Pampasan RM2.6 juta langgar prinsip asas - MBI

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Kontroversi pampasan RM2.6 juta kepada lapan pembantu bekas Menteri Besar Selangor apabila pengurusan baharu masuk, ia sudah terjadi dan bayaran sudah dibuat.

"Berdasarkan dokumen dan laporan yang ada, perkara itu bermula semasa Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meletak jawatan dan pegawai serta pembantunya turut sama berhenti.

"Isunya berkaitan mengenai prinsip-prinsip asas takbir urus korporat," kata Ketua Pegawai Eksekutif baharu MBI, Raja Shahreen Raja Othman dalam temubual dengan Selangor Kini.

Beliau berkata, berdasarkan laporan audit yang bebas (independent), prinsip-prinsip asas yang dilakukan tidak menepati piawai dan ia perlu dilihat semula oleh MBI.

"Secara dasar, yang dapat saya terangkan, masalah timbul kerana asasnya tidak dipatuhi," jelasnya lagi.

Berikut ialah temubual penuh.

Pandangan mengenai kontroversi pampasan yang mengaitkan lapan bekas kakitangan MBI?

Kontroversi itu semua orang sudah tahu kerana apabila pengurusan baharu masuk, ia sudah terjadi dan bayaran sudah dibuat. Berdasarkan dokumen dan laporan yang ada, perkara itu bermula semasa Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meletak jawatan dan pegawai serta pembantunya turut sama berhenti.

Isunya berkaitan mengenai prinsip-prinsip asas takbir urus korporat.

Berdasarkan laporan audit yang bebas (independent), prinsip-prinsip asas yang dilakukan tidak menepati piawai dan ia perlu dilihat semula oleh MBI. Secara dasar, yang dapat saya terangkan, masalah timbul kerana asasnya tidak dipatuhi.

Siapakah yang bertanggungjawab membuat keputusan dan meluluskan bayaran?

Dari segi prosedur yang betul, pampasan kepada sesiapa pun sepatutnya sama ada melalui Skim Pemberhentian Sukarela (VSS-Voluntary Separation Scheme), Skim Pemberhentian Kerja (MSS-Mutual Separation Scheme) atau apa-apa skim pencen perlu mendapat kelulusan ahli Lembaga Pengarah. Jadi, situasi di MBI tidak terkecuali.

Apabila ia dibawa masuk ke mesyuarat ahli Lembaga Pengarah, perkara itu perlu mendapat persetujuan menyeluruh, bukan hanya bersetuju atas dasar prinsip tetapi perlu dibuat secara terperinci dan muktamad (keseluruhan).

Semua kertas kerja, penyelidikan dan perkara berkaitan yang dibuat perlu dirujuk untuk keputusan kepada ahli Lembaga Pengarah supaya mereka mengetahui bagaimana implikasi kewangan, impak kepada syarikat, setiap seorang dapat berapa (pampasan), bagaimana kira-kira dan sebagainya. Itu semua perlu diambil kira.

Ketika keputusan dilakukan, adakah ia dimaklumkan terlebih dahulu kepada semua ahli Lembaga Pengarah MBI ketika itu?

Pemaklumkan secara keseluruhan itu tidak berlaku kerana berdasarkan laporan audit yang diteliti, ia hanya bersetuju atas dasar prinsip. Bagi saya, ia hanya berdasarkan kepada itu sahaja, bukannya secara menyeluruh dan terperinci.

Adakah keputusan itu diputuskan oleh MBI sahaja atau membabitkan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN)?

Tidak. Ia hanya membabitkan MBI sahaja.

Bekas CEO MBI, Faekah Husin mendakwa laporan audit berhubung isu pampasan itu cacat, tidak profesional dan berniat jahat. Pandangan?

Audit yang dilakukan adalah independent dan objektif dan ia Itu berdasarkan program audit yang dilakukan oleh pasukan audit yang berpengalaman luas. Jadi saya tidak boleh komen tentang cara pengauditan itu.

MBI sudah mengedar surat tuntutan pulangan pampasan. Jika tiada maklum balas dalam tempoh ditetapkan, adakah bentuk tindakan akan diambil?

Kita perlu tunggu sehingga tempoh 14 hari sebelum tindakan susulan dibuat.

Adakah isu pampasan menjejaskan pengurusan MBI kerana ia menimbulkan pelbagai kontroversi terutama dalam media?

Tidak. Kami kini sedang berusaha untuk kehadapan dengan lebih fokus.

Siapa yang membuat keputusan supaya tuntutan pulangan wang pampasan dilakukan?

Ia diputuskan MBI sendiri setelah meneliti semua laporan laporan yang ada.

Berdasarkan senarai 14 kakitangan yang berhenti, adakah lapan sahaja yang menerima pampasan melebihi jumlah sepatutnya?

Ya.

Share on Myspace