Beri kebenaran berpakaian biasa ke sekolah

NASRUDIN HASSAN | .

1. Memahami kesukaran yang dihadapi oleh ibu bapa dan pelajar yang menjadi mangsa banjir tempohari, saya sarankan supaya kelonggaran yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri semalam diwartakan secara rasmi oleh pihak Kementerian Pelajaran bagi membenarkan mereka memakai pakaian biasa ke sekolah sekurang-kurangnya untuk sebulan pertama persekolahan sebagai satu kelonggaran bertempoh kepada mereka.

2. Kesukaran ini ditafsirkan kerana faktor mangsa banjir yang terpaksa bertungkus lumus dan memerlukan masa untuk memulakan kehidupan baru dengan membaiki kerosakan struktur kediaman mereka, mengurus dokumen penting yang musnah dan mengumpul semula kewangan keluarga setelah segalanya rosak sewaktu banjir melanda.

3. Sementelah pula, kedai atau pasar raya yang membekalkan peralatan sekolah dan kemudahan lainnya turut tenggelam dalam banjir besar yang melanda tempohari. Saya difahamkan, pihak mereka juga perlukan masa untuk membaik pulih kedai mereka dan memulakan perniagaan seperti biasa.

4. Pihak kami dan juga para sukarelawan sedia meringankan beban dengan membantu bekalkan sebahagian peralatan sekolah kepada keluarga yang miskin dan berkeupayaan rendah, tetapi pakaian yang mempunyai saiz tersendiri ini sukar untuk dibekalkan secara umum, melainkan mereka terpaksa terlebih dahulu mengambil tempahan saiz yang sesuai bagi penerima.

5. Justeru itu saya mencadangkan supaya kelonggaran tersebut juga diberikan tempoh paling minima ialah sebulan pertama persekolahan ini kepada pelajar yang mengalami musibah banjir tersebut. Sekaligus memberi keselesaan kepada mereka untuk pulih daripada tekanan emosi dan kesulitan hidup pasca banjir. – HARAKAHDAILY 6/1/2014

Share on Myspace