Saksi ke-10 pendakwa kes Mat Sabu meninggal dunia

BERNAMA | .

KUALA TERENGGANU: Anak kepada anggota polis yang terkorban dalam tragedi serangan komunis di Balai Polis Bukit Kepong, Muar pada 1950, meninggal dunia di sini malam tadi.
    
Azlas Jaafar, 66, anak kepada Allahyarham Konstabel Jaafar Hassan, menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Chendering, kira-kira 12 tengah malam akibat sakit tua.
    
Sejak kematian kedua orang tuanya, Azlas yang tidak pernah mendirikan rumah tangga dan menumpang kasih bersama ibu saudaranya Aminah Mohammad, 90, yang menganggap anak saudaranya itu seperti anak sendiri kerana dijaganya sejak dari kecil selepas adiknya, Jaafar maut dalam tragedi berdarah itu.
    
Aminah berkata sebelum ini, arwah mengadu mengalami sengal-sengal di bahagian badan dan kesakitan itu tidak berkurangan walaupun selepas beberapa kali diurut.
    
"Tok tinggal berdua dengan Cik Lah (Azlas). Semasa mahu tidur, dia cakap seluruh badan rasa sengal-sengal.    
    
"Dia baring dan Tok picit badan dia, Tok tanya mana yang sakit. Tapi selepas itu Tok tak dengar suara Cik Lah lagi, tak sangka dia pergi dulu tinggalkan Tok," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
    
Azlas merupakan anak tunggal kepada pasangan Allahyarham Jaafar dan Allahyarhamah Seri Ahmad.
    
Warga emas itu merupakan saksi ke-10 pihak pendakwaan dalam perbicaraan melibatkan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu yang dituduh memfitnah apabila menyentuh tentang nyawa 25 anggota polis termasuk keluarganya dalam serangan berdarah di Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Feb 1950.
    
Ketika itu, Azlas yang uzur dan tidak boleh berjalan jauh, menyebabkan perbicaraan kes Mat Sabu itu yang sebelum ini di Mahkamah Sesyen Butterworth terpaksa diadakan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada 14 Dis lepas.    
    
Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustafa yang turut meluangkan masa menziarah dan menyertai solat jenazah di surau kampung berkenaan, berkata pihaknya sentiasa menjaga kebajikan anak anggota yang pernah berjasa kepada negara.
    
"Hari ini kita menguruskan proses pengebumian dengan menyediakan van jenazah dan beberapa keperluan lain," katanya.
    
Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Syeikh Ibrahim di sini, kira-kira 3 petang tadi. - Bernama

Share on Myspace