Tanjong Tokong wajar jadi kampung warisan Melayu-Islam

AZIZ MUDA | FOTO NASIR SUDIN | .

TANJONG Tokong adalah di antara kampung yang tertua di Pulau Pinang. Ia turut dikenali sebagai Mukim 18 dan wujud sebelum pengiktirafan Georgetown oleh Queen. Terdapat tapak warisan yang lengkap seperti rumah warisan, masjid tua, tanah perkuburan, Kelab Setia yang dibina sejak tahun 1904, tapak budaya dan peradapan. Di Georgetown terdapat British Colonial, China Town dan Little India sebagai warisan dunia atau world heritage, namun di mana pula kewujudan warisan Melayu di peringkat pengiktirafan dunia di Pulau Pinang yang sepatutnya terdapat di Tanjong Tokong. Inilah yang berlaku ke atas Tanjong Tokong. Inilah juga yang menuntut orang-orang Melayu, penduduk asal di kampung itu terus berjuang untuk membolehkan Tanjong Tokong menjadi kampung warisan Melayu-Islam. Untuk mengetahui perkara ini dengan lebih lanjut, ikuti wawancara eksklusif Harakahdaily bersama Pengerusi Persatuan Penduduk Kampong Tanjong Tokong, Mohd Salleh Yahya.

HARAKAHDAILY: Boleh pihak tuan ceritakan asal usul Tanjong Tokong.

MOHD SALLEH YAHYA: Nama Tanjong Tokong dari segi sifat dan keadaannya adalah sebuah penamaan yang tepat, sesuai dengan bentuk geografinya. Tanjong Tokong bererti tanah mengunjur ke laut yang dipenuhi gugusan batu-batu. Tokong ialah perkataan Melayu lama yang jarang diguna pakai kini. Tokong bukan bermaksud tok kong atau tua pek kong.

Tanjong Tokong adalah sebuah petempatan nelayan Melayu yang asal. Wujud sebelum kedatangan penjajah. Erti tokong berdasarkan Kamus Dewan muka surat 1379: Pertama, pulau-pulau kecil terdiri daripada batu-batu karang. Kedua, jendul. Dalam Kamus Winstedt, tokong bererti "bare rock or atoll". Dalam Kamus Besar Bahasa Melayu muka surat 2084, tokong, pertamanya bererti jendul, tonjol. Kedua, gugusan pulau-pulau kecil. Ketiga, tidak ada ekor (ayam).

Terjemahan yang tepat untuk Tanjong Tokong ialah "Rock Promontory" atau "Rocky Islet". Promontory bererti tanah mengunjur ke laut yang agak menajam di hujungnya. Amat tersasar jika diterjemahkannya sebagai "Cape of the Temple" yang bererti Tanjong Berhala. Cape meliputi kawasan yang luas dan bukannya sebagaimana tanjong iaitu tanah mengunjur ke laut yang menyempit di hujungnya.

Biasanya bersebelahan dengan tanjong terdapat teluk. Kebetulan dekat dengan Tanjong Tokong terdapat Teluk Tikus. Terjemahan Tanjong Tokong sebagai "Cape of the Temple" sangat asing dan menyimpang daripada budaya dan makna Melayu. Inilah Tanjong Tokong, tanjung yang dipenuhi gugusan batu-batu tongkol.

Bagaimana gambaran Tanjong Tokong dari segi sejarah.

Tanjong Tokong adalah sebuah petempatan nelayan tradisi yang termasyhur di Malaya sebelum Perang Dunia Kedua. Namanya tercatat dalam buku Malaysia In Pictoral History 1400-2004 muka surat 149 yang menyatakan di sesetengah pelosok negeri ini orang Melayu tinggal di kampung-kampung nelayan. Mereka membina rumah dengan menggunakan pancangan-pancangan kayu di atas air di kawasan dekat gigi-gigi air. Ini sebagaimana pemandangan di Tanjong Tokong pada tahun 1906 hasil rakaman Charles Kleingrothers.

