Si Luncai berjumpa Don Quixote

A KADIR JASIN | .

SI LUNCAI terserempak dengan Don Quixote (ki-ho-teh). Setelah masing-masing memperkenalkan diri mereka pun bertukar-tukar cerita.

Don Quixote: Saya dengar tuan terjun ke sungai dengan labu-labu dan orang berteriak, “biarkan, biarkan”. Betul begitu?

Si Luncai:  Betul. Yang mereka maksudkan itu bukan buah labu untuk dimakan tetapi kendi labu untuk mengisi air. Kendi labu itu milik saya bukan milik orang lain.

Don Quixote: Kenapa tuan terjun sungai dan tidak lemas pula?

Si Luncai: Saya dihukum raja kerana memberitahu baginda kepalanya yang dogol mengingatkan saya kepada ayah saya yang sudah meninggal dunia. Baginda murka dan menitahkan hamba dibuang ke laut.

Don Quixote: Tetapi tuan hamba tidak mati lemas?

Si Luncai: Saya bukan orang cerdik, tapi saya belajar daripada pengalaman. Saya tidak lemas sebab saya guna kendi labu sebagai pelampung.

Don Quixote:  Oh! Jadi tidak tepatlah gambaran tuan seorang bodoh dan bangang?

Si Luncai: Bangsa saya ada peribahasa berbunyi, hanya mutu mengenal manikam dan satu ungkapan berbunyi raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah. Tuan pula saya dengar bertarung dengan kincir angin?

Don Quixote: Benar. Saya seorang pahlawan setia dari negara Sepanyol. Saya bertarung dengan kincir angin kerana ia adalah gergasi yang sangat ganas!

Si Luncai: Tapi kincir angin bukan gergasi. Ia jentera untuk mengepam air mengelak banjir.

Don Quixote: Itu kata tuan, tetapi sebagai pahlawan setia adalah tugas saya mengalahkan musuh biar siapa sekali pun mereka!

Kesimpulannya, pilihlah yang mana satu kita hendak jadi. Si Luncai yang disangka dangkal tetapi berfikiran tajam atau Don Quixote yang berkhayal menjadi perwira tetapi tenggelam dalam angan-angan?

Dalam adat resam Melayu, raja atau pemerintah yang adil ditaati manakala yang zalim dan melanggar hukum ditentang.

Nota Kaki: Saya diperkenalkan kepada cerita The Ingenious Gentleman Don Quixote of La Mancha ketika di sekolah menengah pada tahun 1960-an oleh guru bahasa Melayu saya. Berapa ramai agaknya guru bahasa Melayu sekarang yang baca cerita Don Quixote dan Si Luncai? - http://kadirjasin.blogspot.com/

Share on Myspace