Banjir: Jangan rasa 'cemburu' dengan mana-mana pihak

SATIFUL BAHRI MAMAT | .

DALAM satu hadis yang panjang yang diriwayatkan oleh Muslim, Abu Hurairah berkata Rasulullah bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang meringankan daripada seorang mukmin satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan dunia, Allah akan meringankan daripadanya satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan Hari Kiamat. Sesiapa yang memudahkan kepada orang yang kesempitan, Allah akan memudahkan kepadanya di dunia dan akhirat.

Maka dengan itu, jelaslah kepada kita, betapa kebaikan yang diberikan oleh Islam itu kepada mereka yang membantu mangsa-mangsa banjir yang ditimpa malapetaka yang dahsyat itu, sebagaimana yang berlaku di enam buah negeri di negara kita baru-baru ini.

Bagi pihak Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan sumbangan, khususnya kepada mangsa-mangsa banjir di negeri Terengganu, bermula dengan gelombang yang pertama pada hujung November lalu, sehinggalah kepada gelmbang tengkujuh yang terakhir baru-baru ini.

Terima kasih kepada Jawatankuasa Operasi Banjir PAS Negeri, Pemuda dan Muslimat, PAS Kawasan-kawasan dan Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) seluruh negeri, Jabatan Amal, Ameerah serta semua Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang membantu termasuk Yayasan Amal Malaysia, Papisma, Kumpulan Kembara serta Pasukan-pasukan Pacuan Empat Roda (4WD).

Saya juga bersyukur ke hadrat Allah SWT, dengan kerjasama yang telah diberikan oleh semua pihak, dapat kita bersama-sama mengurangkan beban fizikal dan spiritual yang dihadapi oleh mereka, yang menerima dugaan dari Allah itu.

Saya menyeru kepada semua pihak agar mengambil tanggungjawab dengan penuh ikhlas untuk membantu mereka yang memerlukan, akibat keperitan kerana musibah banjir, terutamanya kepada pihak berwajib supaya membangunkan kembali insfrastruktur yang telah rosak dan menyediakan kediaman yang bersesuaian kepada mereka yang telah kehilangan tempat tinggal.

Janganlah hendaknya, kita merasa ‘cemburu’ atau tidak senang hati dengan mana-mana pihak, sehingga menutup ruang untuk kita menyempurnakan hak mereka yang berhak, serta menyempitkan rezeki yang begitu luas dan banyak yang telah diturunkan oleh Allah ke atas muka bumi ini.

Atau kita mencuri ruang, sehingga mengabaikan amanah, kerana sesungguhnya, tidak akan ada kebaikan sama ada di dunia atau akhirat, bahkan sebarang perbuatan keji itu hanya akan mengundang kemusnahan yang lebih dahsyat!

Kepada mereka yang ditimpa musibah, kami berharap dapat bersabar, dapat mengambil iktibar dan hikmah daripada apa yang telah berlaku, kerana sesungguhnya, ia adalah ujian dan dugaan daripada Allah SWT jua.

Semoga kita sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi apa sahaja ketentuan Allah dan membuat persiapan pada masa depan, lebih baik dari hari ini. - HARAKAHDAILY 6/1/2015

Penulis ialah Pesuruhjaya PAS Terengganu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paka.

Share on Myspace