Potong dahulu gaji PM, menteri bantu mangsa banjir

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Sebelum Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan agar setiap penjawat awam memotong gaji membantu mangsa banjir, sepatutnya terlebih dahulu mencadangkan agar Perdana Menteri dan menteri kabinet turut berbuat demikian.

Pengerusi Lajnah Pekerja dan Peneroka Bandar (LPPB) PAS Pusat, Anuar Tahir berkata, pemotongan gaji pada kadar yang munasabah di kalangan mereka bergaji besar dialu-alukan sebagai menyatakan solidariti kepada mangsa banjir.

"Bagi cadangan dulu agar Perdana Menteri, Timbalan, dan menteri kabinet dipotong gaji mereka barulah Cuepacs bincang dengan ahli mereka untuk mendapat persetujuan.

"Hendak potong senang-senang tidak semua bergaji besar tetapi pemimpin negara, kenalah," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Katanya, Cuepacs tidak boleh sewenang-wenangnya bertindak memotong gaji penjawat awam apatah lagi dalam keadaan ekonomi dan harga barang  sekarang ini tidak menentu.

Bagaimanapun katanya, Cuepacs boleh mensasarkan kepada penjawat awam di peringkat Jusa ataupun di kalangan Exco kerajaan dan Senator terlebih dahulu.

"Menjadi seorang pemimpin perlu menanggung penderitaan, dahulukan orang bawah. Penjawat awam di peringkat bawahan tidak usahlah bebankan mereka melainkan mereka dengan rela hati untuk membantu," katanya.

Beliau bekata demikian bagi memberi respons kepada kenyataan Presiden Cuepacs, Datuk Azih Muda yang mencadangkan kepada kerajaan agar setiap penjawat awam menyumbang melalui potongan gaji bulanan untuk membantu mangsa di negeri yang dilanda banjir.

Katanya, cadangan itu akan dikemukakan kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dalam tempoh terdekat supaya penjawat awam boleh menyumbang pada kadar yang munasabah.

Cuepacs berharap potongan gaji itu dapat dilakukan pada bulan ini memandangkan kaedah itu adalah mekanisme terbaik dalam mengumpul dana bagi meringankan beban mangsa banjir. - HARAKAHDAILY 6/1/2015

Share on Myspace