Anggaran aset awam musnah di Kelantan RM130 juta

BERNAMA | .

KOTA BAHARU: Taksiran kemusnahan infrastruktur dan aset awam akibat banjir buruk yang melanda Kelantan dianggarkan lebih RM130 juta setakat ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Bencana Banjir Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed.
    
Beliau berkata nilai sebenar kemusnahan hanya akan diketahui selepas bencana itu berakhir dan ia dijangka lebih besar setelah semua agensi berkaitan mengemukakan laporan masing-masing.
    
"Kita semalam dapat gambaran tapi tak lengkap di seluruh Kelantan iaitu antara lain Jabatan Kerja Raya kata RM100 juta," katanya pada sidang akhbar di Pusat Media Bencana Banjir di sini hari ini.
     
Selain itu, Tenaga Nasional Berhad mengunjurkan anggaran kerosakan di seluruh negeri bernilai RM10 juta, Polis Diraja Malaysia (RM8 juta), Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (RM3 juta) manakala Jabatan Kesihatan Kelantan menganggarkan nilai kerosakan RM10 juta di Kota Baharu sahaja.
    
Mustapa, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata kerajaan pusat dan kerajaan negeri akan bersama-sama membuat pengumpulan maklumat lengkap dan sekarang dalam proses mendaftar aset yang rosak.    
    
Mustapa berkata jawatankuasa itu akan turut mengumpul segala butiran mangsa banjir sambil mengakui ia tugas yang mencabar.
    
Menurutnya, jawatankuasa itu telah mendengar beberapa cadangan pasca banjir oleh beberapa pihak termasuk oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi mengenai pembinaan rumah sementara kepada mangsa banjir.
    
"Kementerian itu mencadangkan pembinaan rumah kluster seperti dibuat di Jepun yang boleh menempatkan 48 keluarga di setiap rumah," katanya sambil menambah penempatan sementara menjadi satu keutamaan buat kerajaan.
    
Beliau berkata bancian awal menunjukkan 516 rumah di Gua Musang dan 38 di Machang musnah sama sekali dan jawatankuasa itu akan mengambil langkah segera membantu keluarga terlibat.
    
Mustapa menjelaskan dalam tempoh seminggu ini, 91 pusat pemindahan di sekolah masih boleh digunakan tetapi bila sekolah dibuka di negeri ini mulai 11 Jan, mangsa yang mengalami kemusnahan atau kerosakan rumah akan ditempatkan di khemah sementara di bawah pengurusan Majlis Keselamatan Negara.
    
Selain itu, beliau berkata setakat ini 70 peratus bekalan elektrik telah pulih dan ia dijangka pulih sepenuhnya Ahad ini manakala bekalan air bersih yang diuruskan Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd kini sudah hampir 60 peratus pulih.
    
Mustapa turut berkata stok makanan di tiga depoh makanan utama di Lapan Briged Infantri dan Jabatan Kebajikan Masyarakat, kedua-duanya di Pengkalan Chepa, dan Ibu Pejabat Polis Machang kini semakin bertambah hasil sumbangan orang ramai. - Bernama

Share on Myspace