JK Operasi Banjir PAS Terengganu ucap terima kasih

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Operasi Banjir Operasi Banjir PAS Terengganu merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih atas segala yang telah disumbangkan sama ada wang ringgit, barangan, tenaga, masa, buah fikiran, peralatan dan sebagainya sehingga kerja amal kemasyarakatan dapat berlangsung dengan lancar dan berjaya kerana Allah.

"Ianya adalah kejayaan semua yang terlibat dan telah melakukan banyak pengorbanan," ujar Pengarah Operasi Banjir PAS negeri, Dr Azman Ibrahim dalam satu kenyataan, sebagaimana di bawah.

Musim tengkujuh di Terengganu telah hampir menutup tirainya. Syukur kepada Allah atas segala kemudahan dan pertolongan-Nya sepanjang kita bersama mengendalikan operasi banjir di semua peringkat parti samada ketika fasa sebelum banjir, semasa banjir dan selepas banjir.

Bagi pihak Jawatankuasa Operasi Banjir, kami merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih atas segala yang telah disumbangkan baik dari segi wang ringgit, barangan, tenaga, masa, buah fikiran, peralatan dan sebagainya sehingga kerja amal kemasyarakatan ini dapat berlangsung dengan lancar dan berjaya kerana Allah.

Ianya adalah kejayaan semua yang terlibat dan telah melakukan banyak pengorbanan.

Kita menyedari bahawa dalam menghadapi musim bencana seperti ini, ramai wira yang tak didendang telah menyumbang bakti yang tak ternilai harganya. Penghargaan khusus untuk semua mereka ini.

Sehingga waktu ini, masih tinggal Bilik Gerakan Banjir Kawasan Dungun yang kekal aktif untuk menyusun dan mengatur gerak kerja pembersihan pasca banjir sementara Bilik Gerakan Banjir Kawasan Kemaman akan ditamatkan operasi menjelang tengah malam ini setelah semua mangsa banjir pulang ke rumah dan kerja-kerja pembersihan pasca banjir disempurnakan.

Pihak Jawatankuasa Operasi Banjir juga merakamkan ucapan penghargaan kepada Badan Perhubungan PAS Terengganu, Unit Amal, Yayasan Amal Malaysia, Papisma, Rakan Khidmat, Kelab 4x4, Radio Amatur, Ameerah, Khairunnisa, PAS Kawasan serta Dewan-Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat yang bersama berganding bahu menggembleng tenaga bagi memberikan khidmat yang terbaik.

Tak dilupakan juga kepada penyumbang-penyumbang dari luar Terengganu seperti Perantau, PAS Wilayah Persekutuan, Perhubungan PAS Johor melalui PAS Kawasan Pasir Gudang, Perhubungan PAS Negeri Selangor serta individu-indidu lain yang turut menghulurkan sumbangan.

Terima kasih juga kepada Jabatan Pengurusan Kecemasan dan Bencana (MEDM) PAS Pusat atas sokongan teknikal dan kewangan.

Akhirnya, sebagai tambahan khidmat pasca banjir, dalam rangka untuk menyantuni keluarga mangsa banjir yang kurang berkemampuan, Lujnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Terengganu bersama Persatuan Perubatan Ibnu Sina (Papisma) telah bersetuju untuk mengagihkan sumbangan uniform sekolah lengkap kepada 1,000 orang pelajar terpilih dari kalangan keluarga terlibat banjir seluruh Terengganu dalam program ‘Back To School’.

Penyelarasan dan pengagihan akan dilakukan segera melalui Lujnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS kawasan-kawasan.

Kepada Allah kita berserah segalanya. - HARAKAHDAILY 5/1/2015

Share on Myspace