KD Kasturi temui tiga mayat pesawat AirAsia Indonesia

BERNAMA | .

KUALA LUMPUR: Kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Kasturi (KAS), menemui tiga lagi mayat terapung di Laut Jawa ketika menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang memasuki hari kesembilan hari ini.
    
Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar menerusi akaun Twitternya hari ini berkata, mayat itu terdiri daripada seorang wanita manakala dua lagi belum diketahui identitinya.
    
"KAS menjumpai satu lagi jasad pada 11.30 pagi di Sektor IV. Jasad itu dan dua lagi yang ditemui pada 051000H (10 pagi hari ini) tadi telah dinaikkan. Ia seorang wanita, dua lagi tidak diketahui," katanya.
    
Dengan penemuan itu, menjadikan keseluruhan tujuh mayat mangsa pesawat berkenaan berjaya ditemui pasukan SAR TLDM yang menyertai misi SAR QZ8501 di perairan Laut Jawa sejak Isnin minggu lepas.
    
Abdul Aziz berkata KAS menggantikan KD Lekir yang menamatkan operasinya pada misi itu dan telah kembali ke Malaysia.    
    
Pada Rabu lepas, KD Lekir menemui satu mayat terapung di kawasan pencarian Sektor I di Laut Jawa manakala pada sebelah petangnya, KD Pahang pula menemui tiga mayat di Sektor IV.
    
Selain tiga kapal TLDM iaitu KD Pahang, KD Lekir dan KD Lekiu yang dilengkapi helikopter jenis Fennec, Malaysia juga menghantar pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) iaitu C-130, CN235 dan Beechcraft, untuk menyertai operasi mencari pesawat malang berkenaan.
    
Pesawat Airbus A320-200 bersama 162 penumpang dan anak kapal itu berlepas dari Surabaya pada 5.35 pagi Ahad dan dijadual tiba di Singapura pada 8.20 pagi hari yang sama.
    
Ia terputus hubungan dengan menara kawalan udara Indonesia pada 7.24 pagi.
    
Penumpang pesawat itu terdiri daripada warga Indonesia seramai 149 orang, Korea Selatan (tiga), Singapura, Malaysia dan United Kingdom (masing-masing seorang).
    
Pesawat dikendalikan dua juruterbang dan lima petugas kabin. - Bernama

Share on Myspace