Apa penduduk asal Tanjong Tokong mahu

AZIZ MUDA | FOTO NASIR SUDIN | .

PERSATUAN Penduduk Tanjong Tokong mengucapkan terima kasih atas sikap keterbukaan Datuk Johari Abdul Ghani dan UDA yang ditunjukkan dalam rundingan kedua mereka pada 20 November 2014 lalu bagi menyelesaikan permasalahan di kampung itu yang sudah melampaui 30 tahun. Untuk mengetahui butiran rundingan mereka dengan lebih lanjut, ikuti wawancara bersama Penasihat yang juga Pakar Rujuk Pembangunan persatuan itu, Mustafa Yahya.

HARAKAHDAILY: Apa sebenarnya yang dikehendaki oleh pihak persatuan tuan dan para penduduk asal Kampung Tanjong Tokong?

MUSTAFA YAHYA: Kami orang-orang Melayu, Orang Asal (Penduduk Asal) Kampung Tradisi Tanjong Tokong dan Pulau Pinang ingin melihat kampung ini maju ke hadapan menjadi Kampong Warisan Melayu/Islam yang tersusun dalam konsep recreational atau mengwujudkan semula Kampung Warisan Melayu yang tersusun, hidup dengan budaya dan tradisinya. Kami mohon kawasan yang masih berbaki diperuntukan 4 ekar untuk dijadikan sebagai Zon Kampong Warisan Melayu, Pulau Pinang.

Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada Datuk Johari atas tawaran yang diberikan kepada kami dan dalam rundingan tersebut, kami telah menyediakan tuntutan kami hasil daripada perbincangan kami dengan penduduk. Kami mengucapkan ribuan terima kasih atas sikap keterbukaan Datuk Johari dan UDA dalam rundingan kedua itu bagi menyelesaikan permasalahan yang sudah melampaui 30 tahun lamanya.   

Apakah butiran rundingan itu atau maklum balas dan cadangan balas pihak persatuan tuan kepada Datuk Johari Abdul Ghani bagi pihak Uda Holding?

Beberapa statement atau kenyataan yang mempunyai significant, pertamanya, kami memohon kawasan yang masih berbaki diperuntukan 4 ekar untuk dijadikan sebagai Zon Kampung Warisan Melayu, Pulau Pinang. Kedua, semua komponen pembinaan di dalam zon itu hendaklah dirujuk kepada persetujuan Persatuan Penduduk Tanjong Tokong, Pulau Pinang bermula daripada mendapat "Kelulusan Kebenaran Merancang" daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang atau Special Approval Plan (SAP).

Ketiga, komponen pembinaan dalam Kampong Warisan Melayu Tanjong Tokong adalah seperti berikut:

A. Rumah-rumah tradisi akitektual Melayu didirikan semula dengan memasukkan unsur-unsur kebudayaan yang kaya dengan keseniannya yang terdapat pada ruang bilik, serambi, seni ukir pada papan layar (cantik), tiang, tangga, bumbung, gril seni kayu, dinding, alas duduk, bilik air, sandaran, kerusi meja, ruang dapur, pagar, tamaman landskap, susun atur rumah, lorong, kolam ikan, ruang santai, ruang tetamu atau beranda, tangga luar, papan layar berukiran Melayu.
Bagi rumah-rumah tradisi architectual Melayu, kami mohon 12 unit rumah disediakan dengan kelengkapan seperti berikut:

i.   Rumah-rumah tradisi architectual Melayu didirikan semula dengan memasukkan unsur-unsur kebudayaan.
ii.  Kami mohon 12 buah rumah didirikan kepada penduduk dalam Zon 4A yang akan dipindah keluar.
iii. Rumah ini mestilah didirikan sebagai sebuah kampung yang tersusun tradisi dan moden dengan seni bina Melayu tradisi dengan 5 bilik tidur serta 5 bilik air, dapur, ruang tetamu atau beranda, tangga luar, papan layar berukiran Melayu serta rumah-rumah tradisi architectual Melayu didirikan semula dengan memasukkan unsur-unsur budaya dan keseniannya yang terdapat pada ruang bilik, serambi, seni ukir pada papan layar (cantik), tiang, tangga, bumbung, gril seni kayu, dinding,  bilik air, sandaran, kerusi, meja, ruang dapur, pagar, tamaman landskap, susun atur rumah, lorong, ruang santai dan seterusnya.

