Melayu bandar: UDA perlu kembali ke pangkal jalan

AZIZ MUDA | .

KUALA LUMPUR: Kejadian penempatan orang-orang Melayu yang semakin terhakis di bandar-bandar besar perlu didedahkan secara menyeluruh oleh pelbagai pihak kerana hak orang-orang Melayu untuk turut tinggal di bandar-bandar besar perlu dipertahankan.

PAS tidak mahu bandar-bandar besar di seluruh negara hanya dikuasai satu bangsa atau satu kuasa sahaja, sebaliknya kewujudan orang-orang Melayu dan penempatan orang Melayu di bandar-bandar besar amat perlu sebagai lambang negara kita yang mewakili pelbagai bangsa.

Sehubungan itu, Ahli Jawatankuasa Lajnah Pembangunan Tanah, Peneroka Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli PAS Pusat, Dr Rosli Yaakop menyeru Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) kembali ke pangkal jalan khususnya kepada peranannya ditubuhkan pada tahun 1971 lalu.

Menurut beliau, UDA ditubuhkan sebaik sahaja Tun Razak melancarkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1970 yang bertujuan untuk menstrukturkan semula masyarakat supaya orang Melayu turut tinggal di bandar-bandar besar, bukan hanya tinggal di kampung-kampung sahaja.

"Ini antara lain bagi membolehkan pengagihan ekonomi dilakukan dengan lebih adil. Itulah antara tujuan UDA ditubuhkan, tetapi sekarang UDA dah khianati amanah kerajaan terhadapnya," katanya.

Beliau yang juga Pengarah Urusan Harakah amat kecewa dengan kegagalan UDA dalam memainkan peranannya itu walaupun perbadanan itu telah ditubuhkan lebih 40 tahun lalu.

"UDA ternyata gagal menghalang perkampungan tradisi Melayu dimusnahkan. Ini seperti yang berlaku ke atas Kampung Abdullah Hukum dan Kampung Kerinchi hingga di kawasan itu sudah tidak ada perkampungan tradisi Melayu lagi sekarang," ujarnya.

Beliau amat berharap agar UDA akan memainkan peranannya dengan betul bagi membolehkan perkampungan tardisi Melayu terpelihara termasuk di Tanjong Tokong, Pulau Pinang yang sedang diperjuangkan oleh pihak persatuan dan penduduk-penduduk asal di kampung itu sekarang. - HARAKAHDAILY 7/1/2015

Laporan lanjut mengenai isu berkenaan boleh didapati dalam akhbar Harakah Bil 2011 Edisi Jumaat ini.

Share on Myspace