PAS ambil peranan kerajaan bantu mangsa

MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR | .

KAMPUNG GAJAH: PAS telah melaksanakan peranan kerajaan pusat dan negeri termasuklah agensi-agensinya seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam membantu mangsa banjir.

Yang Dipertua PAS Pasir Salak, Ustaz Mustafa Shaari berkata, pihaknya sentiasa menjaga kebajikan mangsa-mangsa banjir khususnya kelompok yang enggan berpindah ke pusat-pusat pemindahan.

Menurutnya, kebajikan mereka yang terjejas perlu diambil perhatian khususnya bekalan makanan di setiap sesi iaitu sarapan, makan tengahari dan makan malam.

Katanya, banyak kampung yang terputus hubungan jalan raya mengakibatkan bekalan mereka juga terputus.

"Agensi kerajaan hanya menjaga kebajikan mangsa di pusat pemindahan sebaliknya yang kekal di rumah masing-masing tidak diambil perhatian oleh mereka (kerajaan).

"Kami (PAS) telah menjalankan peranan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan menjaga kebajikan mereka," katanya ketika ditemui Harakah di Pusat Pengurusan Kecemasan Bencana (PEDM) PAS Pasir Salak, Kampung Gajah dekat sini.

Oleh hal yang demikian, katanya, selain PEDM induk yang dibuka untuk menyelaras dan mengumpul bantuan orang ramai, PAS Pasir Salak turut membuka cawangan pusat operasi di beberapa buah lokasi.

Hal ini jelas beliau bagi memastikan semua mangsa yang terjejas banjir mendapat bekalan bantuan khususnya dari segi makanan sama ada mentah mahupun siap dimasak.

"Pusat operasi telah dibuka di beberapa buah lokasi iaitu Changkat Lada, Chenderong Balai dan Sejagop.

"Ia berperanan sebagai penyalur bantuan daripada induk kepada mangsa-mangsa oleh kerana lokasi tersebut terputus hubungan dengan PEDM," jelasnya lagi

Beliau menyatakan, selain menyampaikan bantuan, PAS turut menjalankan aktiviti kemasyarakatan di pusat pemindahan.

Usaha ini kata beliau sebagai suatu cara untuk memberikan semangat kepada mangsa banjir yang agak tertekan dengan musibah menimpa mereka.

"Oleh sebab PAS disekat memasuki pusat pemindahan, kami telah masuk melalui NGO dan menganjurkan program kemasyarakatan termasuklah pertandingan mewarna dan sebagainya.

"Kami akan terus berusaha memainkan peranan walaupun diuji dengan sekatan-sekatan dan sebagainya," jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Mustafa mengucapkan jutaan terima kasih kepada para penyumbang yang tidak putus-putus memberikan sumbangan kepada PEDM seterusnya disalurkan kepada mangsa-mangsa banjir.

Pelbagai pihak termasuklah parti politik dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Ikram, Haluan dan sebagainya telah memberikan pelbagai jenis sumbangan kepada PEDM.

"Saya mengharapkan sumbangan ini dapat diteruskan kerana operasi banjir ini masih banyak yang belum selesai terutama pasca banjir.

"Bantuan daripada pelbagai pihak sangat diharapkan agar PEDM dapat beroperasi sebaik mungkin membantu mangsa yang terjejas serta rumah yang terlibat," tambahnya lagi. – HARAKAHDAILY 2/1/2015

Share on Myspace