Rumah ad-dhu’afak untuk mangsa banjir

MUHAMMAD YUSRI AMIN | .

KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata tidak perlu menuding jari kepada sesiapa ekoran banjir besar yang melanda negeri itu, sebaliknya hendaklah menggemblengkan tenaga memulihkan semula kekuatan rakyat khususnya mangsa banjir.  

"Kita terima musibah yang berlaku ini sebagai ujian dari Allah swt, dan kita bangkit semula dengan semangat baru, dengan menyemarakkan sifat tolong menolong dan bantu membantu tanpa mengira kaum dan agama,” ujar beliau pada sidang media selepas merasmikan Gotong Royong Perdana Pasca Banjir di sini pagi tadi.

Gotong royong dihadiri pelbagai kaum dan agama itu turut disertai ahli-ahli pertubuhan sukarela, kakitangan syarikat swasta badan NGO serta pelajar sekolah tahfiz, warga bandar Kota Bharu Bharu dan para peniaga.

Mengenai rumah dan tempat tinggal rakyat musnah akibat banjir, Ahmad berkata kerajaan negeri mengambil langkah awal dengan mengenal pasti tempat, bangunan komersial atau kuaters kerajaan yang tidak digunakan, yang boleh disewakan bagi menempatkan mangsa banjir yang kediamannya musnah.

“Kita juga membuka peluang seluasnya kepada mana-mana usahawan, korporat dan jutawan yanag mahu membantu anak-anak mangsa banjir sama ada berupa pakaian, beg, kasut dan lain-lain peralatan persekolahan,” ujarnya.

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri berusaha sedaya upaya  menyediakan tempat tinggal sementara kepada rakyat khususnya di Gua Musang, Kuala Krai dan Tanah Merah.

“Untuk jangka panjang, insya Allah, akan dibina rumah bertaraf  ‘rumah ad-dhu’afak' yang mempunyai tiga bilik," katanya lagi. - HARAKAHDAILY 5/1/2015

Share on Myspace