Paul Phua: Kerajaan perlu telus dan berani

MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: PAS mendesak pihak kerajaan memberikan penjelasan berkenaan isu surat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kepada Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) yang telah ditarik balik daripada satu perbicaraan di Mahkamah Daerah Nevada selepas Putrajaya membantah ia digunakan untuk pembelaan kes Paul Phua Wen Seng.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata sungguh menghairankan apabila melihat kesungguhan dan keberanian seorang menteri kabinet menghantar surat kepada Timbalan Pengarah FBI Mark F Giuliano pada 18 Disember 2014 dengan memberi jaminan bahawa Paul Phua Wen Seng bukanlah anggota kongsi gelap 14k Triad bahkan mendakwa Phua telah membantu Malaysia dalam perkara-perkara "keselamatan negara" dan berharap Phua dapat pulang ke Malaysia.

"Namun, tindakan beliau itu tidak pula direstui dan dibantah oleh Putrajaya," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.  

Justeru, katanya pihak kerajaan perlulah telus dan berani memperjelaskan isu ini kepada masyarakat umum kerana ia melibatkan bukan sahaja integriti seorang menteri tetapi seluruh kabinet pimpinan PM Dato’Seri Najib Razak.

Menurutnya, pasti timbul kerisauan kepada umum seolah-olah kerajaan bersekongkol untuk melindungi bukan sahaja ‘raja judi’ tetapi anggota kongsi gelap 14K yang berkait dengan dadah.

PAS juga, kata beliau menuntut Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memperjelaskan kepada umum berkenaan kes Paul Phua Wen Seng. Hal ini kerana semestinya Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai rekod dan berhubung dengan FBI berkenaan Paul Phua.

"Slogan PDRM iaitu 'Tegas, Adil dan Berhemah' perlulah dizahirkan pada setiap masa tanpa memilih bulu dan tunduk kepada tekanan mana-mana pihak," ujarnya lagi. - HARAKAHDAILY 6/1/2015

Share on Myspace