Adakah catatan sejarah lain mengenai Tanjong Tokong?

Pada tahun 1921, Ismail Haji Abdullah Omar Affendi, seorang Mandailing dari Dutch Indies telah melawat Pulau Pinang. Beliau sangat kagum dengan George Town dan sangat sedih dengan keadaan di Tanjong Tokong. Beliau menyatakan: Kalau kamu hendak ke kampung Melayu yang tidak ada seorang pun bangsa asing, pergilah ke arah Tanjong Bunga. Bermula dari Bagan Jermal selepasnya itulah Tanjong Tokong. Tempat itu terletak di atas tanah yang becak. Keadaan rumah-rumahnya sangat daif. Dindingnya terbuat daripada atap nipah dan tiang-tiang daripada kayu. Mereka yang tinggal di situ amat miskin. Penghidupannya bergantung pada kerja-kerja di laut.

Boleh pihak tuan jelaskan lagi mengenai gambaran awal Tanjong Tokong dari sudut sejarah.

Kampung Tanjong Tokong adalah sebuah mukim yang luas dikenali sebagai Mukim 18. Mukim ini telah wujud sebelum George Town menerima taraf bandar raya pada tahun 1839. Di kampung ini terdapat 2 buah masjid dan sebuah madrasah, sebuah kelab Melayu antara yang tertua di Pulau Pinang (1911), sebuah balai polis yang pertama dibina di luar George Town, sebuah sekolah Melayu (1890), klinik bidan dan kesihatan antara yang terawal di Pulau Pinang.

Apa yang berlaku ke atas Tanjong Tokong sekarang?

Sebagai kampung Melayu, Tanjong Tokong sepatutnya terus berkembang sesuai dengan kedudukannya sebagai kampung warisan Melayu. Namun perkembangan yang berlaku tidak sedemikian, tidak seperti yang diharapkan itu.

Sebaliknya, pada tahun 1970 apabila kerajaan melancarkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan membawa kepada penubuhan Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) pada tahun 1971, UDA didapati gagal memainkan peranannya dengan baik bagi membangunkan Tanjong Tokong seperti yang sepatutnya.

Tanjong Tokong mempunyai keluasan 48 ekar. Untuk membolehkan UDA memajukan tanah-tanah di kampung Tanjong Tokong, ia telah dijual oleh kerajaan negeri yang ketika itu berada di bawah Barisan Nasional kepada UDA dengan harga yang hanya memenuhi syarat jualannya sahaja iaitu dengan nilaian RM1.    

Dari segi nilaian jualannya itu tak ada apa-apa masalah kerana ia hanyalah untuk memenuhi syarat jualan sahaja bagi membolehkan UDA melaksanakan peranannya ke atas Tanjong Tokong. Namun yang menyedihkan, UDA telah menyeleweng dari segi peranannya dalam hal ini.  

Penubuhan UDA adalah untuk membangunkan tanah-tanah Melayu di seluruh negara yang antara lain supaya orang-orang Melayu terus kekal tinggal di bandar-bandar dan di bandar-bandar besar bersama kaum-kaum lain di seluruh negara termasuk di Tanjong Tokong, tetapi apa yang berlaku di sebaliknya.

Setelah UDA menguasainya, beberapa pembangunan telah dijalankan sehingga tanah di Tanjong Tokong yang masih berbaki atau yang belum dibangunkan sekarang hanyalah sebanyak 22 ekar sahaja. Dalam masa yang sama, ramai penduduk asal Tanjong Tokong telah dihalau keluar. Pembangunan yang dijalankan oleh UDA itu adalah pembangunan fizikal seperti pembinaan flat dan tidak memberikan sebarang kesan bagi pemuliharaan Tanjong Tokong sebagai kampung warisan Melayu-Islam.  

