Banjir: Tanggungjawab kerajaan, parti politik & rakyat

DR RAJA AHMAD ISKANDAR | .

 SELEPAS selesai program ‘Mewarna Perpaduan’ yang melibat kanak-kanak pelbagai bangsa anjuran Lajnah Perpaduan Nasional Pemuda PAS Perak yang dipimpin oleh Hairul Nizam Ishak telah disusun awal sebelum ini diadakan di Parit Buntar telah dijalankan dengan jayanya dan mendapat sambutan ramai, selain itu turut membuka kaunter tabung bencana banjir di situ.
 
Kebetulan cuti umum Tahun Baru, saya terus bergegas ke Pusat Operasi Banjir (POB) PAS Perak di Bagan Serai untuk meninjau sendiri keadaan bencana banjir di sana ditambah keadaan yang sama turut berlaku di Kuala Kangsar menyebabkan pergerakan saya terbatas, di sana saya berjumpa dengan Yang Berhormat Hussin Din, Timbalan Yang DiPertua PAS Kawasan.
 
Mendapat taklimat ringkas daripada beliau yang juga Adun Kawasan Selinsing tentang keadaan terkini di sana yang dan juga dilaporkan telah berlaku puting beliung, saya bersimpati dengan kejadian tersebut dan sebagai sebuah Parti Politik akan berusaha keras membantu rakyat yang ditimpa kesusahan dan bencana yang cukup memberikan kesan kepada kehidupan harian mereka.
 
Kawasan jelapang padi di Daerah Kerian ini dan dalam masa yang sama meliputi Kawasan Koridor Utara (NCER) perlu diberikan tumpuan khusus oleh pihak Kerajaan Negeri Perak dan Kerajaan Persekutuan kerana ia sebagai satu pelaburan besar sebelum ini yang dilancarkan sebagai salah satu Pusat Makanan Negara yang memfokuskan tanaman padi khasnya.
 
Sudah tentu ia akan terjejas setelah berlakunya banjir yang akan mengakibatkan kerosakan tanaman padi dan juga tidak terlepas pengusaha padi iaitu kediaman mereka terkena bencana banjir, usaha pembinaan tebatan banjir perlu diagendakan selepas ini oleh Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) dan Majlis Daerah Kerian (MDK) untuk diberikan fokus utama.
 
Dengan usaha ini, diharapkan bencana banjir di Daerah Kerian ini dimaksimakan dan diatasi sebaiknya, serta seperkara lagi adalah tentang kawasan perindustrian ternakan Ikan Arowana yang perlu dinilai semula kerana ia melibatkan kawasan tanaman padi yang digunakan bagi tujuan perindustrian ternakan terutamanya di sebahagian di Bukit Merah.
 
Saya harapkan Kerajaan Negeri Perak meneliti Laporan Ketua Audit Negara yang pernah membentangkan laporan perindustrian ternakan Ikan Arowana yang melibatkan status tanah daripada kawasan pertanian kepada industri perikanan walaupun ia berkaitan isu status nilai tanah tetapi dalam masa yang sama menunjukkan kedudukan peralihan status yang sedia ada.
 
Bagi saya, penduduk mengharapkan pembelaan dan dalam masa yang sama turut membantu pertumbuhan sumber yang difokuskan oleh NCER selama ini dan ia seiring diantara semua pihak yang terlibat terutamanya peranan yang dimainkan oleh Kerajaan Negeri Perak yang melibatkan pertanian, perikanan dan juga status tanah serta masa depan NCER di sana.
 
Setelah lebih sejam di sana, saya terus bergegas pula ke POB PAS Perak di Pasir Salak dan sebelum itu singgah di tempat kejadian kanak-kanak yang dilaporkan terlibat dihanjutkan air berhampiran Kampung Gajah yang masih belum dijumpai lagi, bersama Bendahari Pemuda PAS Malaysia Haji Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berdoa  agar dipermudahkan usaha mencari di situ.
 
Saya dan beberapa sahabat selepas itu terus ke POB untuk membantu menurunkan barangan bantuan yang baru sampai yang diberikan oleh orang ramai di sana, banyak barangan keperluan yang diberikan untuk kemudahan mangsa banjir yang sangat memerlukan untuk mereka dan ahli keluarga mereka berikutan hampir lebih dua minggu berdepan dengan banjir.
 
Di Kampung Gajah saya lihat, air masih belum surut sepenuhnya dan masih memerlukan bantuan bekalan makanan untuk keluarga mereka kerana masih tinggal di kediaman terutamanya rumah dua lapis yang tidak terjejas teruk dan masih boleh berteduh di atasnya dan ini antara fungsi ‘Dapur Rakyat’ di POB PAS Perak iaitu membekalkan makanan kepada mangsa.
 
