Kerajaan Campuran bukti Umno BN ada sifat '3P'

HAZAYANI ZAKARIA | FOTO WAN ZAHARI | .

Mahfuz turut mengagihkan sumbangan makanan kepada mangsa banjir di Kelantan.

KUALA LUMPUR: Cadangan pembentukan Kerajaan Campuran Umno-PAS di Kelantan membuktikan kezaliman Umno BN di negeri itu.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata, Umno mempunyai sifat '3P' iaitu penzalim, pembuli dan pendera kepada Kerajaan Negeri Kelantan.

Mengulas mengenai cadangan pemilik akhbar Sinar Harian, Datuk Hussamuddin Yaacub itu, Mahfuz berkata cadangan tersebut menggambarkan Umno BN hanya akan membantu membangunkan semula Kelantan jika Kerajaan Campuran berjaya dilaksanakan.

"Saya ucap terima kasih kepada Datuk Hussamuddin kerana mengakui Kelantan sukar mendapat bantuan daripada Umno BN kerana perbezaan politik.

"Nak bangun semula Kelantan kena bergabung sebagai Kerajaan Campuran dahulu. Ini memang sifat penzalim, pembuli dan pendera," kata beliau pada sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini.

Beliau turut menegaskan, Kerajaan Campuran tidak akan berlaku di Kelantan sebaliknya PAS menumpukan kerjasama G2G iaitu kerajaan dengan kerajaan.

"Tak ada keperluan untuk laksanakan Kerajaan Campuran," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Sebaliknya tegas beliau, Kerajaan Pusat perlu mengembalikan wang royalti Petronas kepada rakyat Kelantan untuk pembangunan semula negeri itu.

"Rakyat Kelantan berhak dapat wang royalti dan kerajaan perlu bayar royalti agar dapat digunakan untuk pembangunan semula Kelantan," katanya. - HARAKAHDAILY 1/1/2015

Share on Myspace