iv.  Ruang bina atau as-built ialah 4,000 kaki persegi, rumah 2 tingkat dengan ruang tanah ialah 4000-6000 kaki persegi.
v.   Ruangan lebihan tanah ini mesti digunakan untuk tanaman pokok bunga-bungaan bagi menghidupkan suasana Kampong Warisan Melayu Tanjong Tokong yang tersusun.
vi.  Rumah ini kekal tanpa boleh diubahsuai dan mengikuti Akta Warisan.
vii. Lihat gambar konseptual yang terdapat pada slide presentation yang dilampirkan bersama.

Bagaimana dengan Bangunan Kelab Setia Tanjong Tokong.

Perkara itu termasuk dalam kenyataan berhubung komponen pembinaan dalam Kampong Warisan Melayu Tanjong Tokong bagi bahagian B iaitu atas tajuk Bangunan Kelab Setia Tanjong Tokong dengan pernyataan berikut:

i.  Tapak budaya untuk permainan rakyat, sebuah dewan tertutup dua tingkat dan tanah lapang (halaman) untuk aktiviti warisan rakyat seperti takraw, permainan Silat Melayu Pulau Pinang.
ii.  Akitektualnya ialah membina semula seni binaan asal Bangunan Kelab Setia Tanjong Tokong dengan komponen bilik mesyuarat untuk 30 orang, bilik kelas bimbingan (berkapasiti 40 orang - 3 bilik darjah), pentas serta gelanggang sukan dengan 4 gelanggang takraw/pelbagai.
iii.  Membina bilik setor, ruang pejabat serta tandas (2) buah lengkap lelaki dan perempuan.
iv.  Dewan ini juga mempunyai ruang pemeran.
v.   Setelah siap dewan ini seterusnya diserahkan kepada Persatuan Kelab Setia Tanjong Tokong untuk ditadbir.
vi.  Bangunan dua (2) tingkat ini mestilah mempunyai akitectual kesenian Melayu.
viii. Tapak budaya, berseni dan permainan rakyat seperti sepak raga, silat, kompang, nasyid, tilawah Quran, berzanji, berkhatan, majlis kenduri, bertunang, ruang pameran (galeri), ruang pidato, berseni. Komponennya adalah sebuah dewan yang bertutup penuh dan padat dengan budaya dan kesenian aktiviti warisan rakyat setempat. Dewan Persekutuan Kelab Setia ini dari segi akitektual adalah berkonseptual seni bina Melayu yang asal / tradisinya terpahat pada ruang masuk utama, pentas, meja pidato/ bersajak/bersyair, ruang dalam, bumbung, tingkap dan pintu ukiran kayu.

Bagaimana dengan tempat ibadat atau madrasah?

Perkara itu termasuk dalam kenyataan berhubung komponen pembinaan dalam Kampong Warisan Melayu Tanjong Tokong bagi bahagian C iaitu atas tajuk Mendirikan Semula Madrasah At-Taqwa dan memasukan unsur-unsur seni bina Melayu/Islam ke atas madrasah At-Taqwa, Tanjong Tokong, Pulau Pinang yang sedia ada dengan pernyataan berikut:

i.    Pembinaan semula Madrasah At-Taqwa yang terdapat pada Zon 4A dipindahkan ke Zon 4B.
ii.   Luas keluasan Madrasah At-Taqwa mestilah boleh memuatkan 300 jemaah termasuk perempuan. Terdapat rak-rak buku yang disediakan.
iii.  Menyediakan tempat wuduk untuk lelaki dan perempuan yang berasingan.
iv.  Terdapat ruangan dapur untuk memasak serta kelengkapan ruang kabinet untuk menyimpan peralatan memasak serta talam, pinggan dan mangkuk. Terdapat peti sejuk dan larder.
v.    Mempunyai tandas lelaki dan perempuan yang berasingan dan bilik mandi.
vi.   Mempunyai bilik rehat untuk tetamu (4 bilik) lengkap dengan bilik mandi dan tandas.
vii.  Mempunyai ruang pejabat, setor, lengkap dengan pembesar suara, sistem PA dan halaman serta padang mainan.
viii. Tuntutan ini selaras dengan ruang serta persekitaran yang terdapat di Madrasah At-Taqwa.
ix.   Seni ukir pembinaan adalah seni bina Islam/Melayu.
x.    Madrasah yang ada sekarang tidak boleh dirobohkan sehingga bangunan baru telah didirikan dan boleh digunakan. Madrasah yang ada sekarang masih mempunyai jemaah solat dan masih berfungsi dalam pelbagai aktiviti berjemaah.
xi.   Madrasah ini setelah siap diserahkan kepada Jawatankuasa yang ada sekarang untuk diurus tadbir.