Kampung Gajah adalah sebuah DUN yang pernah diwakili oleh mantan Menteri Besar Negeri Perak iaitu Tan Sri Datuk Seri Diraja Ramli Ngah Talib, saya lihat banyak pembangunan yang dilakukan di sana dengan istilah lain ‘ini kawasan MB’ sudah tentu banyak projek-projek akan disalurkan di sana ketika itu terutamanya juga beberapa cawangan agensi kerajaan yang ada.
 
Melihat dengan suasana yang ada di situ, pihak Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Perak perlu menilai semula terutamanya Pejabat-pejabat Kerajaan di situ setelah bencana banjir berlaku berikutan kerosakan yang mengakibatkan kos membaiki aset yang ada perlu akan meningkat tinggi, ini kerana kejadian seumpamanya bila-bila masa akan berulang kembali.
 
Bentuk nilai semula yang saya maksudkan, keperluan Pejabat-pejabat cawangan agensi kerajaan yang berada di situ perlu distruktur semula atau berpindah bagi mengelak risiko berulangnya kembali seperti bencana banjir baru-baru ini, perpindahan perlu kepada kawasan yang berstrategik dan lebih tinggi agar risiko banjir dapat dielakkan di masa yang akan datang.
 
Satu lagi kelebihan ‘ini kawasan MB’ adalah Kompleks Sejarah Pasir Salak yang dibina pada tahun 1990 penuh dengan sejarah pembinaannya, tidak saya nafikan kewujudannya tetapi sungguh sedih setelah melihat kiriman gambar daripada sahabat saya, Salman Haji Saleh yang meninjau sendiri bencana banjir di situ pada awalnya setelah seluruh bangunannya dimasuki air banjir.
 
Pada 1 Januari yang lalu, saya juga berkesempatan melihat kompleks tersebut dan mengambarkan kiriman gambar tempohari masih tidak berubah ketika itu, saya tidak dapat menilai kerosakan di kompleks tersebut dan saya berharap pihak Kerajaan Negeri Perak membantu membaiki kompleks tersebut yang memerlukan perhatian daripada kerajaan negeri.
 
Tidak terlepas terkena kesan banjir juga adalah Sekolah Menengah Raja Dr Nazrin Shah (SARJANA), Jalan Tanjung Tualang, Kampung Gajah yang hampir 90 peratus dipenuhi air banjir. Sekolah ini adalah sebuah sekolah menengah agama berasrama penuh yang di tadbir oleh Jabatan Agama Islam Negeri Perak Darul Ridzuan (JAIPk) yang dibuka pada tahun 2000.
 
Saya harapkan Bajet tahun 2015 Negeri Perak untuk JAIPk ditingkatkan untuk membangunkan semula SARJANA dan ia salah satu imej sekolah aliran Agama milik kerajaan negeri dan sebuah nama besar institusi DiRaja, dalam tempoh pembukaan sekolah tidak lama lagi saya harapkan agar JAIPk bekerja keras untuk membersihkan sekolah tersebut dengan segera.
 
Pada saat ini, saya dapat lihat semua pihak yang terlibat secara langsung dengan bencana banjir ini dan kepada mereka yang bersungguh-sungguh membantu mangsa banjir tiada kata yang dapat diucapkan dan syabas kepada mereka semua kerana membantu sedaya upaya yang ada dan saya panjangkan ucapan terima kasih juga kepada Kerajaan Negeri Selangor.
 
RM100,000 yang disumbangkan oleh mereka mempunyai nilai kemanusian dengan matlamat membantu, tahniah juga saya ucapkan kepada Kerajaan Negeri Perak atas sikap yang ditunjukkan dengan membuang sikap sombong dan akuh untuk terus berbakti kepada rakyat dan inilah tanggungjawab sesebuah kerajaan sepatutnya.

Sama ada sesiapapun diberikan amanah sebagai Wakil Rakyat, ataupun mentadbir kerajaan, mereka perlu amanah dan bertanggungjawab menjalankan tugas hakiki mereka, perlu tunjukkan kualiti kerja yang baik dan bersungguh-sungguh serta mengutamakan rakyat yang di dalam kesusahan termasuk mangsa banjir kini.
 
Kepada pihak kerajaan melalui parti politik yang memerintah ataupun tidak, itu bukan alasan untuk tidak membantu rakyat di dalam kesusahan dan kami di Perak telah buktikan untuk rakyat agar mereka terus dibela dan dipastikan hak mereka dalam keadaan sekarang seperti membina kehidupan baharu setelah melalui satu pasca banjir yang penuh dengan memori peribadi mereka. – HARAKAHDAILY 6/1/2015
 
# Penulis adalah Ketua Pemuda PAS Perak dan juga Yang DiPertua PAS Kuala Kangsar Bandar DiRaja.

Share on Myspace