Selamat kembali ke sekolah

USTAZ DATUK AHMAD YAKOB | .

PERSEKOLAHAN sesi baru akan bermula pada 11 Januari 2015 ini, anak-anak pelajar akan kembali ke sekolah masing-masing, namun kemungkinan besar suasana tidak seperti sebelum ini.

Banyak kelengkapan sekolah musnah dan keadaan sekitar masih berdebu akibat banjir tempoh hari.

Walaubagaimana keadaan sekalipun, anak-anak terpaksa menghadapinya dengan sabar, bina semangat dan kejayaan dalam kehidupan itu biasanya melalui sebuah dugaan.

Pihak Kerajaan Negeri Kelantan sebelum ini telah meluluskan bantuan persekolahan RM50,000 melalui Yakin dan diserahkan kepada Adun juga Penyelia Dun masing-masing bagi membantu meringankan beban kemiskinan dan persekolahan.

Diharapkan mangsa-mangsa banjir yang kehilangan rumah kediaman agar bersabar, kerajaan negeri sudah pastikan tapak tanah untuk penempatan mangsa dan akan menyewa premis perniagaan melalui rundingan antara tuan milik premis dan Ketua Jajahan di lokasi terbabit khususnya bagi meringankan beban ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang masih bersekolah.

Kepada anak-anak yang buat pertama kali menjejaki kaki ke alam persekolahan di darjah satu dan daripada darjah enam ke tingkatan satu, hadapilah hari-hari persekolahan dengan riang dan gembira kerana dapat mempelajari ilmu di samping saling kenal-mengenali antara rakan-rakan dari tempat lain.

Jaga kesihatan masing-masing khasnya selepas banjir ini kerana amat mudah terdedah kepada pelbagai penyakit.

Saya menyeru kepada seluruh dermawan untuk terus menghulurkan bantuan persekolahan sama ada penyediaan pakaian sekolah serta kelengkapannya ataupun bantuan kewangan untuk urusan pembayaran yuran khususnya sebelum 11 Januari 2015 kepada anak-anak yang menjadi mangsa banjir.

Sama-sama kita hidup bermuafakat dan berkebajikan insya Allah masyarakat dan negeri sentiasa mendapat keberkatan.

Menteri Besar Kelantan

Bertarikh: 16 Rabiul Awwal 1436/7 Januari 2015

Share on Myspace