Ayuh! Kita pulih dan bangkit semula

MOHD AZMI ABDUL HAMID | .

TIADA siapa yang tidak tersentuh apabila melihat keadaan yang dialami oleh penduduk yang dilanda banjir luar biasa besar terutama di Kelantan kali ini. Kemusnahan dan penderitaan bagai terserlah di mana-mana. Negeri yang digelar Darul Naim itu benar-benar diuji, dari pemimpin negeri sehingga ke rakyat jelata. Bukan tidak pernah negara ini dilanda banjir, akan tetapi kali ini skala keluasan dan kemusnahan kesan daripada musibah banjir berlipat kali ganda daripada biasa.

Negeri Terengganu, Perak dan Pahang juga menerima bahana yang sama walaupun tidak separah Kelantan. Demikian juga tidak tertinggal berlaku juga banjir hampir serentak dengan skala kecil di Selangor , Negeri Sembilan dan Johor.

MUSIBAH LUAR BIASA

Tidak pernah tergambar musibah yang sebegini rupa sejak berdekad lamanya. Bagi mereka yang tidak pernah melihat bencana seperti ini, merasakan seolah qiyamat sudah tiba.

Pemindahan yang melibatkan angka sebesar 270,000 orang di lebih 500 pusat pemindahan belum pernah dialami negara ini. Di Kelantan sahaja, lebih 2,500 rumah kediaman yang dihanyutkan oleh arus yang mengamuk tanpa belas kasihan.

Operasi bantuan oleh agensi kerajaan sendiri pada satu ketika lumpuh sama sekali akibat banjir melanda hampir seluruh negeri Kelantan, kemudian turut melanda Terengganu Pahang dan Perak. Rumah kakitangan dan pejabat agensi turut ditenggelami air sehingga jentera bantuan kerajaan terbantut untuk beberapa waktu.

Tidak ada yang tidak terkesan: rumah kediaman, sekolah, hospital, klinik, bangunan kedai, hotel, stesyen minyak, universiti , balai polis , pasar raya , bank , masjid , surau , dan bangunan pentadbiran kerajaan. Bekalan air dan eletrik terputus hampir disemua kawasan. Jalanraya , rel tren KTM dan jambatan turut ditenggelami sehingga akses ke banyak kawasan terputus .

Pantai Timur nyaris diistihar dharurat.

Ada penduduk yang terputus hubungan kerana terpaksa melarikan diri sehelai sepinggang ke kawasan tinggi bila melihat air naik begitu pantas sehingga mencecah bumbung rumah dan setinggi tingkat ke 3 bangunan sekolah.

"Air naik terlalu cepat, tidak ada yang dapat diselamatkan," keluh seorang mangsa.

"Kami sudah tidak makan 3 hari kerana melarikan diri ke kawasan tinggi," seorang tua berkata ketika bantuan akhirnya sampai.

Kelihatan kereta yang bersepah dihanyut dan dihumban oleh arus deras bergelempangan di serata tempat. Bangunan yang hanya ternampak bumbung sahaja. Malah rumah yang tenggelam seluruhnya,  kawasan perkampungan bertukar menjadi lautan tidak bertepi.

Sungai memuntahkan air deras sejauh 10 km radius disekitarnya. Ada pusat pemindahan dinaiki air dan mangsa terpaksa dipindah ke pusat yang baru.

Gambaran yang dilihat bagaikan gempa bumi, persis tsunami 2004.

SEMANGAT PERSAUDARAAN

Ditengah-tengah kegawatan yang kritikal inilah, rakyat Malaysia menunjukkan nilai keinsanannya yang menyerlah. Sebagaimana mereka bingkas bertindak bila mendengar mala petaka yang melanda di luar negara, kali ini mereka menyatu dalam satu semangat kekitaan, semangat kemanusiaan dan persaudaraan, semangat kenegaraan dan kekeluargaan.

Dengan segera berlaku suatu kebangkitan spontan dari seluruh masyarakat. Di kalangan NGO dari pelbagai bangsa dan agama, dan dari parti politik yang berbagai aliran dan ideologi, semuanya tiba-tiba tidak lagi memikirkan perselisihan dan persengketaan. Yang diutamakan ialah membantu, menyelamatkan dan meringankan penderitaan saudara senegara, senasib seberuntungan.

Kita tahu negara pada ketika itu sedang menyambut ambang tahun 2015 dan telah meninggalkan tahun 2014 yang penuh pengelaman pahit. Kehilangan MH 307 entah di mana dan MH 17 yang menjadi mangsa kepada persengketaan yang tidak ada kena mengena dengan kita.

Tiba-tiba kita dihadapkan pula  banjir berskala besar dan di tengah-tengah itu pula tragedi kejatuhan sebuah lagi pesawat, QZ8501 berjenama syarikat kita, Air Asia, menyentap perasaan seluruh rakyat. Kenapa musibah menimpa negara bertalu-talu?

Malaysia diruntun malang. Musibah bertali arus ini boleh sahaja melemahkan kita semua. Kita boleh memilIh untuk tidak berbuat apa-apa atau menghadapinya dengan tabah di samping menginsafi akan kealpaan yang telah kita lakukan selama ini.

Akan tetapi ternyata ada sahaja sekumpulan anggota masyarakat yang tidak mati hati dan mati rasa. Ternyata rakyat Malaysia tidak mudah dikalah oleh musibah yang besar seperti ini.

