BASARNAS yakin temui bangkai pesawat AirAsia QZ8501

AZEMAN ARIFFIN | .

 JAKARTA: Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) nahas AirAsia QZ8501 yang memasuki seminggu, setakat ini telah menemui 30 mayat dan dua objek besar yang dipercayai bangkai pesawat itu.
    
Ketua Badan SAR Nasional (BASARNAS) Bambang Soelistyo berkata berdasarkan kepada saiz dan jenis dua objek besar di dalam dasar laut itu, pihaknya yakin ia adalah bangkai pesawat AirAsia.
    
Dengan penemuan tumpahan minyak dan dua bahagian besar pesawat, ini adalah bahagian pesawat AirAsia yang kami cari selama ini," katanya dalam sidang media yang disiarkan secara langsung menerusi beberapa siaran televisyen tempatan.
    
Beliau berkata bahagian paling besar dianggarkan bersaiz sekitar 10 meter kali lima meter dan kedua-dua objek besar itu berada kira-kira 30 meter di bawah permukaan air.
    
Daripada 30 mayat yang ditemui itu, 17 adalah lelaki dan 13 lagi perempuan dan jenazah-jenazah itu dihantar ke Hospital Bhayangkara, Surabaya untuk proses kenal pasti.
    
Pesawat yang membawa 162 penumpang dan anak kapal itu berlepas dari Surabaya pada 5.35 pagi dan dijadual tiba di Singapura pada 8.20 pagi hari yang sama (28 Dis).
    
Penumpang pesawat itu terdiri daripada 149 orang warga Indonesia, tiga Korea Selatan dan masing-masing seorang rakyat Singapura, Malaysia serta United Kingdom.
    
Kru terdiri daripada enam Indonesia dan seorang Perancis. - BERNAMA

Share on Myspace