Presiden PAS arah ahli bantu mangsa pasca banjir

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengarahkan semua ahli PAS di pelbagai peringkat untuk memanfaatkan masa hujung minggu dan awal tahun ini untuk turun membantu mangsa banjir dengan sepenuh daya yang mungkin.

Dalam kenyataannya hari ini, beliau berkata, tugas yang paling berat sekarang ini ialah cabaran pasca banjir yang menuntut setiap daripada kalangan ahli parti untuk turun ke medan bagi membantu mangsa dan rakyat yang memerlukan bantuan.

"Saya meminta seluruh ahli PAS di pelbagai peringkat, muslimin dan muslimat, anggota Jabatan Amal dan lain-lainnya membantu mangsa banjir.

"Banjir besar yang sedang kita hadapi ini, terutamanya di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak serta beberapa negeri yang lain adalah satu ujian yang sangat berat dari Allah SWT kepada kita.

"Kemusnahan harta benda, rumah tempat berlindung, peralatan persekolahan, kekurangan bekalan makanan; semuanya adalah ujian berat yang sedang kita hadapi," katanya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Dalam masa yang sama, katanya sumbangan barangan keperluan, kewangan dan tenaga perlulah diteruskan.

Pihak Bilik Penyelarasan Maklumat dan Bencana Banjir MEDM PAS Pusat sedang bertindak menyelaraskan gerak kerja dan mengumpulkan dana untuk mangsa banjir.

Pihak MEDM juga akan memberikan arahan khusus kepada setiap ahli parti dalam melaksanakan tugas ini supaya ia akan lebih tersusun dan menyeluruh.

Banjir di empat buah negeri terbabit dikatakan paling dahsyat kerana melibatkan lebih 150,000 mangsa manakala negeri Kelantan mencatat jumlah mangsa banjir yang paling tinggi sejak 21 Disember lalu. – HARAKAHDAILY 2/1/2014

Share on Myspace