Gabungan NGO turut bantu mangsa banjir Kelantan

MUHAMMAD YUSRI AMIN | .

KOTA BHARU: Gabungan Bantuan Banjir NGO (BBNGO) menyeru agar diselesaikan segera isu air bersih berbangkit akibat banjir yang melanda Kelantan minggu lalu membabitkan mangsa banjir.
 
Ia merupakan isu amat besar dan tidak boleh diselesaikan kecuali dengan kerjasama pro aktif pihak Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dengan telus, bahkan isu penempatan sementara juga hendaklah diselesaikan segera dan terancang.

“Kami menyeru supaya semua pihak tidak mengambil kesempatan daripada keadaan ini untuk memaksa mangsa banjir agar berpihak kepada fahaman politik tertentu atau pihak pemimpin tertentu sebagai syarat diberi bantuan.

“Bahkan kami memohon dan mencadangkan supaya diberikan bantuan kewangan secara tunai dengan anggaran antara RM2,000 hingga RM5,000 kepada sesebuah keluarga khususnya mangsa banjir yang paling teruk,” kata Timbalan Pengerusi BBNGO Dr Abdul Halim Yusoff.

Dalam satu kenyataan media terbaru diedarkan kepada media, BBNGO menyeru badan korporat khususnya supaya mengadakan program sistem anak angkat pada penempatan yang terjejas dengan musibah banjir itu.

BBNGO merupakan gabungan kerja daripada 15 pertubuhan NGO yang berdaftar.
 
Mereka terdiri daripada pertubuhan Haluan, Imaret, Ikram Health, Papisma, Ibantu, DPPMM Kelantan, Kelab Doktor Pakar Kelantan.

Ekspedisi Kelantan, Gabungan NGO Kelantan, Institusi Jurutera Malaysia cawangan Kelantan, Royalti, Mercy,  Ikram, MACMA dan YOKUK.

Gabungan tersebut mendapat sokongan padu daripada Old Boys of RMC (Putera), Old Boys of SDAR (Sdara), Old Boys of Sek Men Ahmad Maher, Persatuan Bekas Pelajar SMS Faris Petra, Old Boys of MCKK (MCOBA) dan sukarelawan tempatan.

BBNGO merupakan gabungan penyelarasan kerja gerakan bantuan banjir, yang ditubuhkan sejak 11 hari lepas bertujuan untuk mengoptimumkan kerja operasi bantuan banjir dengan mengelakkan pertindihan kerja yang terhasil apabila NGO bekerja secara bersendirian.
 
BBNGO terdiri daripada pelbagai latar belakang dan kebanyakannya daripada mereka yang mempunyai kaitan dengan profession perubatan dan mempunyai sokongan sukarelawan lebih daripada 500 orang.
 
Gabungan tersebuti mendapat sokongan daripada Universiti Sains Malaysia melalui Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) USM.
 
Mendapat sokongan Kompeni 12 Ubat yang memberi ruang untuk beroperasi.
 
“Dua fungsi utama ‘pusat bantuan banjir’  ini ialah kerja relief dan rawatan perubatan.
 
“Kami juga amat berterima kasih kepada Jabatan Kesihatan Negeri yang menghantar wakil mereka untuk memudahkan kerja relief dan perubatan,” ujar Dr Halim.
 
Untuk rekod, pusat operasi bantuan banjir itu sehingga kini menerima pelawat antaranya Menteri Kesihatan Datuk Sri Dr. S Subramaniam, Menteri Pendidikan Datuk Sri Idris bin Jusoh dan Datuk Mustapa Mohamad (MITI).
 
“Kami telah melakukan misi bantuan banjir merangkumi Jajahan Pasir Mas, Tumpat, Tanah Merah, Kuala Krai dan Gua Musang selain Kota Bharu.
 
“Purata misi yang keluar pada setiap hari adalah antara lapan hingga 10 misi, bahkan ada kalanya hingga 22 misi dalam sehari, dengan jumlah 50 hingga 100 sukarelawan hadir pada setiap hari, yang terdiri dari kalangan doktor.
 
“Kami membantu mangsa banjir, dengan purata 50 tan bahan makanan kering di samping ubat-ubatan setiap hari.
 
“BBNGO amat berterima kasih kepada penyumbang/dermawan termasuk persatuan seperti SDARA, dan OBA RMC yang telah memberi perkhidmatan helikopter.
 
“Sukarelawan kami datang daripada seluruh negara dan sebahagian besar mereka mengambil cuti kerja,” ujar Dr Halim.

Menurut Timbalan Pengerusi BBNGO itu, pada pengamatan BBNGO bahawa kini masih banyak tempat dan mangsa banjir yang perlu dibantu terutama dalam perkara asas seperti air bersih dan eletrik yang masih berlanjutan hingga kini.

“Kami mohon kepada pihak yang bertanggungjawab dan masyarakat amnya supaya menyedari masalah utama ini yang dihadapi oleh mangsa-mangsa banjir khususnya di tempat-tempat seperti Dabong, Kemubu, Tanah Merah dan Kuala Krai,” ujarnya.

Selain bekalan eletrik dan air bersih, mangsa banjir itu menghadapi masalah lumpur yang tebal, memerlukan kerja pembersihan selain kehilangan tempat tinggal.

Mereka terdedah kepada pelbagai penyakit bawaan air seperti leptospirosis , typhoid, dan kolera dan bawaan vector seperti denggi dan malaria.    
   
Dr Abdul Halim mendakwa, kebanyakan mangsa banjir itu terdiri daripada golongan miskin selain tidak mempunyai simpanan wang yang cukup, bahkan ada yang kehilangan kerja.

“Kami dapati pengagihan makanan dan sumbangan tidak dibuat sebaiknya kerana ada tempat-tempat menerima dengan banyak sumbangan dan ada tempat-tempat yang belum mendapat bantuan sedikitpun. ini adalah kerana pengurusan yang tidak efisyen,” ujar Dr Halim. – HARAKAHDAILY 6/1/2014

Share on Myspace