Perantau pulang bantu mangsa banjir di Terengganu

IZWAN ABDUL HALIM | .

Perantau menziarahi anak-anak mangsa bot terbalik.

KUALA LUMPUR: Biarpun jauh di mata, namun dekat di hati, demikian ungkapan dapat digambarkan terhadap usaha Persatuan Anak Terengganu Di Perantauan (Perantau) dalam menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir.

Sejak awal banjir melanda, Perantau telahpun menggerakkan peranannya sejak 25 Disember lalu membantu mangsa banjir di negeri itu.

Bertitik tolak dari kutipan sumbangan yang berjalan selama dua minggu, Perantau melancarkan misi khas ke kawasan dilanda banjir iaitu di Kemaman, Dungun dan Hulu Terengganu, kelmarin.

Menurut Setiausahanya, Awasi Mohamad, hasil sumbangan para dermawan prihatin telah diagihkan dengan jayanya kepada mangsa-mangsa banjir di tiga daerah tersebut.

“Misi ini tidak akan berjaya tanpa sumbangan dari orang ramai. Ini termasuklah sumbangan dari individu, institusi kemasyarakatan seperti masjid dan surau dan juga institusi pengajian tinggi. Perantau merakamkan jutaan terima kasih kepada semua penyumbang yang berhati emas.

“Tidak kira samada berbentuk wang ringgit ataupun barang keperluan harian. Usaha ini sedikit sebanyak telah mampu mengukir secebis senyum dalam tangis yang bersarang dijiwa mangsa. Sikap prihatin penyumbang adalah manifestasi kepada kebesaran jiwa masyarakat yang sanggup berkongsi kesengsaraan dialami mangsa banjir,” ujarnya.

Perantau juga katanya, mengucapkan ribuan terima kasih kepada para sukarelawan yang telah mengorbankan masa dan tenaga bagi menyampaikan amanah dari penyumbang budiman.

Ujarnya, pengorbanan para sukarelawan itu moga diganjari dengan pahala yang berlipat kali ganda daripada Allah.

Sementara itu Naib Presidennya, Mohd Shuhaimi Embong berkata, misi pertama itu diketuai Presiden Perantau, Prof Dr Kamarulzaman Yusof bersama 50 anggota Perantau dari Kuala Lumpur, Selangor dan Johor.

Maklumnya, turut serta dalam misi tersebut juga adalah Naib Canselor Unisel, Prof Dr Anuar Ahmad dan beberapa ilmuan untuk menyampaikan bantuan.

Manakala Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Mohamad Noor Mohamad bersama 60 anggota Unit Amal Wilayah Persekutuan juga hadir bersama membantu membersihkan rumah-rumah mangsa banjir.

Ujarnya, dikesempatan pulang ke Terengganu itu, Perantau turut menziarahi dan memberikan sumbangan khusus kepada anak pasangan mangsa bot terbalik, Suhaimi Awang dan Norhayati Sulong yang meninggal dunia baru-baru ini. - HARAKAHDAILY 4/12/2015

Share on Myspace