Masa terbaik PM kembalikan royalti kepada Kelantan

HARAKAHDAILY | FOTO WAN ZAHARI | .

KUALA LUMPUR: "Inilah masa terbaik bagi Perdana Menteri mengembalikan royalti yang menjadi hak rakyat Kelantan," ujar Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

Beliau berkata, dengan suasana negeri itu yang teruk dilanda banjir, maka sudah sampai masanya royalti petroleum yang menjadi hak negeri dan rakyat Kelantan dikembalikan.

Katanya, perjuangan supaya royalti itu dikembalikan kepada Kelantan telah dilakukan oleh ahli-ahli parlimen PAS sejak dahulu lagi.

Ini, ujarnya perjuangan itu diteruskan oleh badan bukan kerajaan termasuk R Kelantan.

"Sudah sampai masanya PM beri royalti kepada Kelantan menjadi negeri itu untuk membina semula rumah mangsa-mangsa banjir," ujarnya pada sidang media yang diadakan di Pejabat Agung PAS di sini, tengah hari ini.

Katanya, jika banjir sebelum ini, apabila air surut mangsa pulang ke rumah untuk membersihkan kediaman tetapi kali ini rumah mereka musnah.

"Kali ini rumah mangsa tak ada, telah musnah, bayangkan tahap penderitaan untuk mereka bina kembali rumah mereka," ujarnya yang juga Pengarah Pusat Pengurusan Bencana Malaysia (MEDM) PAS.

Justeru, ujar beliau Kerajaan Kelantan memerlukan kewangan dan peruntukan yang besar untuk membantu rakyat yang ditimpa musibah banjir membina semula kediaman mereka.

Sehubungan itu, beliau berharap Perdana Menteri dapat memikirkan pembayaran royalti kepada Kelantan bagi membantu pembinaan semula rumah mangsa-mangsa banjir itu.

"Beliau perlu fikirkan perkara ini dengan sewjaranya dan pulangkan hak itu (royalti) serta merta kerana mangsa banjir memerlukan pertolongan kerajaan," ujarnya yang turut menyebut perkara itu dalam surat terbukanya kepada Perdana Menteri. - HARAKAHDAILY 1/1/2015

Share on Myspace