Mangsa hilang rumah disedia penempatan sementara

SALMAH MAT HUSAIN | .

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan telah mengenal pasti tapak bagi menempatkan mangsa banjir yang kehilangan rumah di jajahan Gua Musang, Machang dan Kuala Krai baru-baru ini.

Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata, rumah mangsa yang rosak 100 peratus akan diberi keutamaan untuk tinggal di penempatan itu.

Bercakap kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco hari ini katanya di Gua Musang Majlis Keselamatan Negara (MKN) menempatkan 200 mangsa banjir di khemah yang disediakan.

“Di Kuala Krai InsyaAllah kita akan menempatkan seramai 138 mangsa di Kem Wataniah di Sungai Durian,” katanya.

Selain itu kerajaan negeri akan menyewa rumah atau premis perniagaan milik individu untuk menempatkan mangsa-mangsa banjir.

Kata beliau persediaan itu perlu dilakukan segera memandangkan sesi persekolahan penggal pertama 2015 akan bermula 11 Januari ini.

“Saya mengucapkan selamat belajar kepada anak-anak yang menjadi mangsa banjir di Kelantan. Belajarlah bersungguh-sungguh walaupun kita dalam suasana yang amat tidak selesa dan serba kekurangan.

“InsyaAllah Allah akan membantu dan permudahkan urusan hidup kita,” ujarnya.

Menteri Besar juga berkata, 17 mangsa kebakaran di Rantau Panjang tiga hari lalu akan dibantu kerajaan sebanyak RM2,000 setiap seorang.

Pengerusi Jawatankuasa Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmod berkata, sumbangan itu melalui Tabung Serambi Mekah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Sementara itu syarikat Rohm Wako (M) Sdn Bhd hari ini menyerah sumbangan bagi membantu mangsa banjir sebanyak RM150,000 yang disampaikan kepada Menteri Besar. - HARAKAHDAILY 7/1/2015

Share on Myspace