Projek penjana bebas 1MDB dilewatkan

SALMIYAH HARUN | .

PETALING JAYA: Projek stesen Janakuasa Jimah Timur tidak mungkin berjaya disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan kerana masalah aliran tunai yang sedang dihadapi oleh 1MDB, demikian tegas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli.

Rafizi berkata, 1MDB sekali lagi telah gagal untuk membayar hutang berjumlah RM2 billion mengikut jadual pembayaran, mengesahkan lagi syarikat ini bermasalah dengan aliran tunai.

Keadaan ini katanya, akan menyukarkan kedudukan kewangan 1MDB sekali gus memberi kesan kepada keupayaannya melaksanakan kontrak yang dianugerahkan kepadanya.

"Salah satu kontraknya adalah pembinaan stesen Janakuasa Jimah Timur dengan kapasiti 2000MW (dua sen setiap 1000MW) yang mengundang kontroversi sebelum ini," katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata, perjanjian jual beli tenaga (PPA) antara TNB dan 1MDB melalui janakuasa Jimah Timur adalah strategi terpenting yang bakal menentukan sama ada kedudukan kewangan 1MDB terus menjunam.

Katanya, Stesen Janakuasa Jimah Timur sebagai aset yang berharga di antara stesen-stesen janakuasa sedia ada yang dibeli oleh 1MDB sebelum ini dan diharapkan dapat menarik minat pelabur membeli saham kumpulan tenaga 1MDB apabila disenaraikan di bursa kelak.

"1MDB memerlukan suntikan kewangan daripada penyenaraian aset penjana bebasnya untuk mengimbangi hutangnya yang tinggi dan telah mencecah RM42 bilion setakat tahun 2014," katanya.

Oleh itu, katanya kelewatan pelaksanaan Stesen Janakuasa Jimah Timur dijangka akan melewatkan proses penyenaraian anak syarikat 1MDB di bursa dan melemahkan lagi kedudukan kewangannya.

"Saya boleh mengesahkan bahawa 1MDB melalui anak syarikatnya Jimah East Power Sdn Bhd telah memohon secara rasmi kepada Suruhanjaya Tenaga untuk menangguhkan lagi jadual pembinaan dan pelaksanaan stesen Janakuasa Jimah Timur yang akan membawa kesan kewangan kepada 1MDB dan rakyat Malaysia," ujarnya.

Rafizi turut mendedahkan bahawa satu mesyuarat telah diadakan pada 4 Disember 2014 antara Suruhanjaya Tenaga dan 1MDB yang diwakili oleh Jimah East Power Sdn Bhd mengenai kelewatan ini.

Dalam mesyuarat tersebut, jelas Rafizi, 1MDB memohon kepada Suruhanjaya Tenaga untuk diberi kelonggaran melewatkan projek itu selama enam bulan walaupun telah melanggar perjanjian jual beli tenaga.

"Hal ini bermakna projek tersebut dijangka hanya boleh disiapkan pada 15 Mei 2019, walhal tarikh perjanjian yang ditetapkan pada 15 November 2018," tambahnya.

Berdasarkan semakan laporan Malaysian Rating Corporation Berhad (MARC) bertarikh 10 Oktober 2014 (Pre-sale report: RM8.4 bilion Sukuk Murabahah Jimah East power) khsusnya di halaman lima mengenai tapak projek menjelaskan bahawa projek ini akan dibina di atas tanah paya dan kawasan berair yang perlu ditebus guna terlebih dahulu.

"Tapak projek stesen janakuasa Jimah Timur pada masa ini adalah kawasan paya dan berair yang perlu ditebus guna terlebih dahulu.

"Apatah lagi dengan masalah aliran tunai 1MDB ada kemungkinan projek ini mengalami kelewatan dan melewatkan proses penyenaraian aset 1MDB yang merupakan strategi menyelamatkan 1MDB daripada masalah kewangan yang meruncing," jelasnya.

Justeru katanya, masalah kelewatan projek janakuasa ini akan menyebabkan 1MDB akan terus berhutang untuk membayar bunga dan faedah di atas hutang-hutang sedia ada. – HARAKAHDAILY 7/1/2014

Share on Myspace