Mangsa banjir di Kelantan perlu bantuan perubatan

MUHAMMAD FAIZAL | .

GUA MUSANG: ‎Yang Dipertua PAS Gua Musang, Suhaimi Mat Deris meminta agar mana-mana pihak yang ingin memberi bantuan perlu menyediakan kelengkapan perubatan bagi membendung penyebaran penyakit.

Beliau ketika ditemui di Pejabat PAS Dun Galas berkata, sukarelawan perubatan amat diperlukan dalam memastikan setiap mangsa banjir mahupun pasukan sukarelawan dapat dicegah daripada sebarang penyakit.

"Perubatan dan sukarelawan perubatan amat diperlukan pad waktu ini, dalam keadaan sekarang kebanyakan mangsa banjir mahupun sukarelawan terdedah kepada penyakit.

"‎Seperti sekarang, keadaan persekitaran berdebu menyebab pendudukan sekitar mengalami batuk, kita sedia maklum debu-debu ini adalah daripada air kotor yang bertakung dan kering," katanya.

Beliau yang turut berpuas hati dengan kerjasama daripada semua peringkat parti terutama Jabatan Amal dalam membantu mangsa-mangsa banjir daripada awal bencana hingga sekarang.

"Kita berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan mereka, khususnya jentera bantuan dari PAS Kedah.

"‎Dianggarkan hampir 85 peratus penduduk kehilangan harta benda akibat bencana banjir yang tidak diduga," sambung beliau.

Menurut beliau lagi, proses bantuan banjir di Gua Musang memasuki fasa kedua iaitu tertumpu kepada pembersihan rumah dan juga penyediaan peralatan sekolah.

"‎Misi selepas ini lebih tertumpu kepada pemulihan tempat tinggal selain membantu menyediakan tempat kediaman.

"‎Sekarang ini kerajaan negeri dan pusat telah menyediakan khemah untuk penempatan, mereka yang sebelum ini duduk di kawasan setinggan tidak lagi dibenarkan tinggal di kawasan tersebut kerana merbahaya," kata beliau lagi.

Sementara itu, Penyelia Dun Galas, Abdullah Hussein turut berkata bahawa sebanyak 600 buah rumah telah rosak meliputi tiga dun di dalam kawasan Parlimen.

Antaranya bagi Dun Galas sebanyak 108 buah rumah, Dun Paloh 300 buah rumah dan selebihnya Dun Nenggiri.

‎"Peringkat kerajaan negeri sedang mencari tanah untuk menyelesaikaan tempat pemindahan mangsa-mangsa banjir.

"Kita turut menyediakan bantuan di bawah peruntukan rumah dhuafa’ dan Tabung Serambi Mekah untuk setiap dun bagi membaiki semua kerosakan.

"Perkara ini telah dibincangkan semalam bersama Pegawai Pembangunan Jajahan Gua Musang yang mengarahkan semua jajahan membuat tafsiran awal pada 15 Januari nanti," katanya.

Dalam pada itu, Harakahdaily bersama-sama NGO Muslim Care turut menyampaikan sumbangan berupa barang makanan di beberapa kampung bagi meringankan beban mereka.

Turut hadir pada pemberian bantuan itu adalah Ahli Jawtankuasa PAS Pusat, Dr Riduan Mohd Noor. – HARAKAHDAILY 7/1/2014

Share on Myspace