Luluh hati lihat rumah tinggal tapak

MUHAMMAD AFIQ MOHD ASRI | .

Antara rumah yang musnah di Kuala Krai. (Foto fb HUSAM MUSA)

KUALA KRAI: "Pilu hati saya apabila melihat rumah hanya tinggal tapak kerana dibawa arus deras banjir," luah seorang suri rumah lima anak.

Berlinangkan air mata, Siti Khadijah Mohd Nor, 48, menceritakan detik kehilangan rumahnya di Kampung Manik Urai Lama.

Dia berkata ketika kejadian hujan lebat pada 23 Dis lalu, paras air hanya setakat di kaki dan selepas itu naik ke paras lutut dan akhirnya menenggelamkan rumahnya, kesemuanya berlaku begitu pantas.

Selang seminggu selepas banjir surut, Siti Khadijah dan suaminya kembali ke rumah untuk mencari harta benda yang boleh diselamatkan.

"Perancangan saya ialah untuk membersihkan tapak rumah kami serta mengumpulkan barangan rumah yang masih boleh diguna pakai, selain membuat persiapan untuk anak-anak bersekolah," kata Siti Khadijah.

Ditanya mengenai kepayahan hidup ketika dilanda banjir, Siti Khadijah berkata bantuan tidak putus-putus datang.

"Dari segi bantuan yang diterima adalah lebih daripada mencukupi, di mana bantuan setiap hari datang. Apa yang penting sekarang ialah menerima bantuan kelengkapan persekolahan seperti baju sekolah, kasut sekolah, selain daripada bekalan makanan dan air bersih.

"Alhamdulillah semua bantuan itu saya dapat...saya mengucapkan terima kasih kepada mereka yang sanggup datang dari jauh untuk membantu mangsa banjir seperti kami," katanya.

Buat masa ini, Siti dan keluarganya mendirikan khemah sementara yang diberi oleh pasukan sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO).

"Sementara menunggu rumah ganti daripada kerajaan disiapkan, saya akan membina penempatan sementara, insya-Allah dengan izin-Nya segalanya akan dipermudahkan," katanya.

Cuaca mendung di Manik Urai sejak pagi tadi dan hujan gerimis sekejap-sekejap.

Keadaan jalan di sini, berdebu akibat kesan lumpur banjir yang kering. - Bernama

Share on Myspace