Lebih 90 peratus di Kelantan telah terima bekalan elektrik

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Tenaga Tenaga Nasional Berhad memaklumkan dalam satu kenyataan ringkasnya bahawa Lebih 90 peratus pengguna di Kelantan telah menerima bekalan elektrik.

Peratusan itu setakat jam 12.00 tengah hari ini. Sehubungan dengan itu bilangan Pencawang Elektrik (PE) yang telah dipulihkan setakat ini ialah sebanyak 1,838 berbanding 1,960, iaitu jumlah keseluruhan PE yang dipotong semasa banjir.

Jumlah beban tenaga pula yang terpaksa dipotong juga terus menurun kepada 10 MW (megawatt) berbanding 33 MW semalam, kata Pengurus Besar Kanan (Operasi Wilayah 2), Bahagian Pembahagian, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Ir. Abdul Aziz Abdul Majid.

“Setakat jam 12.00 tengah hari ini,  46 janakuasa bergerak dengan kapasiti hingga 1,000 kVA  (kilo Volt Ampere) juga sedang dioperasikan di Kelantan.

“Kami juga sedang berusaha untuk memasang beberapa lagi set-set janakuasa ini,di lokasi-lokasi yang memerlukan,” kata Ir. Abdul Aziz.

Di Pahang, jumlah PE yang masih belum dipulihkan menurun kepada 217 setakat ini berbanding 584, iaitu jumlah keseluruhan PE yang dipotong semasa banjir  .

Sementara itu di Perak, sebanyak 57 PE masih belum dipulihkan.

Kepada mangsa-mangsa banjir yang kembali ke premis masing-masing, para pengguna terlibat adalah dinasihatkan supaya memastikan pendawaian elektrik dan semua peralatan elektrik mereka adalah selamat untuk digunakan.

Sehubungan dengan itu juga, para pengguna terlibat adalah dinasihatkan untuk menggunakan khidmat kontraktor elektrik yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga (ST) bagi memeriksa terlebih dahulu pendawaian elektrik dan semua peralatan elektrik sebelum selamat untuk digunakan.

Para pengguna terlibat bolehlah menghubungi pejabat-pejabat ST di negeri masing-masing seperti nombor telefon berikut bagi mendapatkan khidmat nasihat:

1.      Kelantan dan Terengganu – 09-748 7390

2.      Pahang – 09-514 2803

3.      Perak – 05-253 5413

 - HARAKAHDAILY 3/1/2014

Share on Myspace