Pemuda PAS perlu dana realisasi 'rumah budiman'

MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR | .

PASIR SALAK: Semua pihak perlu memainkan peranan dalam menjayakan misi Pemuda PAS Malaysia untuk melaksanakan Projek Perumahan Rakyat Budiman (PPRB).

Bendahari Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata, sumbangan dari segi dana kewangan sangat diperlukan dalam membantu mangsa-mangsa banjir di Kelantan yang kehilangan tempat tinggal.

Menurutnya, idea yang digagaskan oleh Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kayat itu mendapat respons yang cukup positif daripada pelbagai pihak kerana ianya sangat relevan dan boleh dilaksanakan.

Pelbagai pihak, katanya menawarkan diri untuk membantu termasuklah kontraktor, agen hartanah, dan peguam namun kebergantungan utamanya adalah dana yang mencukupi.

"Pemuda PAS memerlukan dana yang sangat banyak dalam membina projek kediaman kos rendah iaitu bernilai RM35,000 seunit untuk mangsa banjir di Kelantan.

"Dalam merealisasikannya, Pemuda PAS membuka ruang dan peluang kepada seluruh rakyat untuk berbakti kepada saudara kita yang ditimpa musibah banjir itu," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau keadaan rumah-rumah yang terjejas banjir di Pasir Salak, semalam.

Fakhrulrazi menjelaskan, Pemuda PAS sedang giat mengumpul dana melalui Tabung Kemanusiaan Pemuda untuk projek tersebut dan seluruh masyarakat sama ada orang persendirian, badan korporat dan sebagainya boleh menyalurkan bantuan tanpa mengira berapakah nilainya.

"Kami juga memerlukan dana dalam membantu dari segi lain termasuklah mencuci rumah-rumah yang terjejas, menyalurkan keperluan bantuan makanan, pakaian dan sebagainya.

"Pemuda PAS bersungguh-sungguh untuk membantu mereka yang terjejas teruk dalam bencana banjir kali ini," jelasnya lagi.

Semua pihak boleh menyalurkan bantuan melalui akaun Maybank Berhad: 5640 2540 0100 bagi bersama-sama memainkan peranan membantu mangsa banjir yang diuji oleh Allah. - HARAKAHDAILY 8/1/2015

Share on Myspace