Pengusaha stesen minyak rugi setiap bulan?

SALMIYAH HARUN | .

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengecam tindakan kerajaan yang membuat keputusan tergopoh-gapah menghapuskan subsidi minyak tanpa mengkaji kesannya kepada rakyat dan pihak lain termasuk pengusaha stesen minyak.

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berkata, selain mendedahkan rakyat kepada harga minyak yang lebih tinggi tindakan itu juga memangsakan pengusaha stesen minyak yang dibiarkan menanggung kerugian dan akhirnya gulung tikar.

"Jika pengusaha stesen minyak mengalami kerugian setiap bulan dalam beberapa bulan akan datang, saya bimbang ramai pengusaha stesen minyak tidak lagi boleh beroperasi," katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR di sini hari ini.

Di bawah sistem sekarang, jelas beliau pengusaha minyak terdedah kepada kerugian apabila harga minyak turun sedangkan mereka membeli stok petrol dan diesel pada harga lebih tinggi.

Beliau berkata, syarikat minyak seperti Petronas, Shell, Petron dan BHP menetapkan setiap stesen minyak membeli stok sekurang-kurangnya untuk tiga hari dalam satu-satu masa.

Dalam masa yang sama, katanya yang juga Ahli Parlimen Pandan pengusaha ini perlu membayar harga stok pada harga pasaran ditolak dengan komisen iaitu 12 sen bagi petrol dan 7 sen bagi diesel yang ditetapkan oleh kerajaan.

"Keperluan ini sebenarnya telah ditetapkan oleh KPDNKK supaya bekalan minyak tidak habis di stesen-stesen," katanya.

Malangnya, kata beliau 70 peratus daripada 6,000 hingga 7,000 stesen minyak di negara ini adalah bersaiz kecil atau sederhana  yang memperoleh purata jualan di bawah 500,000 liter sebulan.

Berdasarkan komisyen petrol dan diesel yang ditetapkan kerajaan pendapatan bulanan setiap stesen minyak ini adalah antara RM40,000 hingga RM50,000 sebulan.

"Daripada jumlah ini mereka terpaksa membayar elektrik dan utiliti, sewa stesen minyak kepada syarikat minyak, caj perkhidmatan, caj kredit kad dan gaji pekerja . Setelah ditolak kos-kos ini keuntungan bersih purata mereka setiap bulan adalah RM5,000 hingga RM10,000 sebulan," katanya.

Apabila harga minyak diturunkan pada 1 Januari lalu, jelasnya, secara automatik mereka kerugian di antara RM10,000 hingga RM15,000 kerana stok minyak yang dibeli pada harga lebih tinggi kemudian dijual pada harga RM1.91 seliter, mereka rugi 35 sen setiap liter serta merta.

"Bagi stok di hujung bulan Disember mereka terpaksa bayar sekitar RM100,000 hingga RM150,000 secara tunai untuk 50,000 liter minyak pada harga RM2.26 seliter. Kita kena ingat ramai pengusaha minyak adalah di kalangan bumiputera," katanya.

Justeru beliau bertegas mahukan harga minyak termurah yang adil bagi rakyat dan sistem harga yang adil kepada pangusaha stesen minyak dan menjamin kestabilan bekalan petrol dan diesel kepada rakyat seluruh negara.

"Dengan harga RM1.91 seliter ianya masih mahal 30 sen daripada harga pasaran dan saya menganggarkan kita dapat menikmati harga lebih murah dalam RM1.70 seliter jika harga minyak bawah USD60 setong," katanya.

Tegasnya, Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kepenggunaan Datuk Hassan Malek sewajarnya tidak perlu untuk menunggu rakyat menyingkirkannya sebaliknya beliau perlu berundur sendiri kerana tidak membuat kajian mendalam sebelum memutuskan untuk melaksanakan sistem sedia ada. - HARAKAHDAILY 7/1/2014

Share on Myspace