Banjir: Pemuda PAS kemuka idea 'rumah budiman'

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia mengetengahkan idea Projek Perumahan Rakyat Budiman (PRB) dalam usaha melaksanakan 10 peratus daripada keseluruhan rumah yang musnah dalam banjir 2014.

Ketuanya, Suhaizan Kayat berkata, ia datang daripada usaha pelbagai pihak seperti parti politik, NGO dan individu yang berhati budiman membantu mereka yang kurang berkeupayaan di Kuala Krai, Gua Musang dan Tanah Merah.

Menurut beliau, dengan usaha daripada kumpulan rakyat budiman itu akan mewujudkan jaringan persaudaraan baru pasca banjir antara rakyat di Kelantan dan di luar Kelantan.

Beliau mengambil contoh sebuah keluarga besar Haji Saadon di Johor Bahru mahu mengusahakan 2 unit rumah ibu tunggal, Mak Cik Besah dan Abang Li di Manek Urai.

"Setelah projek siap ia akan mewujudkan persaudaraan baru pasca banjir. Inilah idea yang mahu diketengahkan oleh Pemuda PAS," ujarnya menerusi facebook.

Katanya lagi, inisatif rakyat budiman di bawah pengawasan Kerajaan Negeri Kelantan.

Baginya, cabaran pemulihan pasca banjir bukanlah terletak di bahu kerajaan negeri sahaja tetapi juga kepada jentera PAS seluruh negara.

Ini, katanya kerana negeri itu telah diberi mandat oleh rakyat untuk ditadbir oleh PAS.

"Pemuda PAS perlu merasakan ia sebuah tanggungjawab besar yang diamanahkan Allah kepada kita semua untuk menggalasnya," ujar Suhaizan.

Beliau berkata, sebagai parti Islam yang mendukung konsep kebajikan rakyat selaras tuntutan Islam, marilah sama-sama kita tanamkan azam agar segala kesusahan yang menimpa ini akan berkurang dalam tempoh sesegera mungkin.

Teruskan khidmat bakti untuk mangsa-mangsa banjir kerana Allah, katanya.

Untuk sumbangan kepada Tabung Kemanusiaan Pemuda boleh disalurkan melalui Maybank 5640 2540 0100. - HARAKAHDAILY 6/1/2015

Share on Myspace