Tangguh GST, Najib jangan dengar nasihat akal pendek

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan pada April depan mesti ditangguhkan sehingga lima negeri yang dilanda banjir buruk dan tanah runtuh pulih sepenuhnya.

Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto menggesa kerajaan untuk pertimbang kembali pelaksanaan GST yang disifatkan sebagai ‘sumpahan’ kepada mangsa bencana alam sepanjang 2014.

“Pelaksanaan cukai GST dilakukan berikutan pandangan kerajaan yang kononnya Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat, dan hutang isi rumah sudah semakin berkurang, manakala BR1M pula ditunggu-tunggu,” ujarnya dipetik Roketkini.

Berikutan bencana banjir yang melanda penghujung tahun lalu, lebih 250,000 mangsa dicatatkan di negeri-negeri Pantai Timur, Johor, Pahang dan Perak serta tanah runtuh di Tanah Tinggi Cameron sementara kerja-kerja baik pulih di negeri-negeri itu memerlukan jutaan ringgit bagi membaiki infrastruktur dan kerosakan harta benda.

Katanya, situasi Jepun juga serupa seperti Malaysia apabila negara itu dilanda tsunami pada Mac 2011, dan sehingga kini masih dalam fasa pemulihan.

Namun, ujarnya Kerajaan Jepun dilihat sangat progresif sehingga membelanjakan 250 bilion dolar Amerika untuk pembinaan semula negara matahari terbit itu dengan pelan pemulihan  memakan waktu sehingga lima tahun.

Katanya, bagaimana keluarga yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh dan banjir akan dapat membina semula kehidupan mereka selepas episod bencana apabila segala barangan yang mereka akan sentuh telah 'disumpah' 6 peratus GST.

Justeru, kata beliau Perdana Menteri harus menahan dirinya daripada mendengar nasihat-nasihat akal pendek sekaligus menangguhkan pelaksanaan GST.

“Najib mesti memandu negara ke arah laluan yang betul, demi memastikan kebajikan rakyat terjamin, tiba masanya Perdana Menteri memastikan rakyat betul-betul terlindung.

Share on Myspace