Isu pampasan RM2.6 juta, MMKN tak terlibat - Exco

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Datuk Iskandar Abdul Samad menegaskan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) tidak terlibat dengan keputusan bayaran pampasan RM2.6 juta kepada lapan pembantu mantan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar Negeri Selangor itu yang juga menjawat sebagai Exco di bawah pentadbiran lalu berkata, keputusan itu dibuat sepenuhnya pihak atasan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) yang masih berkhidmat sebelum Abdul Khalid meletak jawatan, lapor Selangor Kini.

“Ada dua perkara yang berlaku iaitu keputusan berkenaan dibuat sepenuhnya MBI, manakala kertas (keputusan) diserahkan kepada Exco untuk makluman dan perakuan.

“Exco tidak terlibat langsung, sebaliknya hanya dimaklumkan,” katanya ketika mengulas perkara itu selepas mengadakan lawatan tapak di Jalan Pandan Indah, semalam.

Beliau berkata, jika proses yang dijalankan berhubung bayaran pampasan meragukan, sebaiknya semua bekas kakitangan berkenaan memulangkan wang itu seperti yang diarahkan.

Tambahnya, Menteri Besar telah mengarahkan supaya ia dipulangkan semula dan kalau prosesnya tidak betul, maka mereka kena mengikut arahan.

“Saya bergantung kepada audit, kalau betul, betullah. Kalau salah, kena pulangkan semula,” katanya yang juga Adun Chempaka.

MBI mengesahkan surat tuntutan pemulangan semula pampasan kepada lapan bekas kakitangan MBI yang juga pembantu Abdul Khalid berjumlah RM2.6 juta sudah dihantar pada 5 Januari lalu.

Share on Myspace