MB ketuai operasi bersih lumpur di Kota Bharu

MUHAMMAD YUSRI AMIN | .

KOTA BHARU: Biar pun selut masih lagi menyelaputi di segenap kawasan di bandar ini namun aktiviti perniagaan pagi Jumaat tetap rancak di Medan Ilmu.

Orang ramai datang biar pun kuliah agama tidak diadakan memandangkan kawasan bandar masih lagi diselaputi selut.

Kerja-kerja membersihkan selut rancak dijalankan sejak Selasa lalu membabitkan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB BRI), JKR dan badan bukan kerajaan.

Kerja-kerja menyodok selut juga menggunakan jentera penyodok dan lori sehingga lewat malam.

Manakala aktiviti perniagaan belum lagi berjalan seperti biasa kecuali ada peniaga melelong barangan yang tenggelam air bah.

Gotong royong perdana membersihkan bandar Kota Bharu akan diadakan pada 5 Januari ini bermula jam 8 dijangka dirasmikan Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob.

Gotong royong itu membabitkan kakitangan MPKB BRI, jabatan-jabatan kerajaan, syarikat swasta dan peniaga akan diadakan bermula di pekarangan Istana Balai Besar.

Ketua Penolong Pengarah Perhubungan Korporat MPKB-BRI Azman Mohd Daham berkata, turut serta pekerja syarikat pemaju projek Lembah Sireh, Liziz Standaco Sdn Bhd dan The Young Buddhist Association of Malaysia Kelantan.

Katanya, operasi membersihkan bandar akan diteruskan pada 6 dan 7 Januari bagi membersihkan kekotoran premis dan bandar daripada kesan banjir.

“Kami berharap semua pihak terbabit menyertai gotong royong tersebut,” katanya di sini. - HARAKAHDAILY 2/1/2015

Share on Myspace