Boleh pihak tuan jelaskan, bagaimana dengan medan selera?

Perkara itu termasuk dalam kenyataan berhubung komponen pembinaan dalam Kampong Warisan Melayu Tanjong Tokong bagi bahagian D iaitu atas persoalan Mendirikan Balai/Galeri Medan Selera Pemakanan Rakyat. Melahirkan pembikinan kuih muih Melayu lama Pulau Pinang (seperti lopeh, kuih ca, beka kacang, ubi kayu, kolca, apam bakar, bingka, serawa, pengat, dangai, seri muka, suji, tepung talam, ondeh-ondeh, kueh kosui, buah Melaka dan sebagainya).

Masakan pemakanan orang Melayu Tanjong Tokong lama dengan resipi masakan yang sudah ada lama di Tanjong Tokong seperti nasi lemak Rokiah, sambal tumis udang, ikan belah belakang, bamia, daging masak lada, mi rebus Pak Park, nasi minyak Pak Nagor, gulai ikan Abdul Rahman, Masakan Mak Lal.  Menghidupkan kembali syurga makanan penuh dengan adat dan tradisi.

i.   Mendirikan balai/galeri medan selera pemakanan rakyat untuk penduduk Tanjong Tokong sebagai aktiviti harian.
ii.  Mendirikan balai/gelari medan selera tradisi sesuai dengan seni bina akitektual Melayu dengan kemudahan moden. Aktiviti ini dapat menampung penjualan kuih tradisi dikekalkan sehingga ke abad yang melampaui.
iii.  Mendirikan ruang untuk buatan dan jualan pemakanan rakyat - Melahirkan pembikinan kuih muih Melayu lama Pulau Pinang.
iv.  Bangunan ini setelah disiapkan diserahkan kepada Persatuan Kampong Warisan Tanjong Tokong, Pulau Pinang untuk mentadbir Galeri Medan Selera Tradisi Warisan. Semua bangunan seni bina ini adalah diaktakan di bawah Akta Warisan.

Bagaimana pula dengan statement atau kenyataan lain yang significant dengannya.

Perkara ini termasuk dalam perkara yang keempat, iaitu kami memohon semua tuntutan itu dibangunkan dan dibiayai oleh UDA dengan konsep pembangunan yang dipersetujui oleh Persatuan Penduduk Kampong Tanjong Tokong.

Perkara kelima, kami mohon satu bank gurantee diberi atas nama Persatuan Penduduk Kampong Tanjong Tokong bernilai RM50 juta untuk tempoh 3 tahun atau 36 bulan diserahkan kepada syarikat peguam kami, Ong & Associates sebagai jaminan kekal. Tempoh masa 36 bulan adalah munasabah dan memenuhi kriteria sesuatu projek patut siap. Jika tuntutan itu tidak ditunaikan dalam tempoh masa tersebut, maka kami berhak untuk mendapat tuntutan/peruntukan itu untuk membangunkan semula Zon Warisan Melayu di atas tapak yang lain di Pulau Pinang.

Perkara keenam, UDA mestilah meyediakan tempat tinggal sementara untuk penduduk-penduduk di Zon 4A yang akan dibangunkan ke kawasan penempatan sementara sebelum rumah mereka dirobohkan. Kami pohon tanah bersebelahan dengan Masjid Tuan Guru sebagi tapak sementara dalam pembangunan tersebut.

