Jangan terpedaya andaian ekonomi kosmetik Najib

V SIVAKUMAR | .

KITA sudah melangkah masuk ke tahun 2015 setelah mengharungi pelbagai malapetaka, rintangan dan cabaran pada tahun 2014. Walaupun kita sudah memasuki tahun baru tetapi calar-calar dugaan yang telah kita lalui pada tahun lepas masih segar dalam ingatan dan sanubari rakyat Malaysia.

Kita berdoa supaya tahun ini tidak digeruni dengan malapetaka luar jangkaan seperti peristiwa MH370 dan MH17.

Kita menjejak tahun 2015 dengan suasana kemurungan dan kegembiraan yang dicampur aduk. Banjir tenat yang melanda beberapa negeri dengan puluhan ribu rakyat merana hilang harta benda merupakan suasana murung yang dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia.

Pada masa yang sama, semangat dan harapan baru bagi tahun 2015 pula mendorong  sebilangan rakyat Malaysia menyambut tahun baru dengan penuh kegembiraan.

Tahun ini bukanlah tahun yang mudah untuk kita. Saya sememangnya tidak suka untuk memberi gambaran hitam tentang masa hadapan negara ini. Tetapi, pada masa yang sama, saya juga tidak mahu menutup realiti yang bakal kita menempuh pada hari-hari yang di hadapan.

Saya amat tidak bersetuju dengan pandangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam perutusan tahun baru yang penuh dengan kata-kata kosmetik yang sengaja menghijaukan yang kuning.

Pada pandangan saya adalah lebih baik untuk menceritakan suasana yang sebenar supaya rakyat lebih bersedia.

Pemimpin negara yang baik adalah orang yang membantu rakyat 'menyediakan payung sebelum hujan'.  Memberi gambaran palsu semata-mata akan melenakan rakyat dan akan dikejutkan dengan liku-liku yang tidak dijangka.

Perdana Menteri dalam blognya www.najibrazak.com berkata, bagi bulan-bulan dan tahun-tahun akan datang, tumpuannya adalah kepada 'rakyat'.

Adakah ini bermakna satu pengakuan dibuat bahawa selama ini beliau dan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional tidak memberi fokus kepada rakyat, walaupun slogan yang diwar-warkan ialah 'rakyat didahulukan'?

Kenyataan beliau ini amat kontradiksi dengan Wawasan 1Malaysia yang kononnya berteraskan prinsip 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'. Kalau baru mahu memberi fokus kepada rakyat, apakah yang difokuskan oleh kerajaan Barisan Nasional selama ini?

Najib juga berkata, kerajaan akan mengurangkan ketidakseimbangan pendapatan antara kaya dan miskin di negara ini. Usaha-usaha akan diambil untuk merapatkan jurang pendapatan kedua-dua golongan tersebut.

Saya agak keliru dengan kenyataan Perdana Menteri yang secara tiba-tiba menceritakan hal jurang pendapatan kaya dan miskin di ambang tahun baru.

Adakah beliau tidak sedar bahawa punca kepada fenomena ini adalah kerakusan kerajaan Barisan Nasional sendiri yang melahirkan jutawan-jutawan kilat dari kalangan kroni-kroni yang menyokong mereka?

Adakah Perdana Menteri berani untuk berhenti menyokong dan membantu kroni-kroni yang kaya raya ini? Adakah beliau sanggup berkorban demi rakyat miskin?

Dalam percaturan ini, saya pasti Perdana Menteri tidak akan memilih untuk membantu rakyat terbanyak. Selagi kroni-kroni ini wujud, hasrat merapatkan jurang pendapatan antara kaya dan miskin ini adalah 'angan-angan Mat Jenin'.

Perdana Menteri juga berkata ekonomi negara kita akan terus meningkat, membawa banyak peluang-peluang pekerjaan dan taraf hidup yang lebih tinggi.

Beliau menjangka ekonomi negara kita akan meningkat 4.7% pada tahun 2015 berbanding dengan 5.7% pada tahun 2014. Beliau bertegas ekonomi negara kita adalah kukuh dan bertahan untuk menghadapi apa jua ribut yang melanda.

Saya mempunyai pandangan yang berbeza dengan kenyataan Perdana Menteri yang terlalu longgar dan tiada pedoman ekonomi yang berasas.

Pada hakikatnya, suasana ekonomi negara kita adalah tidak kukuh malah semakin menjunam setelah harga minyak petroleum jatuh mendadak di pasaran dunia.

Dalam pada itu, komoditi-komoditi lain yang menjadi sumber pendapatan negara seperti kelapa sawit dan getah juga menghadapi masalah keruntuhan harga yang mungkin tidak boleh dipulih  dalam jangka terdekat.

Pasaran saham yang tidak stabil dan penurunan nilai Ringgit Malaysia juga akan memberi kesan atau implikasi negatif yang amat mendalam.

Kadar inflasi yang semakin meningkat juga akan dimangkinkan lagi dengan perlaksanaan GST pada 1 April 2015. Cukai baru dan rasionalisasi subsidi oleh kerajaan akan pasti membebankan rakyat jelata.

Tambahan pula, tragedi banjir yang melanda negara kita juga akan menelan belanja besar yang pastinya akan meningkatkan defisit fiskal dan hutang negara.

Semua ini adalah fakta-fakta asas untuk menjangka bahawa ekonomi negara kita akan semakin merudum pada tahun ini.

Kenyataan Perdana Menteri bahawa ekonomi negara adalah kukuh dan bersedia menghadapi apa jua ribut adalah tidak rasional malah hanya memberi harapan palsu kepada rakyat.

Rakyat perlu lebih berwaspada dalam segala urusan dan pertimbangan ekonomi termasuk ekonomi rumahtangga supaya tidak terjerat dalam kekangan kewangan yang melampau. - HARAKAHDAILY 2/1/2015

Penulis ialah Ahli Parlimen Batu Gajah yang juga Timbalan Pengerusi DAP Perak.

Share on Myspace