan rumput rumpai yang menghalang saliran air yang mengalir dalam parit tersebut.
 
Jika jalanraya di bandar telah banyak kali diturap mengapa jalan untuk petani dan pekebun ke kebun atau ladang tiada peruntukan. Sepatutnya kerajaan lebih memberi tumpuan kepada penduduk yang memerlukan perkhidmatan dan kebajikan untuk memudahkan urusan mereka menjual hasil mereka dari ladang. Masalah ini selalu dihadapi oleh pekebun kecil dan mereka yang kurang berkemampuan untuk membina jalan dan saliran parit untuk tanaman mereka.
 
Penduduk kampung di Pujut dan sekitarnya terutama yang kurang berkemampuan mengharapkan masalah mereka ini diberi perhatian oleh pihak kerajaan agar usaha mereka membangunkan tanah kebun ini dapat memberi hasil dan dapat meringankan bebanan pembelanjaan mereka seharian.
 
Kami berharap pihak yang berkaitan dapat menyelesaikan masalah ini dengan segera dengan membina jalan batu dan sistem saliran yang baik untuk mengelakkan banjir kilat di kawasan itu. Kerjasama dengan pihak yang berkenaan amat dihargai.
 
JOFRI JARAIEE
Pesuruhjaya PAS, Sarawak – HARAKAHDAILY 17/7/2017

Jalan ke Kebun di Skim penanaman kelapa di Jln Cahaya Lopeng Miri