Kita kagum melihat betapa rakyat di seluruh negara dengan pantas memberi respon yang luar biasa. Sifat pemurah dan mendahului kepentingan orang lain dari keselesaan diri sendiri menyerlah di kalangan rakyat. Bantuan dengan segera mencurah-curah. Dari badan bukan kerajaan (NG ), yang besar dan kecil, yang lama dan baru, semuanya pantas mengambil inisiatif untuk menghulurkan bantuan. Demikian juga dari usaha komuniti Masjid dan surau, media, persatuan kakitangan kerajaan dan swasta, usahawan, semuanya melancarkan tabung mangsa banjir. Makanan, barangan harian, pakaian, peralatan bertali arus dikumpulkan diratusan pusat pemindahan .

Mengkagumkan lagi melihat ribuan aktivis masyarakat dari pelbagai latarbelakang, yang tua dan muda, professional dan petani biasa, pelajar dan suri rumah, ahli agama dan para pendidik, tidak mengira masa, tenaga dan wang ringgit, menyinsing lengan, menghulurkan sumbangan.

Bagaikan mendapat semboyan kecemasan yang disambut tanpa banyak berbicara. Gambar dan berita dilokasi mangsa banjir yang pantas tersebar melalui you tube, fb, whatapps, emel, telefon yang tidak berhenti-henti. menyebabkan semua tergerak untuk mengusahakan operasi dan misi bantuan ke kawasan bencana banjir.

Malah gerakan rakyat secara individu mahupun berorganisasi ada kalanya lebih pantas dan lebih berkesan dari jentera kerajaan sendiri. Mereka mendatangi kawasan-kawasan yang belum tercapai oleh pihak agensi kerajaan. Kawasan yang belum mendapat bantuan kerana terputus hubungan, banyak yang dapat diakses oleh aktivis masyarakat dari pelbagai organisasi.

Rasa keprihatinan dan rasa belas kasihan kepada mangsa mengatasi kepayahan untuk bergerak ke lokasi. Organisasi masyarakat  mengembleng semua keupayaan dan kemampuan, mengumpul tenaga sukarela, mendapatkan kenderaan 4x4, menyewa bot dan lori, meredah air dari  kampung ke kampung, rumah ke rumah, melalui kawasan yang berisiko.

Meredah arus sungai yang berisiko tinggi dikala banjir memuncak terus tersiar melalui whatapps. Mengkomunikasikan kepada masyarakat bertujuan untuk mendapatkan lagi sumbangan. Media sosial diguna semaksimanya sehingga operasi menjadi viral lebih cepat dari media arus perdana. Rakyat bertindak mengambil inisiatif sendiri tanpa berlengah agar mangsa banjir dapat diselamatkan.

Tidak ada yang merungut untuk meminta bayaran elaun, tiada yang mengeluh kerana tidak mendapat layanan yang baik sebagai sukarelawan. Tiada yang ghairah mencari publisiti. Yang ada cuma keinginan untuk merengankan penderitaan mangsa. Walaupun ada ketika berdepan dengan emosi yang tidak terkawal dikalangan mangsa, semuanya menerima dengan sabar dan tabah walaupun terpaksa meninggalkan keluarga dan mengambil cuti khusus untuk turun ke lapangan mangsa banjir.

BANGKIT SEMULA

Kini setelah banjir mulai reda, air semakin surut, kerja baik pulih, bina semula menjadi fasa yang sangat mencabar. Ada mangsa yang kehilangan segala-galanya. Yang tinggal hanya tapak rumah. Ada yang merenung dan mengelengkan kepala melihat puin-puin serpihan dan saki baki runtuhan rumah kediaman yang tinggal. Tiada yang boleh diguna lagi. Ada yang melihat rumah dan segala alatan yang rosak dan diselimuti lumpur. Tidak terbayang bagaimana harus dimulai untuk meneruskan kehidupan seperti biasa.

Kami membayangkan perasaan mangsa banjir yang sangat berat bila mereka mula kembali ke tempat masing-masing. Seolah harus bermula dari sifar. Membangun dari tiada.

Akan tetapi, kita boleh memilih untuk hanya mengeluh dan saling menuding jari atau bangkit semula. Seperti Hiroshima, Nagasaki dan Acheh. Kita saksikan mereka boleh melakar sejarah tersendiri. Dari hancur lebur kepada tegak megah berdiri semula.

Sewajarnya harus tercetus keinsafan perlunya kita bermuhasabah terhadap kealpaan kita dalam melaksanakan perintah Allah SWT, memperbetulkan jalan kita yang salah dalam mengendalikan urustadbir pembangunan, membangunkan harga diri sebagai warga yang punya keazaman untuk mencorakkan kehidupan ke arah yang lebih murni. Kita harus melempar jauh ego yang sering menyebabkan kita lupa diri. Sindrom sering menafi kesilapan jangan lagi dibiar menjadi penyakit berpanjangan. Kesilapan kita yang ghairah dengan pembangunan yang tidak harmonis dengan alam, lalu kini kita hidup angkuh dan bermusuh dengan alam, perlu segera diperbetulkan.

Semua ini adalah prasyarat untuk kita mencungkil hikmah dari sebuah musibah .

Kita boleh bangkit semula.

Mari kita tunjukkan kepada dunia bahawa kita adalah bangsa yang tabah. Sekaligus kita juga harus membuktikan bahawa kita adalah juga bangsa yang sentiasa berusaha memperbaikki diri sebagai insan yang tahu tanggungjawabnya kepada Penciptanya.

Tidak harus ada yang berpeluk tubuh dan hanya menunggu bantuan. Semua perlu bangkit dengan penuh bermaruah bahawa nasib kita akan berubah hanya sanya bila kita berusaha merubah apa yang ada pada diri kita sendiri.

Ayuh! kita pulih dan bangkit semula. – HARAKAHDAILY 5/1/2015

Share on Myspace