Penambahbaikan menyeluruh industri minyak runcit

RAFIZI RAMLI | .

KENYATAAN media saya semalam menerangkan kelemahan sistem penetapan harga minyak yang digunapakai sejak 1 Disember 2014 telah mengundang pelbagai reaksi. Jelas bahawa sebahagian besar dari orang ramai tidak begitu memahami mekanisme dan operasi industri minyak runcit di negara ini terutamanya beza di antara syarikat minyak dan pengusaha stesen minyak.

Ciri-ciri Industri Minyak Runcit

Syarikat minyak (seperti Petronas, Shell, Petron dan BHP) memiliki sebahagian besar dari stesen minyak di negara ini. Mereka melantik pengusaha stesen minyak sebagai kontraktor untuk mengendalikan operasi stesen minyak yang dimiliki mereka.

Ciri-ciri operasi industri minyak runcit antaranya adalah seperti berikut:

1.      Pengusaha stesen minyak dibayar komisen tetap iaitu 12 sen setiap liter bagi petrol dan 7 sen setiap liter bagi diesel. Oleh itu, perolehan kasar pengusaha stesen minyak bergantung kepada berapa banyak petrol dan diesel dijual setiap bulan.

2.      Pengusaha stesen minyak perlu membayar tunai setiap pembelian stok petrol dan diesel dari syarikat minyak. Bergantung kepada saiz stesen minyak, jumlah pembayaran tunai ini adalah diantara RM100,000 hingga RM200,000 secara purata bagi setiap pembelian. Selalunya, pengusaha stesen minyak membeli stok petrol dan diesel setiap beberapa hari atau seminggu sekali (bergantung kepada saiz stesen minyak).

3.      Penghantaran dan pembelian stok petrol dan diesel ditentukan oleh syarikat minyak. Pengusaha stesen minyak tidak ada hak untuk menolak penghantaran stok. Jadual penghantaran stok petrol dan diesel dikawal oleh syarikat minyak.

4.      Pengusaha stesen minyak perlu membayar sewa dan bayaran-bayaran lain kepada syarikat minyak.

5.      Pengusaha stesen minyak perlu menanggung kos operasi lain seperti eletrik dan gaji pekerja.

Oleh kerana ciri-ciri industri minyak runcit ditetapkan oleh kerajaan sedemikian rupa, ini menyebabkan pengusaha stesen minyak berdepan dengan kerugian setiap kali harga baru diumumkan lebih rendah kerana mereka terpaksa membeli stok petrol dan diesel yang dihantar lebih awal oleh syarikat minyak.

Alasan BN Tidak Mahu Menurunkan Harga Minyak Lebih Kerap

Dalam keadaan pasaran minyak mentah dijangka akan terus merudum, Malaysia berhadapan dengan risiko pengusaha stesen minyak terpaksa gulung tikar dalam tempoh beberapa bulan akan datang jika tidak ditangani dengan baik. Jika ini berlaku, rakyat juga akan menjadi mangsa kerana kekurangan bekalan petrol dan diesel.

Alasan bahawa penurunan harga minyak yang lebih kerap akan merugikan pengusaha stesen minyak kini digunakan oleh Barisan Nasional untuk tidak menyelaraskan harga petrol dan diesel setiap minggu. Penyelarasan harga yang berlaku sebulan sekali benar-benar merugikan rakyat kerana terpaksa terus membayar harga petrol dan diesel yang lebih tinggi sedangkan harga sebenar di pasaran terus jatuh mendadak.

Misalnya, harga pasaran terkini yang dilaporkan pada 6 Januari 2015 (mengikut laporan harga oleh Platts dan menggunakan formula kerajaan) bagi RON95 adalah RM1.64 seliter sedangkan rakyat membayar RM1.91 seliter. Dalam keadaan harga minyak mentah telah jatuh di bawah USD50 setong minggu ini dan dijangka mencecah USD40 setong menjelang akhir Januari 2015, ini bermakna harga RON95 berkemungkinan jatuh setiap hari hingga mencecah RM1.40 seliter menjelang akhir Januari 2015 tetapi rakyat akan terus membayar RM1.91 seliter sepanjang bulan ini.

Barisan Nasional sudah tentu tidak mahu menurunkan harga petrol dan diesel setiap minggu kerana kerajaan persekutuan mengutip cukai bagi setiap liter petrol dan diesel yang dibeli. Bagi tempoh Disember 2014 sahaja, Barisan Nasional telah mengutip sebanyak RM633 juta cukai petrol dan diesel. Berdasarkan pola harga pasaran terkini, Barisan Nasional akan mengutip jumlah cukai petrol dan diesel yang lebih besar (saya anggarkan mencecah RM700 juta) bagi Januari 2015.

Oleh yang demikian, Barisan Nasional akan terus mengkambing hitamkan pengusaha stesen minyak dengan menggunakan alasan harga minyak tidak dapat diturunkan setiap minggu untuk menjaga keuntungan pengusaha stesen minyak – sedangkan motif utama adalah mengutip cukai dari rakyat.

