Buka sekolah: Penoreh ikhtiar cari duit

HARAKAHDAILY | .

SETIU: “Lama doh dok leh gi nnoreh, dekat buka sekolah banyak pitih nak guna, tapi kerana anak nak gi ngaji, kita ikhtiar carilah lagu mana pun…”

Itulah luahan sedih yang disampaikan ibu-bapa anak-anak Dun Jabi ketika menerima kunjungan rombongan pimpinan Majlis Tindakan Dun Jabi dalam program Jejak Anak-Anak Cemerlang UPSR semalam.

Kira-kira 20 orang anak-anak Dun Jabi yang berjaya mendapat 5A dalam peperiksaan UPSR baru-baru ini dikunjungi dari rumah ke rumah untuk diberikan sumbangan penghargaan dan ucapan tahniah atas kejayaan yang dicapai.

Pengarah Majlis Tindakan Dun Jabi yang juga Ketua Lujnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Terengganu, Dr Azman Ibrahim mengetuai kunjungan rumah ke rumah.

Tahun ini, kata beliau phaknya tidak mengadakan majlis penyampaian sumbangan sebagaimana biasa tetapi mengambil satu inisiatif baru untuk datang sendiri ke setiap rumah anak-anak cemerlang itu.

Menurutnya, inisiatif baru ini dibuat kerana beberapa tujuan iaitu, yang pertama, apabila pihakya tidak memiliki jumlah kewangan yang banyak untuk dihulurkan, nilai sumbangan akan menjadi mahal apabila datang sendiri ‘bertemu mata’.

"Yang kedua, kita ingin melihat sendiri keadaan kehidupan keluarga mereka di samping dapat memberi semangat kepada ahli keluarga yang lain," katanya.

Tambahnya, dalam keadaan cuaca yang tidak menentu, seboleh-bolehnya pihaknya tidak ingin menyusahkan para ibu bapa sehingga terpaksa datang ke majlis sumbangan dan terpaksa meninggalkan kerja-kerja harian mereka.

Katanya lagi, suatu yang menarik untuk diungkapkan, sebahagian besar anak-anak cemerlang ini datangnya dari keluarga berpendapatan rendah.

Beliau menambah, mereka adalah anak-anak kampung yang hidup dalam serba kekurangan, belajar di sekolah kampung yang tentunya tidak sebanding dengan sekolah di bandar tetapi juga mampu cemerlang sebagaimana orang lain.

Maknanya, kata beliau anak-anak ini adalah mereka yang hebat dan sangat berbakat.

Beliau turut melahirkan kesyukuran atas kejayaan anak-anak Dun Jabi yang cemerlang ini diterima meneruskan pengajian di sekolah-sekolah berasrama penuh di sebalik persaingan hebat untuk mendapatkan tempat sekarang ini. - HARAKAHDAILY 3/1/2015

Share on Myspace