Banjir: MEDM tumpu bina penempatan sementara

SALMIYAH HARUN | .

KUALA LUMPUR: Pengurusan Kecemasan Bencana Malaysia (MEDM) PAS Pusat mengalu-alukan para dermawan yang budiman untuk menyumbang sebahagian daripada pendapatan mereka bagi membina semula rumah-rumah rakyat yang musnah akibat banjir tempoh hari.

Pengerusi MEDM Salahuddin Ayub berkata, aktiviti kemanusiaan yang memasuki fasa pasca banjir akan memberi keutamaan terhadap penempatan sementara khususnya di kampung-kampung yang keseluruhan terjejas teruk ekoran bencana itu.

"Keutamaan kerja kita di mana kita cuba untuk mencari dana dan penyumbang-penyumbang serta penderma untuk menginfakkan sebahagian daripada pendapatan mereka membantu kumpulan rakyat yang kehilangan rumah," katanya dihubungi Harakahdaily.

Menurutnya, peranan MEDM adalah untuk menyelaraskan bantuan-bantuan yang diberikan kemudian ianya disalurkan melalui pihak badan bukan kerajaan atau wakil rakyat yang akan membuat yang terbaik untuk rakyat.

"Kita terima apa sahaja sama ada bantuan berbentuk wang terus kepada Tabung Bencana Harakah menerusi akaun Maybank 564070130442 atau barangan seperti batu, pasir, kayu dan sebagainya.

"Bagi mereka yang mahu menyumbang dalam bentuk barangan kita akan berbincang terlebih dahulu dan akan cuba selaraskan," tambah beliau.

Naib Presiden PAS itu turut menyambut baik usaha kerajaan pusat untuk membantu mangsa banjir di negeri Kelantan.

Bagaimanapun katanya, peruntukan yang diberikan perlu diselaraskan sebaik mungkin tanpa berlakunya diskriminasi politik.

"Bagi kita harus memastikan rakyat akan mendapat bantuan kerajaan sama ada kerajaan pusat ataupun kerajaan negeri," katanya.

MEDM di bawah kelolaan PAS Pusat beroperasi 24 jam bermula 26 Disember lalu bagi menyelaras bantuan dan maklumat berkaitan banjir.

Sebelum ini, MEDM telah menubuhkan Team Radio Amatur sebagai sumber informasi khususnya keadaan mangsa banjir dan Pasukan Perubatan bagi memberikan apa sahaja bantuan untuk memastikan mangsa banjir mendapatkan rawatan kesihatan. - HARAKAHDAILY 8/1/2015

Share on Myspace