Sistem Penetapan Harga Minyak Yang Adil Kepada Semua Pihak

Saya nekad untuk terus berkempen memastikan:

1.      Harga petrol dan diesel diselaraskan dan diturunkan setiap minggu agar harga terus turun mengikut harga pasaran.

2.      Cukai petrol dan diesel yang dikutip adalah minima dan sebarang kutipan cukai hasil dari perbezaan harga pasaran dan harga yang ditetapkan tidak boleh dibelanjakan kecuali untuk menstabilkan harga minyak di masa akan datang.

3.      Subsidi tetap 30 sen seliter petrol dan diesel diwujudkan kembali untuk menurunkan lagi harga petrol dan diesel.

4.      Kelangsungan bekalan petrol dan diesel kepada rakyat dengan memastikan pengusaha stesen minyak boleh terus beroperasi.

Sepatutnya, tugas merancang lebih awal (forward planning) bagi memastikan sistem penetapan harga minyak adalah adil kepada semua perlulah dijalankan dengan berkesan oleh Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan. Malangnya, sehingga kini tidak ada satu cadangan pun yang datang dari menteri-menteri terbabit untuk memenuhi keempat-empat matlamat di atas.

Oleh yang demikian, saya mengambil inisiatif untuk menyeru kerajaan persekutuan, syarikat minyak dan pengusaha stesen minyak menambahbaik sepenuhnya amalan industri runcit minyak bagi membolehkan harga diturunkan setiap minggu tanpa mengakibatkan kerugian kepada pengusaha stesen minyak.

Industri Minyak Runcit Berasaskan Stok Konsainan (Consignment)

Salah satu punca utama yang menyebabkan penurunan harga petrol dan diesel boleh mengakibatkan kerugian kepada pengusaha stesen minyak adalah kerana syarikat minyak menjual stok petrol dan diesel secara pukal kepada pengusaha stesen minyak. Pembayaran tunai bagi stok pukal ini menyebabkan pengusaha stesen minyak memegang stok petrol dan diesel yang besar pada satu-satu masa dan terdedah kepada risiko kewangan.

Di negara-negara lain, kerajaan mereka menetapkan bahawa industri minyak runcit adalah berasaskan stok konsainan (“consignment stock”). Ini bermakna pengusaha stesen minyak tidak perlu membeli terlebih dahulu stok secara pukal kerana stok petrol dan diesel yang disimpan di stesen minyak adalah milik syarikat minyak sehinggalah dijual kepada pengguna.

Ciri-ciri industri minyak runcit berasaskan stok konsainan adalah seperti berikut:

1.      Pengusaha stesen minyak bertindak sebagai ejen yang menjual stok petrol dan diesel yang dimiliki oleh syarikat minyak. Pengusaha stesen minyak tidak perlu membayar jumlah yang besar untuk mendapatkan stok.

2.      Sebarang perubahan harga petrol dan diesel tidak mempunyai kesan kewangan kepada pengusaha stesen minyak yang hanya bertindak sebagai ejen dan dibayar melalui komisen yang ditetapkan.

3.      Syarikat minyak hanya berdepan dengan risiko untung atau rugi akibat dari perubahan harga petrol dan diesel SEKALI SETAHUN sahaja semasa penilaian stok dibuat di hujung tahun kewangan. Itu pun sebarang kerugian hanyalah kerugian atas kertas kerana stok itu terus kekal milik syarikat minyak selagi tidak dijual kepada pengguna.

Kedudukan kewangan syarikat minyak yang kukuh dan telah mengaut keuntungan besar selama ini membolehkan syarikat-syarikat minyak seperti Petronas, Shell, Petron dan BHP melaksanakannya tanpa risiko kewangan yang berat. Contohnya, bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2013, anggaran keuntungan kasar Petronas (melalui anak syarikatnya Petronas Dagangan Berhad) dari penjualan petrol dan diesel kepada orang ramai adalah RM500 juta setahun (rujuk Laporan Tahunan Petronas Dagangan 2013).

Dengan pelaksanaan sistem stok konsainan ini, alasan bahawa harga tidak boleh diselaraskan setiap minggu tidak untuk menjaga keuntungan pengusaha stesen minyak tidak boleh dipakai lagi. Harga petrol dan diesel yang diselaraskan setiap minggu akan menyaksikan harga petrol dan diesel jatuh seperti mana harga pasaran. Barisan Nasional juga tidak lagi boleh mengutip cukai petrol dan diesel berbilion ringgit dari rakyat seperti mana yang telah dan akan berlaku selepas ini.

Saya menuntut supaya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan yang bertanggungjawab menetapkan peraturan industri minyak runcit dengan segera memanggil syarikat minyak dan wakil-wakil pengusaha stesen minyak untuk melaksanakan sistem stok konsainan ini.

Keengganan Barisan Nasional menukar peraturan industri minyak runcit yang berada di dalam kawalan mereka bermakna Barisan Nasional berniat untuk mengekalkan harga minyak pada kadar yang lebih tinggi dari harga pasaran untuk mengutip cukai petrol dan diesel. - HARAKAHDAILY 8/1/2015

Share on Myspace