Tahniah buat semua, anda wira rakyat - Nasrudin

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Nasrudin Hassan mewakili seluruh warga Temerloh mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di kawasan parlimen itu.

"Sangat besar jasa anda semua untuk kami balas," ujarnya selaku Ahli Parlimen Temerloh menerusi facebook.

Katanya, tidak kira siapa sama ada kerajaan dengan seluruh agensinya seperti polis, bomba, askar dan lainnya, NGO seperti Muslim Care, Geng Ustaz, Persatuan Anak Minang, Papisma dan lain-lainnya, individu, korporat dan parti politik, hanya Allah swt layak membalas segalanya.

"Maaf saya tidak senarai satu persatu kerana terlalu banyak penyumbang. Sekadar menyebut contoh" ujarnya.

Tambah beliau lag, pihaknya dari PAS Kawasan Temerloh dan Sekretariat Parlimen Temerloh sehabis daya telah mengagihkan semua bantuan dan sumbangan yang disalurkan melalui Bilik Operasi Kami di Surau Khairiah Seberang Temerloh.

"Kami telah mengerahkan seluruh upaya tenaga dan kewangan kami yang terhad dan terbatas untuk berbakti kepada mereka yang memerlukan.

Kami juga memohon maaf atas apa jua kelemahan kami termasuk kekurangan peralatan dan kelengkapan dalam mengendalikan operasi membantu, menyelamat dan menghantar bekalan kepada mangsa banjir.

"Apa yang pasti, kami tidak akan mengabaikan siapa sahaja yang memerlukan. Tidak mampu beri banyak, kami akan berikan jua walau sedikit tanda kebersamaan kami dengan kesukaran yang dialami oleh mangsa," ujarnya.

Akhirnya, beliau berharap agar semua pihak bersabar atas ujian Allah swt ini, redha di atas ketentuan Allah swt yang pastinya menyimpan 1001 hikmah yang perlu ditekuni dan dihayati.

"Semoga kita semua beroleh rahmat dan berkat-Nya di dunia dan di akhirat kelak," ujarnya. - HARAKAHDAILY 6/1/2015

Share on Myspace