Sukarelawan banjir turut alami gangguan emosi

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Sepanjang perkhidmatan Pasukan Kesihatan Mental dan Respons Psikososial Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dilaksanakan, didapati bahawa kebanyakan mangsa mengalami gejala seperti terkejut, tekanan perasaan akibat dari kehilangan dan kerosakan harta benda, kerisauan ketidaktentuan masa depan, kesedihan, kekecewaan, perasaan menyalahkan diri sendiri, dan perasaan terasing dari dunia luar.

"Manakala gejala fizikal yang dialami adalah keletihan, kejang otot, lapar, dan gangguan tidur. Hasil pemerhatian pihak KKM, kami dapati terdapat juga anggota penyelamat atau sukarelawan yang pulang dari misi bantuan turut mengalami gangguan emosi di atas kemusnahan yang berlaku dan kesukaran yang dihadapi oleh mangsa banjir," ujar Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan akhbar hari ini, sebagaimana di bawah.

KEJADIAN banjir teruk yang telah melanda beberapa buah negeri di pantai timur Semenanjung Malaysia iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang bukan sahaja telah mengakibatkan kesan fizikal dari segi kemusnahan dan kehilangan harta benda malah turut megakibatkan tekanan perasaan dan trauma yang mendalam dari aspek psikologi kepada mangsa-mangsa bencana. Negeri-negeri lain yang turut dilanda bencana banjir ini adalah Perak, Johor, Perlis, Kedah dan Sabah.

Menyedari keadaan ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Krisis Kebangsaan (National Crisis Preparedness and Response Centre atau CPRC) di peringkat kebangsaan dan juga di peringkat negeri telah mengakifkan Pasukan Kesihatan Mental dan Respons Psikososial dengan tujuan memberikan perkhidmatan sokongan psikososial kepada mangsa-mangsa bencana serta petugas-petugas kesihatan dan sukarelawan yang terlibat dalam bencana ini.

Sepanjang perkhidmatan dilaksanakan, didapati bahawa kebanyakan mangsa mengalami gejala seperti terkejut, tekanan perasaan akibat dari kehilangan dan kerosakan harta benda, kerisauan ketidaktentuan masa depan, kesedihan, kekecewaan, perasaan menyalahkan diri sendiri, dan perasaan terasing dari dunia luar. Manakala gejala fizikal yang dialami adalah keletihan, kejang otot, lapar, dan gangguan tidur. Hasil pemerhatian pihak KKM, kami dapati terdapat juga anggota penyelamat atau sukarelawan yang pulang dari misi bantuan turut mengalami gangguan emosi di atas kemusnahan yang berlaku dan kesukaran yang dihadapi oleh mangsa banjir.

Operasi Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Respons Psikososial KKM telah diaktifkan di negeri-negeri yang terlibat semenjak 21 Disember 2014. Sebanyak 29 Kementerian Kesihatan Malaysia, pasukan Kesihatan Mental dan Respons Psikososial yang berjumlah seramai 150 anggota telah digerakkan ke lapangan bagi memberikan perkhidmatan.

Perkhidmatan telah diberikan oleh petugas-petugas kesihatan yang merupakan ‘multidiciplinary team’ terdiri dari Pakar Psikiatri, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Pegawai Perubatan (Psikiatri dan Kesihatan), jururawat, penolong pegawai perubatan, pegawai psikologi dan juga pegawai sosial perubatan.

Antara perkhidmatan psikososial yang diberikan adalah psychological first aid, kaunseling (supportive counselling), terapi individu, terapi berkumpulan, aktiviti berkumpulan yang melibatkan kanak-kanak dan remaja seperti terapi melukis, mewarna, ‘wooden block’, ceramah kesihatan kepada mangsa banjir untuk mengenali dan menangani stres, melaksanakan teknik relaksasi dikalangan mangsa banjir dalam usaha mengurangkan stress berada di pusat pemindahan banjir, saringan kesihatan mental bagi mengenalpasti tahap emosi serta kemurungan di kalangan mangsa yang terlibat dan kakitangan yang bertugas, serta dan rujukan terus kepada kaunselor dan pakar psikiatri.

Di Kelantan dan Pahang khususnya, pasukan respons psikososial ini telah diaktifkan dan dihantar ke semua daerah yang terlibat dengan bencana.

Memandangkan besarnya kawasan dan ramainya mangsa yang terlibat dalam bencana banjir pada kali ini, petugas tambahan pasukan respons psikososial turut dimobilisasikan daripada negeri-negeri yang tidak terlibat secara langsung dengan banjir iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan.

Sehingga 1 Januari 2015, seramai 779 individu (660 mangsa banjir, 119 petugas kesihatan termasuk sukarelawan) telah menerima sokongan psikososial.

Di samping itu juga, sebanyak 267 kaunseling individu dan 333 kaunseling berkelompok telah dilaksanakan.

Selain itu, KKM juga melaksanakan taklimat Psychological First Aid dan Mental Health Preparedness secara berkala kepada semua petugas perubatan yang terlibat dalam misi menangani banjir sebelum petugas-petugas tersebut dimobilisasikan ke kawasan-kawasan yang terlibat. Ini adalah untuk memastikan supaya semua petugas berada dalam tahap kesihatan mental yang optimum untuk melaksanakan tugasan dalam keadaan krisis. - HARAKAHDAILY 4/1/2015

Share on Myspace