Tentukan harga petrol seminggu sekali

SALMIYAH HARUN | .

 

KUALA LUMPUR: PKR menggesa supaya  Kerajaan Persekutuan menukar jadual menyelaraskan harga petrol dan diesel dari sebulan sekali kepada setiap seminggu sekali.

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berkata, dengan menyelaraskan harga petrol dan diesel kepada harga pasaran setiap seminggu sekali, ini akan dapat menyelesaikan dua masalah utama.

Katanya, rakyat akan dapat menikmati harga petrol yang jauh lebih rendah misalnya harga RON95 bagi minggu ini sepatutnya hanya RM1.87 seliter mengikut pelarasan mingguan dengan ini rakyat tidak perlu membayar cukai tersembunyi yang terlalu tinggi seperti yang berlaku sekarang.

"Kiraan dalam Lampiran menunjukkan bahawa jumlah kutipan cukai hanyalah RM54.4 juta bagi RON95 (berbanding RM402 juta mengikut penyelarasan bulanan) dan RM40.3 juta bagi diesel (berbanding RM231 juta mengikut penyelarasan bulanan).

"Hal ini bermakna jika harga petrol dan diesel diselaraskan setiap minggu, rakyat hanya membayar cukai petrol dan diesel sebanyak RM95 juta bagi Disember 2014 berbanding RM633 juta di bawah kaedah sekarang," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, masalah pertama, harga terkini RON95 dan diesel hanya disemak untuk diselaraskan dengan harga pasaran setiap bulan, sedangkan harga minyak mentah terus jatuh setiap hari dan menyebabkan harga yang dibayar oleh rakyat jauh lebih mahal daripada harga pasaran sebenar.

"Contohnya, pada 30 Disember 2014 harga pasaran RON95 yang ditetapkan oleh formula Kerajaan Persekutuan sendiri adalah RM1.75 seliter tetapi rakyat masih terpaksa membayar RM2.26 seliter iaitu 50 sen lebih mahal daripada harga sebenar. Jumlah 50 sen setiap liter yang dibayar lebih mahal daripada harga pasaran ini dikutip sebagai cukai oleh Kerajaan Persekutuan.

"Dalam keadaan harga minyak mentah terus jatuh dan dijangka kekal begitu sepanjang tahun 2015, kaedah menyemak dan menyelaraskan harga RON95 dan diesel dengan harga pasaran setiap sebulan sekali seperti yang diamalkan sekarang memangsakan rakyat," katanya dalam satu kenyataan.

Tegas Rafizi, apabila semakan dan penyelarasan harga lambat dilakukan, rakyat terpaksa membayar harga sebulan yang lepas yang sudah tentu jauh lebih tinggi dari harga dan kos sebenar yang ditanggung syarikat minyak.

Masalah kedua katanya, apabila harga yang dibayar oleh rakyat jauh lebih tinggi dari harga pasaran sebenar yang ditetapkan oleh formula, setiap sen lebihan itu dikutip oleh Kerajaan Persekutuan sebagai cukai.

"Sepanjang bulan Disember 2014, Kerajaan Persekutuan mengutip cukai tersembunyi di atas penjualan petrol dan diesel yang lebih mahal daripada harga pasaran yang berjumlah RM633 juta.

"Jika keadaan ini tidak diubah dan berterusan, saya menjangkakan Kerajaan Persekutuan akan mengutip cukai di antara RM3 bilion hingga RM5 bilion dalam tahun 2015 di atas pembelian petrol dan diesel," katanya yang juga Ahli Parlimen Pandan.

Beliau berpendapat, jumlah sebenar yang dikutip boleh dikurangkan secara drastik sekiranya harga petrol dan diesel diselaraskan dengan harga pasaran secara lebih kerap, bukannya sebulan sekali seperti sekarang. – HARAKAHDAILY 2/1/2014
 

Share on Myspace