Banjir: Antara kisah RM800 juta, E.Coli Atau 'E.Joli'

DR AZMAN IBRAHIM | .

MEMBACA berita Astro Awani bertarikh 6 Januari 2015 yang menyatakan bahawa Kementerian Kewangan telah memperuntukkan kepada MKN sebanyak RM800 juta untuk operasi banjir di seluruh negara bagi musim banjir tahun ini dan sebahagian besarnya telah dibelanjakan membuatkan saya terkedu seketika.

Ini bukanlah cerita RM500 juta yang dijanjikan Perdana Menteri ketika melawat Kelantan sebaik sahaja balik dari Hawaii. RM500 juta ini adalah drama dan kisah yang berbeza dari RM800 juta yang dimaksudkan.

Satu jumlah yang menyebabkan Pengerusi PAC, anakanda Allahyarham Datuk Mohamad Rahmat bercadang memanggil Kementerian Kewangan dan MKN bagi mendapatkan penjelasan.

Datuk Nur Jazlan, Pengerusi PAC dilaporkan sebagai berkata, walaupun RM800 juta telah dibelanjakan, operasi MKN dalam menguruskan bencana banjir sangat tidak sempurna dan kelam kabut.

Dengan tugas yang diamanahkan oleh parti kepada saya sebagai Pengarah Operasi Banjir PAS Terengganu, saya telah mengharungi air banjir sejak dari pertengahan November lagi sehinggalah banjir di Terengganu melabuhkan tirainya pada minggu pertama Januari 2015.

Dari air banjir di kawasan bandar, taman perumahan, kampung, desa, ladang getah, ladang sawit sehingga menongkah arus deras sungai untuk bertemu dengan mangsa-mangsa banjir, semuanya telah saya harungi.

Saya bertemu dengan mangsa banjir yang telah keputusan bekalan hampir seminggu di Hulu Dungun, saya mendapat maklumat pelajar sebuah institusi pengajian tinggi di Gong Badak yang terperangkap tanpa bantuan dari agensi pihak berkuasa.

Saya tahu yang bertungkus-lumus menyelamatkan mangsa banjir adalah Unit Amal PAS. Saya tahu yang menghantar bekalan dari rumah ke rumah mangsa banjir adalah petugas banjir PAS.

Saya tahu yang bertungkus lumus membersihkan rumah mangsa banjir selepas air surut ialah sukarelawan PAS. Saya tahu mangsa banjir tidur berselerakan di pusat-pusat pemindahan tanpa ada sedikit ruang privasi untuk mereka.

Saya tahu ramai mangsa banjir yang pulang ke rumah dalam keadaan terpinga-pinga melihat kerosakan segala peralatan rumah. Saya tahu ada anak-anak mangsa banjir yang tak mempunyai uniform untuk ke sekolah, saya tahu dan saya tahu…

Soalnya dengan peruntukan sebanyak RM800 juta yang dihabiskan tersebut, kenapa semua yang saya tahu ini berlaku? Ini baru cerita di negeri Terengganu.

Kalau kisah di Kelantan, tentu lebih tragis dan dahsyat. Sampai 4 hari, ada mangsa banjir terputus bekalan makanan.

Lepas air surut, mangsa banjir turun dalam keadaan terketar-ketar kelaparan dari bukit tempat berlindung untuk mencari makanan. Pada masa itu, ada bekalan makanan yang dibahagikan di Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara Kuala Krai.

Mangsa banjir yang basah kuyup, tubuh penuh berselut dan lumpur, lemah longlai dalam keadaan kelaparan datang ke tempat pengagihan makanan. Tiba-tiba bila ingin menagih sedikit makanan yang diagihkan di Pejabat JPN Kuala Krai, pegawai di situ minta ditunjukkan IC. Tak ada IC, makanan tak akan diberikan! Gila apakah ini? Ini bukan masa nak minta IC lah Tuan Pegawai! Nasib baik nyawa dapat diselamatkan pun syukur kepada Allah. Berlalulah mangsa banjir yang malang ini dengan hati yang pedih bagai ditusuk sembilu diperlakukan sebegitu. Ianya lebih pedih dari perut yang lapar.

Kisah sedih ini saya dengar sendiri daripada mangsa banjir yang mengalaminya bercerita kepada saya di Kuala Krai dengan titisan air mata. Sungguh hatinya terguris diperlakukan sebegitu ketika keadaannya sangat-sangat mengharapkan sesuap makanan.

Mana pergi RM800 juta? Operasi team banjir kami di Terengganu banyak dibantu dengan sumbangan dana dari NGO seperti Yayasan Amal Malaysia dan lain-lain NGO. Tak ada satu sen pun daripada kerajaan. Tapi kami mampu berkhidmat siang malam sepanjang tempoh banjir.

RM800 juta kalau campur dengan RM200 juta lagi, jadinya RM1 bilion. Apakah banjir ini musibah bagi rakyat tetapi rahmat bagi Umno? Rahmat untuk mereka ‘kerkoh’ duit peruntukan banjir!

Saya simpati bila PM kena wabak E.Coli (Escherichia coli). Mari berlakon sekejap dalam banjir pun dah kena E.Coli. Macam mana dengan rakyat yang kena banjir, duduk di pusat-pusat pemindahan dalam keadaan bersesak-sesak, minum air banjir, pakaian penuh lumpur, balik rumah cuma tinggal tapak, lektrik tak ada, bekalan air tak ada.

Apakah bakteria E-Coli cuma minat menyerang orang yang mari berlakon poligam dalam banjir? Poligam itu maknanya politik gambar!

Merenung kembali angka RM800 juta, saya mencadangkan saintis membuat kajian yang lebih teliti untuk mengenal pasti kewujudan bakteria selain E.Coli yang berbahaya di musim banjir ini. Saya rasa bakteria tersebut namanya E.Joli. Kalau kena jangkitan bakteria E.Joli, jawabnya berat menanang!! - HARAKAHDAILY 7/1/2015

Share on Myspace