Pembinaan flat-flat itu dilakukan mengikut beberapa fasal. Fasal pertama, pembinaan flat 4 tingkat sebanyak 99 unit rumah. Fasal kedua, pembinaan flat 16 tingkat bagi 366 unit rumah. Fasal keempat, pembinaan flat 5 tingkat bagi 220 unit rumah. Sekarang, UDA sedang melakukan pembangunan bagi fasal keempat pula dan rumah-rumah yang dibina itu adalah bagi pasaran terbuka iaitu akan dijual kepada umum.    

Ini bermaksud tindakan UDA itu tidak memuaskan hati penduduk Tanjong Tokong dan lari dari termanya?

Tindakan UDA itu sememang tidak memuaskan hati penduduk asal Tanjong Tokong dan memang lari dari termanya. Syarat nyata pemberian tanah khususnya di Tanjong Tokong oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang kepada UDA seperti yang terdapat dalam surat berkenaan, dinyatakan tanah itu diberi secara pajakan kepada UDA bagi pembangunan semula Tanjong Tokong.

Tindakan UDA membeli tanah itu pula adalah atas arahan Kerajaan Pusat. Pembangunan semula yang dimaksudkan itu pula adalah ke arah mengekalkan atau menjadikan Tanjong Tokong sebagai kampung warisan Melayu, tetapi tindakan yang dilakukan oleh UDA itu ke arah penghapusannya. Ini pasti tidak memuaskan hati penduduk asal di Tanjong Tokong.

Kini penduduk asal Tanjong Tokong seramai 6,000 orang. 300 orang daripada mereka menjadi ahli Persatuan Kampong Tradisi Tanjong Tokong yang dipimpin oleh kami setelah persatuan kami ini ditubuhkan pada tahun 1981. Persatuan kami ini ditubuhkan secara sah dan berdaftar. Tindakan UDA itu pasti akan kami tentang sehingga matlamat menjadikan Tanjong Tokong sebagai kampung warisan Melayu tercapai.

Ertinya, kini telah ada satu perjuangan dalam hal ini. Jadi, apakah tindakan yang telah dilakukan oleh pihak persatuan atau penduduk Tanjong Tokong?

Antara tindakan yang telah kami lakukan termasuklah menghantar memorandum kepada Perdana Menteri, kepada Ketua Menteri Pulau Pinang dan kepada Pengarah Tanah dan Galian Pulau Pinang bertarikh 14 Disember 1983.

Hasilnya, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Pulau Pinang yang terletak di tingkat 21-22, Komtar telah mengutus surat, bil: (44) dlm. PTG/PM/DTL/76 kepada Setiausaha Sulit Kepada Ketua Menteri Pulau Pinang atas perkara Memorandum Dari Penduduk-Penduduk Tanjong Tokong.

Surat tersebut bertarikh 13 Januari 1984 yang ditandatangi Pengarah Tanah dan Galian, Pulau Pinang, Zainal Karib Abd Rahim yang merujuk kepada memorandum yang telah dihantar oleh kami itu kepada mereka.

Pada perkara kedua di dalam surat itu disebutkan, sebagaimana yang tuan maklum, tanah berkenaan telahpun diberi milik kepada pihak UDA dengan syat khas iaitu "The land hereby alienated shall be used solely for the rehabilitation, reconstruction and renewal of Tanjong Tokong Village".

Di dalam surat itu turut dinyatakan pada 2 Julai 1974 lalu, hakmilik-hakmilik kekal telah pun dikeluarkan seperti nombor pajakan (hakmilik) 258 bagi nombor lot 253, nombor 259 bagi nombor lot 339, nombor 260 bagi nombor lot 340, nombor 261 bagi nombor lot 341, nombor 262 bagi nombor lot 859 dan nombor 263 bagi nombor lot 860 yang terletak di Bandar Tanjong Tokong.  

