Skuad Dapur Rakyat beri khidmat terbaik untuk mangsa banjir

MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR | .

KUALA KANGSAR: PAS sangat berpuas hati dengan skuad "Dapur Rakyat" yang telah memberikan khidmat terbaik kepada mangsa-mangsa banjir.

(Gambar atas: Salahuddin bersama dengan beberapa orang anggota ATM yang bertugas semasa banjir di Lenggong, Perak)

Pengarah Pusat Kecemasan Bencana Malaysia (MEDM), Salahuddin Ayub berkata, skuad tersebut menggalas tanggungjawab yang besar dalam menjaga kebajikan mangsa banjir dari segi makanan.

Menurutnya, dapur rakyat telah dibuka dan beroperasi di bawah MEDM di semua lokasi banjir di seluruh negara.

"MEDM 'salute' dan mengucapkan terima kasih kepada skuad Dapur Rakyat di semua pusat operasi banjir, mereka yang telah memberikan khidmat yang terbaik.

"Ternyata skuad tersebut telah menjadi 'trademark' dan dikenali oleh masyarakat khususnya mangsa-mangsa banjir," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Harakah di Dapur Rakyat Kuala Kangsar, semalam.

Naib Presiden PAS itu menyatakan, ketika beliau melawat semua pusat operasi banjir PAS, Dapur Rakyat telah memainkan peranan mereka dalam membantu mangsa banjir yang ditimpa musibah mendapat keperluan makanan.

Katanya, tidak kurang sehari sebanyak dua sesi bekalan makanan disalurkan kepada semua mangsa tanpa mengira batasan politik.

Katanya, kerajaan tidak memainkan peranan serta tanggungjawab mereka dalam soal kebajikan mangsa-mangsa banjir di luar pusat pemindahan.

Tegas beliau, PAS sangat kecewa apabila kerajaan melalui agensinya gagal memastikan mangsa-mangsa banjir dalam keadaan yang terjaga daripada semua aspek.

"Tidak kira di pusat pemindahan atau di mana sekali pun, kerajaan pusat melalui agensinya perlu bertanggungjawab membantu menyediakan bantuan makanan mangsa-mangsa banjir.

"Tak sepatutnya berlaku mangsa banjir dalam keadaan kelaparan, walau bagaimanapun PAS tetap memikirkan aspek terus dengan menubuhkan skuad Dapur Rakyat," jelasnya lagi.

Dalam lawatannya ke Perak, Salahuddin telah meninjau lokasi banjir di Kuala Kangsar, Pasir Salak, Sungai Siput dan Lenggong.

Beliau turut melawat semua PEDM yang ditubuhkan di semua lokasi banjir bagi memastikan pengoperasiannya mengikut arahan yang dikeluarkan di peringat pusat. – HARAKAHDAILY 3/1/2014

Share on Myspace