Banjir: PAS Perak arah cawangan hantar petugas

MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR | .

IPOH: PAS Perak mengarahkan semua cawangan di seluruh kawasan di negeri itu menghantar petugas sukeralawan di Pusat Pengurusan Kecemasan Bencana (PEDM) PAS di kawasan-kawasan yang terjejas. (Gambar atas: Pengarah PEDM PAS Perak, Ustaz Idris Ahmad mendayung sampan melawat mangsa banjir di Pasir Salak)

Pengarah PEDM PAS Perak, Ustaz Idris Ahmad berkata, cawangan PAS perlu memastikan menghantar sekurang-kurangnya empat orang dalam operasi ops cuci di kawasan yang terjejas banjir iaitu Kuala Kangsar, Pasir Salak, Lenggong, Parit dan Sungai Siput.

Menurutnya, ops cuci sudah mula beroperasi setelah air yang menenggelamkan rumah-rumah telah surut sepenuhnya.

"PAS Perak menggesa seluruh kawasan dapat kerah cawangan-cawangan bagi memastikan dapat menghantar petugas sukarelawan dalam operasi ops cuci.

"Diharap kawasan dapat menyediakan alat kelengkapan membasuh kepada sukarelawan masing-masing," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak menjelaskan, operasi mencuci ini dijalankan semula apabila dihentikan buat seketika beberapa hari lalu oleh kerana air masih belum surut sepenuhnya.

Katanya, berlaku kejadian rumah yang telah dicuci oleh sukarelawan PAS dan Jabatan Amal ditenggelami semula air bah.

Dalam pada itu, Idris menyatakan, PEDM PAS Perak akan berusaha untuk menyumbang dapur masak kepada setiap keluarga yang rosak alat kelengkapan itu.

Namun, katanya, ia bergantung kepada dana yang berjaya dikumpul serta diperoleh dalam merealisasikan hasrat itu.

"Kita cuba lancarkan infaq daripada setiap ahli PAS khususnya di Perak untuk menyumbang RM10 bagi menjayakan projek satu keluarga satu dapur.

"Pihak PEDM sedang mengumpulkan maklumat berapa keluarga yang memerlukan kelengkapan itu (dapur memasak) di semua kawasan yang terjejas banjir," jelasnya lagi.

Idris berpesan kepada seluruh ahli agar dapat sama-sama terlibat dalam semua aspek bagi membantu mangsa-mangsa yang sedang ditimpa musibah daripada Allah.

"Seruan saya kepada ahli yang tidak terlibat banjir, marilah sama-sama membantu mereka kerana hari ini berlaku kepada mereka, mungkin esok Allah uji kita pula.

"Kalau tidak kesian kepada mereka mungkin esok jika kita ditimpa musibah, orang tidak kesian pada kita pula," tambahnya lagi.

Ujarnya lagi, inilah masanya untuk PAS menjuarai berkaitan kebajikan kepada rakyat selaras dengan konsep Negara Berkebajikan.

Tegasnya, walaupun tidak memegang tampuk pemerintahan, PAS mampu membantu mangsa banjir sebaik mungkin malah dilihat lebih efisyen daripada agensi-agensi kerajaan yang terbabit.

"Kita bantu tanpa kira politik, syaratnya kita ikhlas dan bersatu hati serta tenaga di kalangan kita, Insha Allah dipermudahkan-Nya," katanya lagi. – HARAKAHDAILY 3/1/2014


Share on Myspace