Bantuan banjir: Episod baru hubungan Kelantan-Pusat

HAZAYANI ZAKARIA | .

KUALA LUMPUR:PAS menyambut baik tindakan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Kelantan menubuhan Jawatankuasa Bersama Menangani Pasca Banjir bagi memulihkan semula kehidupan rakyat negeri itu yang terjejas teruk akibat banjir.

Ketua Penerangan, Datuk Mahfuz Omar berkata, hubungan erat dan kerjasama baik di peringkat Government to Government (G2G) ini merupakan episod baru dalam sejarah pentadbiran PAS di Negeri Kelantan sejak tahun 1990.

"Hubungan baik ini sewajarnya sudah sekian lama dibina kerana semangat federalisme itu ada termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. 

"Perbezaan idelogi politik parti pemerintah di peringkat pusat dan negeri tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menafikan hak rakyat yang sepatutnya dibela oleh semua pihak," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

 Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga berkata, segala luka lama seperti penderaan terhadap rakyat Kelantan yang dinafikan hak mendapat royalti minyak, tidak mendapat lebuh raya yang sempurna, dan pelbagai peruntukan yang disalurkan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) hendaklah diubati segera.

"Usahlah mengulangi kezaliman penarikan royalti minyak ketika PAS mentadbir Negeri Terengganu dahulu," katanya lagi.

Tambah beliau juga, semangat federalisme yang tulen menjamin keadilan dan hak untuk semua rakyat tanpa menjadikan perbezaan idelogi politik sebagai tembok penghalang.

Tegasnya, atas semangat ini jugalah hubungan rasmi yang dijalin antara Kerajaan Pusat dan negeri boleh dibina dengan baik tanpa menimbulkan polemik kewujudan kerajaan campuran antara Umno dan PAS di Kelantan.

"PAS sangat berharap agar episod baru dalam hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri ini akan membawa rahmat kepada seluruh rakyat yang baru ditimpa musibah serta mengangkat lembaran politik baru yang lebih matang, terbuka dan demokratik," ujarnya.

Jawatankuasa tersebut akan dipengerusikan bersama oleh Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas (pusat) Bencana Banjir Negeri Kelantan.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, langkah pertama yang akan dilakukan jawatankuasa tersebut adalah memastikan kesemua mangsa banjir dapat kembali ke rumah masing-masing. - HARAKAHDAILY 7/1/2015

Share on Myspace