Ketujuh, senarai nama-nama penduduk yang akan ditempatkan ke Zon Warisan Melayu Tanjong Tokong, Pulau Pinang adalah seperti berikut:

a.   Sini Ibrahimsa bin Aziz beralamat 281-E, Jalan Shaikh Ibrahim, Tanjong Tokong, Pulau Pinang.
b.   Abdul Wahab bin Sini Ibrahimsa beralamat di 282-L, Jalan Shaikh Ibrahim, Tanjong Tokong, Pulau Pinang.
c.   Mohd Salleh bin Yahya beralamat di 282-H, Jalan Shaikh Ibrahim, Tanjong Tokong, Pulau Pinang.
d.   Che Gayah binti Mohd Yusuf beralamat di 283-B, Jalan Shaikh Ibrahim, Tanjong Tokong, Pulau Pinang.
e.    Rajali bin Abdul Aziz beralamat di 214-B, Jalan Shaikh Ibrahim, Tanjong Tokong, Pulau Pinang, berada di Zon 4B.
f.    Mahmud bin Yusuf beralamat di 214-E, Jalan Shaikh Ibrahim, Tanjong Tokong, Pulau Pinang, berada di Zon 4B.

g.   6 unit lebihan dicadangkan sebagai rumah tumpangan/rumah tetamu untuk pelancong-pelancong yang berkuncung ke tempat ini atau digunakan semasa  majlis keramaian, kenduri perkahwinan dan seterusnya. Unit-unit ini diserahkan kepada Persatuan Penduduk Kampong Tanjong Tokong, Pulau Pinang.
h.  Tapak ini akan dijadikan Zon Warisan Melayu Tanjong Tokong sebagai salah satu pusat tarikan pelancongan di Pulau Pinang. Orang Melayu sudah berada di Pulau Mutiara ini lebih awal daripada kedatangan Kapten Sir Francis Lights.

Boleh pihak tuan jelaskan lagi mengenai tuntutan lain.

Tuntutan lain itu termasuk dalam perkara kelapan iaitu, mereka yang disenaraikan itu mempunyai hak ke atas bank guarantee RM50 juta jika UDA gagal melaksanakan Pembinaan Zon Warisan Melayu Tanjong Tokong, Pulau Pinang.

Kesembilan, kami mohon diadakan satu memorandum of agreement (MOA) di antara UDA Holding Berhad, Persatuan Penduduk Kampong Tanjong Tokong dan disaksikan oleh Ketua Menteri atau Timbalan Ketua Menteri 1 dan peguam kedua-dua pihak iaitu bagi pihak Persatuan Penduduk Kampong Tanjong Tokong dan UDA Holding Berhad.

Kesepuluh, kami mohon semua tindakan kehakiman dan undang-undang dihentikan dalam tempoh reda ini. Kesebelas, setelah termetrai perjanjian MOA, semua tindakan undang-undang dan penghakiman ditarik balik ke atas kedua-dua pihak dan ke-kes yang berkaitan juga ditarik balik dengan serta-merta bagi menghormati perjanjian kedua-dua pihak.

Perkara keduabelas, di antara kenyataan akbar dan liputan yang berkaitan dengan perjuangan kami ini iaitu:

a.  Kenyataan akhbar dalam Sinar Harian, 11 Disember 2014, Pengarah Urusan UDA Holding, Datuk Ahmad Abu Bakar bersetuju membenarkan kewujudan 1.6 hektar (3.778 ekar) tanah berbaki untuk dibangunkan Kampong Warisan Melayu yang tersusun dalam Fasa 4B.

b.  Kenyataan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan bahawa nasib penduduk Tanjong Tokong akan dibela di dalam internet pada 8 Disember 2012 dalam lawatan rasminya di Tanjong Tokong, Pulau Pinang.

Katanya, lawatan beliau ke kampung Tanjong Tokong itu adalah sebagai mengulangi sejarah lawatan Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak pada tahun 1972 dengan misi yang sama iaitu membantu masalah penduduk kampung berkenaan. - Petikan dari internet Hidup Umno.

Lagi laporan mengenai isu Kampung Tanjong Tokong dalam Harakah Bil 2011 Edisi Jumaat ini.

Share on Myspace