Pada perkara ketiga di dalam surat itu dinyatakan, semenjak tarikh tersebut tidak ada Lesen Tumpangan Sementara yang dikeluarkan kepada penduduk-penduduk di situ. Oleh itu pihak UDA adalah pihak yang wajar untuk meneliti segala syor dan perkara yang ditimbulkan di dalam memorandum tersebut.

Sehingga kini, apakah cabaran yang telah dihadapi oleh pihak persatuan dan penduduk dalam perjuangan ini.

Kami yang masih tinggal di Tanjong Tokong, di atas tanah yang sudah menjadi warisan sejak sudah 200 tahun lalu, dianggap oleh UDA dengan anggapan yang amat menyakitkan hati. Kami penduduk asal Tanjong Tokong ini kini masih dilihat oleh UDA sebagai setinggan. Kami tidak akan berdiam diri dengan tindakan tidak bertanggungjawab yang dilakukan oleh UDA itu.

Antara cabaran yang telah saya hadapi, UDA telah saman kami yang seramai 12 orang kerana tidak mahu keluar dari Tanjong Tokong, walaupun kami berdiri atas nama penduduk asal kampung kami itu. Di manakah logiknya jika UDA menuduh kami setinggan, sehingga kami dianggap sebagai penceroboh ke atas tanah di kampung asal kami sendiri dan enggan keluar daripada kampung kesayangan kami ini?   

Mereka yang disaman itu, antara lain termasuklah saya sendiri yang tinggal di 282-H, Sini Ibramsah Aziz yang tinggal di 281-E, Abdul Wahab Sini Ibramsah yang tinggal di 282-L, Che Gayah Mohd Yusuf yang tinggal di 283-B, Rajali Abdul Aziz yang tinggal di 214-B dan Mahmud Yusuf yang tinggal di 214-E. Kesemua mereka ini adalah mereka yang berhak ke atas rumah warisan yang terletak di Zon B.

Dalam rundingan bersama dengan Uda Holding Berhad dan Persatuan Penduduk Kampong Tanjong Tokong, Pulau Pinang pada 20 November 2014 lalu yang turut melibatkan Pengerusi Uda Holding, Dato' Johari Abdul Ghani, pihak Uda Holding telah menarik balik label setinggan ke atas kami. Penarikan balik label itu telah dilakukan oleh Dato' Johari Abdul Ghani sendiri.   

Boleh pihak tuan terangkan, apakah perancangan di Zon B.

Dalam perjuangan kami, kami telah mengadakan beberapa pertemuan dengan pihak UDA. Dalam pertemuan itu, kami mohon daripada 22 ekar tanah di Tanjong Tokong yang masih berbaki itu, 4 ekar daripadanya diperuntukkan sebagai Zon Warisan Melayu Pulau Pinang yang terletak di dalam Zon Pembangunan UDA 4B seperti yang ditawarkan oleh Pengerusi UDA, Dato' Johari Abdul Ghani di bawah Special Approve Plan (SAP).

Tanah keluasan 4 ekar yang diperuntukkan kepada Kampong Warisan Melayu Tanjong Tokong yang tersusun di kawasan Zon 4B itu seperti yang ditawarkan oleh pihak UDA kepada kami dalam rundingan pada 20 Oktober 2014.

Bagaimana sikap dan tindakan kerajaan Pulau Pinang di bawah Pakatan Rakyat sekarang dalam isu ini.  

Pada 3 November 2012, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng telah mengumumkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Pulau Pinang bahawa Tanjong Tokong adalah Kampung Warisan Melayu-Islam. Pengumuman oleh Ketua Menteri Pulau Pinang itu pasti akan membantu usaha kami. Ia sudah menjadi satu pengisytiharan. Jadi, pengumuman Ketua Menteri Pulau Pinang itu sepatutnya akan disambut dengan tindakan yang sewajarnya oleh pihak UDA.

Lagi laporan mengenai isu Kampung Tanjong Tokong dalam akhbar Harakah Bil 2010 di pasaran sekarang. - HARAKAHDAILY 5/1/2015

Share on Myspace